25 Oktober 2009

Syukur Rezeki

SESUNGGUHNYA rezeki berupa pemberian atau habuan Allah kepada makhluk- Nya. Anugerah Allah tidak sekadar berupa kekayaan, sebaliknya meliputi pelbagai aspek kehidupan.

Rezeki Allah meliputi apa saja yang diperlukan dalam kehidupan termasuk makanan, pakaian, kediaman dan sumber yang berkaitan.

Keperluan itu untuk kesejahteraan jasmaniah insan. Selain itu, rezeki untuk kesuburan rohaniah juga penting. Ini termasuk ilmu pengetahuan, kecerdasan serta taufik dan hidayah.

Pintu rezeki untuk kenikmatan hidup di dunia terbuka kepada semua insan sama ada kafir atau mukmin dan yang jahat atau baik. Rezeki untuk kesejahteraan jasmani turut dikurniakan kepada semua makhluk. Tetapi rezeki untuk kenikmatan hidup di akhirat hanya dikurniakan kepada orang beriman.

Sejarah sejak zaman rasul dan ulama hingga ke hari ini membuktikan salah satu sebab golongan kafir menolak agama Allah kerana mereka terlalu terpesona dengan kehidupan dunia.

Golongan kafir menganggap rezeki datang daripada hasil titik peluh mereka semata-mata, sedangkan orang Islam menganggap rezeki itu daripada sumber kemurahan dan rahmat Allah s. w. t.

Di akhir Ayat 212 Surah al-Baqarah, Tuhan berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya tanpa hisab."

Ini memberi pengertian rezeki yang dikurniakan Allah kepada seseorang itu perlu disyukuri. Jangan sekali-kali kita berasa angkuh dan sombong dengan kekayaan harta yang kita miliki.

Kita juga tidak seharusnya menyangka kekayaan dan rezeki melimpah ruah yang diperolehi itu milik mutlak kita yang tidak boleh digugat. Sesungguhnya kunci rezeki di tangan Allah s. w. t. Allah yang menentukan pembahagian rezeki kepada hamba-Nya.

Dalam kehidupan seharian, isu rezeki bukan satu persoalan yang selalunya tunduk kepada perkiraan hisab manusia. Cara dan petua untuk mendapatkan rezeki tidak selama-lamanya tepat.

Pada keseluruhannya, rajin dan usaha syarat untuk mencapai kejayaan dan menjamin seseorang itu menjadi kaya. Tetapi syarat ini kadangkala tidak tepat dan berakhir dengan kegagalan dan menemui jalan buntu.

Ada juga golongan membuat andaian ilmu yang tinggi anak kunci rezeki. Semakin banyak sijil dan semakin tinggi ilmu seseorang insan maka semakin luaslah pula rezekinya. Tetapi ada juga orang yang cetek ilmu pengetahuannya atau buta huruf mampu menjadi hartawan. Tidak kurang juga orang tercicir dalam pelajaran menjadi pemilik atau tauke besar.

Selain itu, ada pula golongan mengatakan kekayaan itu terletak kepada peluang dan nasib seseorang dan tidak kurang pula meletakkan kekayaan dan rezeki itu kepada hubungan seseorang. Semakin luas hubungannya dengan orang berkuasa maka semakin cerah peluangnya mendapat rezeki.

Inilah di antara syarat yang selalu dikaitkan untuk mendapat rezeki lumayan, tetapi semua syarat itu ada kalanya tidak membawa kejayaan.

Sesungguhnya urusan rezeki bukan ditentukan manusia, tetapi ia dalam tangan Allah s. w. t semata-mata. Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dialah (Allah) yang memegang kunci rezeki seluruh alam ini dan Dialah yang berkuasa memberi dan menarik serta meluas dan menyempitkan pemberian rezeki itu.

Dari itu janganlah kita bersifat angkuh dan sombong dengan rezeki yang melimpah ruah dan usahlah kita bermegah-megah dengan kurniaan Allah kepada kita. Sebaliknya kita seharusnya bersyukur dengan rahmat dan nikmat Allah s. w. t itu.

Sesungguhnya balasan bagi orang yang bersyukur jelas dinyatakan Allah dengan Firman-Nya yang bermaksud: "Jika kamu bersyukur, Aku tambahkan lagi nikmatKu. Jika kamu kufur, sesungguhnya azab Aku amat pedih."
(Surah Ibrahim: Ayat 7)

Sedar akan hakikat ini, maka bersyukurlah dengan nikmat dan rahmat kurniaan Allah s. w. t. Semoga dengan berbuat demikian, rahmat kurniaan rezeki itu akan terus berkekalan dan hidup kita akan diberkati Allah hingga ke akhir zaman. Insya-Allah.

Kesimpulan:

Kita manusia harus berusaha secara ! halal kemudian bertawakal kepada ALLAH s. w. t serta berdoa semoga dikurniakan rezeki yang berkat. Amin