30 Oktober 2009

Titisan air ke batu - tiada alasan negatif untuk berjaya

PADA zaman dahulu, ada seorang kanak-kanak yang sangat pemalas tinggal di sebuah kampung bersama-sama ibunya. Sikapnya yang malas dan lembap ketika belajar telah membuatkan dirinya sering dimarahi oleh tuan guru. Rakan-rakannya juga selalu mengejeknya. Oleh hal yang demikian, dia sentiasa ponteng kelas pengajian agama kerana tidak tahan mendengar leteran tuan guru dan ejekan rakan-rakannya terhadapnya itu.

Perkara ini tidak disedari oleh ibunya yang berada di rumah. Ketika rakan-rakannya yang lain sedang mengaji agama di rumah tuan guru, dia lebih suka merayau-rayau bersendirian di pinggir hutan sementara menanti kepulangan rakan-rakannya itu.

Pada suatu petang, seperti biasa dia merayau-rayau di pinggir hutan yang berhampiran kampungnya itu. Tiba-tiba dia terlihat sebuah gua yang berada tidak jauh dari situ. Hatinya terdetik untuk mengetahui apa yang ada di dalam gua itu. Lalu, dia pun menghampiri dan memasuki gua tersebut. Sebaik sahaja masuk ke dalam gua tersebut, dia terlihat seketui batu besar yang keras menjadi lekuk akibat terkena titisan air. Maka terfikir dalam benak fikirannya, "Alangkah ajaibnya ciptaan Allah. Titisan air yang lembut ini pun mampu membuatkan batu yang sebegini keras menjadi lekuk. Kalaulah aku bertindak seperti air ini, asakan walaupun sedikit tetapi istiqamah nescaya aku juga akan mampu menjadi pelajar yang berjaya seperti rakan-rakanku yang lain. Oleh sebab itu mulai hari ini, aku tidak mahu ponteng kelas lagi dan aku berazam untuk belajar bersungguh-sungguh. Aku akan buktikan bahawa aku juga mampu untuk berjaya seperti mereka."

Demikian kisah yang memaparkan watak seorang kanak-kanak yang malas meskipun plotnya agak ringkas, namun sarat dengan iktibar yang sesuai untuk dijadikan teladan. Kisah ini mungkin bersesuaian dengan apa yang berlaku baru-baru ini yang memperlihatkan sebahagian pelajar yang dahulunya lemah beroleh keputusan yang cemerlang.

Mungkin kita tidak begitu percaya bahawa di kalangan pelajar yang berjaya dalam peperiksaan sama ada Sijil Pelajaran Malaysia atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia baru-baru ini dahulunya pernah mengalami kegagalan. Namun, kegagalan yang dialami itu tidak mematahkan semangat mereka untuk bangkit untuk mencipta kejayaan malah lebih berjaya daripada individu yang pernah berjaya sebelum ini.

Inilah semangat positif yang perlu diterapkan dalam diri setiap individu bagi mengelakkan ber-lakunya keciciran di kalangan remaja. Sikap putus asa akibat gagal dalam peperiksaan harus diabaikan. Orang tua-tua pernah berkata, "gagal hari ini tidak bermakna kita akan gagal untuk selama-lamanya."

Kita harus berasa bangga kerana di kalangan para pelajar yang mencapai keputusan cemerlang itu terdiri dari golongan kurang upaya. Bahkan, ada yang mencatatkan sejarah tersendiri dengan menempatkan diri sebagai salah seorang pelajar terbaik dikalangan rakan-rakannya yang normal. Kegigihan mereka untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pelajar yang normal seharusnya menjadi motivasi.

Terdapat juga di kalangan mereka yang berasal dari keluarga yang miskin dan tinggal di luar bandar. Namun mereka selain tidak pernah menyesal dengan kekurangan yang dimiliki, kemiskinan itu menjadi motivasi dan cabaran untuk merangkul kejayaan. Kejayaan itu sekali gus menafikan tanggapan masyarakat umum yang mengaitkan kemiskinan sebagai salah satu faktor penghalang kejayaan.

Pada masa yang sama, kejayaan golongan ini telah membersihkan imej pelajar kawasan luar bandar yang sebelum ini sering dianggap ketinggalan dalam pelajaran tertentu. Peningkatan keputusan dalam subjek teras termasuk Bahasa Inggeris, Matematik, dan Sains dalam peperiksaan yang lalu satu kejayaan yang besar.

Inilah bukti betapa pelajar yang gigih berusaha tanpa jemu seumpama titisan air di atas batu, mampu menitipkan kejayaan seperti melekuknya batu yang pejal. Ternyata kejayaan tidak datang bergoiek, malah memerlukan usaha yang tidak mengenali erti penat. Bayangkan betapa sukarnya untuk pelajar istimewa mengulang kaji pelajaran. Dengan berbekalkan buku rujukan biasa yang diterjemahkan kepada tulisan Braille hasil bantuan rakan-rakan dan guru-guru, mereka menggagahkan diri. Mereka berhempas pulas semata-mata untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang.

Jiwa dan semangat mereka begitu kental. Jika tidak, masakan mereka mampu melakukan ini semua. Sikap rajin dan tidak pernah berputus asa di samping mempunyai perasaan ingin tahu serta berfikiran positif turut membantu mereka dalam hal ini. Apatah lagi setelah mendapat dorongan dan sokongan moral ahli keluarga dan guru-guru.

Pelajar yang berasal daripada keluarga yang kurang berada, mereka perlu mempunyai matlamat untuk mengubah taraf hidup keluarganya. Itulah yang menjadi pemangkin dan pembakar semangat untuk mereka berjaya. Kemiskinan yang dialami selama ini bukanlah penghalang kejayaan masa depannya. Mereka harus yakin bahawa dengan pendidikan, seseorang individu itu mampu mengecap kehidupan yang lebih baik berbanding yang dirasai oleh ibu bapanya dahulu. Perkara ini telah banyak dibuktikan dalam sejarah negara.

Sebenarnya, kebanyakan personaliti yang berjaya pada hari ini, dahulunya ialah seorang kanak-kanak yang lahir dalam keluarga miskin yang berlatarbelakangkan sosioekonomi yang serba kekurangan. Namun, berkat kesungguhan mereka, kini individu-individu yang terbilang ini mampu menerajui kepimpinan negara. Kini mereka sedang menyumbang ke arah pembangunan negara dalam pelbagai bidang.

Walaupun kita berbangga dengan kejayaan pelajar yang cemerlang melalui sistem peperiksaan, kita tidak seharusnya lupa akan nasib ratusan ribu pelajar yang tercicir. Memang ada pelajar yang boleh diasah untuk berjaya dalam pelajaran tetapi ada juga pelajar yang boleh diasah bakatnya dalam bidang lain.

Mereka yang kurang cemerlang atau gagal dalam peperiksaan tidak seharusnya diketepikan sama sekali. Hal ini demikian kerana kemungkinan mereka berkebolehan dalam bidang teknikal. Jadi, kecemerlangan bukan sekadar diukur berdasarkan keputusan peperiksaan semata-mata. Oleh sebab itu, penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti kokurikulum di sekolah, sahsiah, dan budi pekertinya juga perlu diambil kira. Semua itulah yang melengkapkan pakej pelajar cemerlang yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan negara.

Belajar melalui titisan air di atas, ibu bapa seharus tidak rasa kecewa dengan kegagalan anak-anak mereka yang kurang cemerlang dalam akademiknya. Mereka masih ada peluang untuk berjaya bahkan cemerlang dalam bidang kemahiran dan profesional. Taraf mereka sama^di sisi masyarakat.

Menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, ternyata ramai pelajar yang menunjukkan minat yang tinggi dalam bidang kemahiran tertentu. Hal ini terbukti apabila sekurang-kurangnya 27 mata pelajaran bidang kemahiran mencatatkan keputusan 100 peratus dalam peperiksaan SPM yang lalu. Oleh sebab itu, ibu bapa harus tahu menilai kecenderungan, kebolehan, bakat, dan potensi anak-anak. Anak-anak sewajarnya diberi peluang untuk menunjukkan kebolehan masing-masing sebelum ibu bapa mengenal pasti kepakaran mereka.

Menyedari kedudukan ini, ibu bapa hendaklah membaiki cara asuhan dan didikan agar anak mereka boleh berkembangan mengikut fitrah. Fersekitaran pendidikan anak-anak tidak harus dilihat seperti mengongkong hingga terencat perkembangan pembesaran minda mereka. Hal ini demikian kerana anak-anak merupakan individu yang berbeza mentaliti antara satu dengan yang lain.

Kesungguhan ibu bapa menggilap kualiti yang ada pada anak-anak mereka penting demi masa depan mereka. Inilah yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadith baginda yang menyatakan betapa pentingnya peranan ibu bapa dalam mencorakkan peribadi anak-anak. Waktu pendidikan yang paling sesuai untuk memulakan usaha ini ialah ketika mereka masih kecil. Dalam hal ini, bijak pandai pernah berkata, "Mengajar ketika kecil laksana mengukir di atas batu, manakala mengajar ketika dewasa laksana mengukir di atas air."

Jadi, ibu bapa tidak boleh lagi menjadikan kegagalan anak-anaknya dalam pendidikan sebagai alasan untuk memberhentikan persekolahan mereka. Sebaliknya, ibu bapa perlu sedar bahawa pendidikan merupakan pelaburan untuk masa hadapan keluarga mereka.

Ibu bapa harus bersedia untuk berkorban demi masa hadapan anak-anak mereka kerana dengan pengorbanan ibu bapa ini, anak-anak akan lebih bermotivasi untuk belajar. Memang benar kata pepatah, "Kalau hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih".

Kisah yang dipaparkan ini boleh menyedarkan golongan yang malas dan mudah berputus asa. Alasan yang negatif seharusnya ditinggalkan demi kejayaan semua pihak terutama umat Islam.