11 Januari 2011

MULIAKAN TUGAS INI

Mengamati himpunan anak muda siswa KMNS
Ribuan  wajah menyimpan azam mengejar masa depan gemilang
Bersedia redah laluan kelam berliku
Setia menadah pertolongan dan bimbingan

Itu waris kita
Mahunya dalam jasad itu wujud wajah kita
Mewarisi dan memelihara semua peninggalan setelah kita tiada
Cita rasa, nilai, adat, resam, seni yang membina kebijaksanaan bangsa
Kental cintanya terhadap ibunda

Harapan  itu menuntut diasuh manusia yang tangkas renung teleknya
Percaya akan perlunya mengasuh daya fikir
Setia menjunjung kebijaksanaan  dan kemunasabahan tika menelusuri liku  hidup

Harapan itu juga menuntut diasuh manusia yang terikat jiwanya dengan pencipta
rohaninya bagai diilhamkan sufi
Integriti dijunjung amanah dikelek
 Meyakini kebaikan adalah kemestian
Bukan satu pilihan

Tugas kita membangun kekuatan  mereka
daripada lemas dek serbuan menggila internet, facebook dan tweitter

Tugas kita  mangasuh jiwa
dengan kebermaknaan ilmu bukan sekadar hafalan cuma
mereka mesti menjadi insan terpelajar yang jelas  terpelajar

Berat tugasan ini
Dan kita tidak boleh gagal
Kerana kegagalan sama seperti membiarkan mereka terlonta dan hanyut
Kegagalan bererti kita tidak amanah kepada bangsa dan ibunda tercinta

Marilah bersama persiapkan diri
Jauhi lorong kecuaian, ketidakcekapan dan ketidakpatuhan
Utamakan pasukan daripada diri
Pencapaian matlamat kerja diperhitungberatkan
 bukan sekadar mengerjakan prosesnya

Dunia kita terlalu luas terbuka
Pembaikan dicipta sesiapa saja yang sanggup berfikir
Perbaikilah diri dan perbaharuilah kerja
Melangkahlah seiring dengan dunia yang terus berubah

Jelmakan diri dalam tali ikatan  bangsa dan negara
Tanpanya kita akan melayang tanpa haluan
Ke mana lagi hendak diwajarkan segala curahan kudrat dan keringat

Allah telah memuliakan kita dengan jawatan ini
Percayalah kita bukan orang-orang pinggiran
Tugas kita bukan kerja remeh
Bukan sekadar memperdengar ulangan petikan buku dan nota
Kita membentuk manusia masa depan bangsa ini

Ketika peluang masih ada
Garaplah amanah ini dengan seluruh jiwa raga
Agar pembelajaran Sejarah akan datang
Tidak lagi menghidangkan kisah  sesal dan kecewa sebuah bangsa.
******
Puisi ini dibacakan sempena persaraan Pengarah KMNS - Tn. Hj. Ahmad Foa'ad b. Hashim pada 30 September 2011 di KMNS.