Semoga sahabat berada dalam keadaan sihat walafiat hendaknya dalam menelusuri(melalui) mehnah dan ujian di dunia ini. Kita hendaklah sentiasa beringat bahwa Allah sememangnya mendatangkan ujian kepada hambanya bagi menilai sejauh mana hambanya ini memikul dan menyelesaikannya hingga sampai ke satu tahap bahawa kita merasakan 'MANIS'nya ujian itu.
Tentang tazkirah ini, rasanya ramai yang lebih berkelayakan dari saya untuk memberi tazkirah pada sahabat, cuma pada kali ini saya cuba memberi sekadar yang termampu buat sahabat sebagai panduan menjalani hidup di dunia ini. Kita kan insan yang selalu dalam kelalaian dan kealpaan. Insan ini perlu diingat-ingatkankan selalu agar senantiasa dalam jalan yang benar dan tidak menyimpang mengikut hawa nafsu yang sentiasa nak merosakkan jiwa manusia. Sahabat memperingatkan saya dan saya pula memperingatkan sahabat. Betulkan?
Sahabat saya, Sememangnya memperbaiki diri ini bukan satu kerja yang senang apatah lagi terpaksa melalui jalan yang agak sukar sehingga sampai ke satu destinasi yang selamat yang dimimpi-mimpikan oleh semua jiwa yang suci. Jiwa sahabat adalah jiwa yang suci lagi murni jika teransang untuk mengubah diri dari segala kekotoran jiwa sebelum ini kepada jiwa yang putih laksana salju pada kedinginan musim sejuk. Adakah kita rasa 'SENSITIF' terhadap peribadi kita ?Bukti sensitifnya kita terhadap diri kita adalah kita sentiasa muhasabah diri kita. Orang yang selalu muhasabah ialah orang yang sensitif terhadap dirinya. Agak-agak bagaimana muhasabah itu berlaku ya?
Tiap-tiap hari MUHASABAH/MENGHITUNG DIRI mesti berlaku. Kita menghisab/menghitung segala apa yang kita lakukan pada hari tersebut. Hari ini banyak mana kebaikan yang kita lakukan . Banyak mana kejahatan yang kita lakukan. Cuma saya nak pesan pada sahabat tentang satu perkara penting yang perlu diberi perhatian! [Kita digalakkan agar JANGAN mengingati segala kebaikan yang kita telah buat seharian. Jangan selalu ingat dan ungkit-ungkit perkara kebaikan yang kita buat . Jangan! Kerana ingatan sedemikian itu akan melahirkan satu rasa yang negatif. Iaitu kita rasa yang kita sentiasa dalam kebaikan dan mungkin datang perasaan bangga bahawa kita ni baik dan berperibadi mulia. Ini lah bahaya nya. Lepas itu kita akan berkurangan melakukan kebaikan dan malas membuat kebajikan lagi. Berasa cukup dengan apa yang telah dilakukan sebelum ini. Saya harap sahabat nampak dan jelas dengan penerangan yang ringkas ini.]
Kita digalakkan untuk berfikir dan mencari ruang kebaikan yang akan kita buat pada hari esok dan berikutnya. Kita mesti fikir tentang itu. Maksudnya esok mesti ada kebaikan yang kita lakukan. Saya mahu beri satu contoh yang waqi'/praktikal berada di dalam kehidupan kita. Pada hari sahabat baca emel ini, adalah hari yang pertama. Muhasabah berjalan seperi biasa. Kata sahabat (di dalam hati), esok sahabat mahu buat kebaikan. Dan hari esok pun menjelma buat sahabat dengan taqdir Allah. Sahabat harus mencari ruang untuk melakukan kebaikan. Oh ya! Ruang untuk kita melakukan kebaikan ada yang datang secara kita tak jangka dan ada yang dah kita jangka. Yang kita jangka seperti , selepas solat Subuh sahabat baca AlQuran, berzikir, berwirid dan lain2 kebaikan. Yang kita tak jangka seperti ada peminta sedekah yang meminta sedekah di luar masjid, ada orang buta yang kehilangan peneman jalan dan ada mak cik tua yang tak mampu memikul beban barang yang dibawa. Semua itu "BONUS' dari Allah buat kita sebagai ruang mencari kebaikan. Di situlah kita menabur kebaikan. Mana kita sangka , ada orang buta itu datang sebagai 'bonus' pada kita. Tetapi ia adalah ujian Allah buat manusia untuk melihat apa tindakan kita. Pahala tersembunyi melalui orang buta itu. Kalau kita tak buat, maka hilanglah 'bonus' itu kan !
Kesimpulan dari perkara ini ialah kita mesti berfikir akan kebaikan yang akan kita lakukan dan JANGAN sekali-kali kita fikir/ungkit-ungkit kebaikan yang telah kita lakukan !
Manakala perkara kejahatan pula wahai sahabatku, Kita tak payah susah-susah pikir/ungkit-ungkit kejahatan yang akan dilakukan. Siapa yang beranggapan seperti itu maksudnya hati itu kotor! Ya lah... Beranggapan yang negatif. Ingin membuat kejahatan.
Bagi muslim sebenar, kita kena renung dan pikir atau kita kena selalu ungkit-ungkit akan kejahatan yg telah kita lakukan. Moga-moga ia menimbulkan kesedaran pada kita bahwa lemahnya kita. Selepas berfikir itu, kita mestilah susuli dengan rasa penyesalan dan tak mahu kembali lagi ke desa kekotoran dan kejahatan tadi. Yang lepas tu biarlah berlalu. Tapi janganlah kita tanam cita-cita untuk mengulangi kejahatan yang lalu.