Rabu, 22 Februari 2012

Staf / Pensyarah KMNS didedahkan gaya baru penerbitan buletin



Sebahagian pensyarah serius menggunting bahan daripada akhbar untuk membuat reka bentuk majalah secara manual dalam Bengkel Penerbitan Buletin KMNS di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, Kuala Pilah, baru-baru ini.



KUALA PILAH 21 Feb. - Keinginan untuk menjayakan buletin yang bakal diterbitkan Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS) di sini mendorong lebih 30 pensyarah dan kakitangannya menyertai bengkel sehari baru-baru ini.
Bengkel berkenaan yang bertujuan meningkatkan kualiti penerbitan selain keceriaan pada reka bentuk dan pengisian bahan dikendalikan oleh wartawan TV3, Faizal Abas dan Ketua Biro Utusan Malaysia Negeri Sembilan, Ainol Amriz Ismail di kampus tersebut.
Menurut Ketua Jabatan Sastera Ikhtisas KMNS, Hasanuddin Yahaya, bengkel sehari itu bertujuan memberi pendedahan kepada peserta untuk melihat daya pemikiran dan garapan baru dari kacamata wartawan serta editor.
"Kita mahukan pembaharuan dalam penerbitan Buletin KMNS supaya ia lebih matang dan mampu menjadi tarikan kepada pembaca," katanya di sini baru-baru ini.
Bengkel penerbitan Buletin KMNS diadakan buat pertama kali oleh pihak kolej sebagai usaha mendapatkan maklumat betul daripada mereka yang terlibat dalam industri penerbitan.
"Mereka yang menyertai program ini dibimbing untuk mendapatkan bahan berita, letak gambar terbaik selain diajar membuat reka bentuk secara manual," katanya.
Jelas Hasanuddin, kerjasama yang baik antara 'orang media' dengan KMNS akan diteruskan pada masa hadapan khususnya dalam penerbitan buletin ini.
Dalam pada itu, editor buletin, Pamelyn Tan-Corsi berkata, bengkel itu telah menjana idea baru dalam menghasilkan buletin dengan konsep santai, kontemporari serta mudah dibaca berbanding tulisan yang panjang, gambar yang kecil serta ruang yang terlalu sendat.
"Saya mengharapkan kerjasama ini diteruskan kerana ia memberi inspirasi serta pengalaman baru kepada pensyarah di sini terutama dalam menghasilkan buletin yang lebih bertenaga," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia 22/02/2012