25 Oktober 2009

Tanggapan Diri Positif

Kita tidak boleh mengubah sesuatu yang telah berlaku tetapi kita boleh mengubah tanggapan dan cara fikir kita terhadap sesuatu itu. Perubahan tanggapan perlu dibuat bagi meletakkan diri kita pada
situasi yang menguntungkan diri kita sendiri.
Kejayaan adalah satu pilihan hidup. Ia bukan sekadar takdir dan jauh sekali berdasarkan nasib semata-mata. Kebolehan seseorang mengharungi cabaran hidup, menyelesaikan masalah, dan mengawal emosinya banyak bergantung kepada tanggapan yang wujud dalam pemikirannya. Sekiranya tanggapan itu positif maka baiklah natijahnya. Kalau tanggapan itu negatif maka buruklah pula hasilnya.

Bagaimana tanggapan ini terbentuk? Bolehkah ia diubah? Persoalan ini sering memeningkan kepala mereka yang bukan ahlinya.

Tanggapan terbentuk hasil daripada acuan ibu bapa sendiri. Pengalaman lampau, peristiwa penting, pergaulan, bahan-bahan bacaan, media serta idola juga membentuk tanggapan dalam diri kita. Apa
yang kita percaya dan yakin sebagai benar akan membentuk pegangan hidup kita dan seterusnya menjadi sumber rujukan kita apabila berlakunya sesuatu peristiwa. Kerap kali kita berkata, "orang itu
tak boleh dipercayai", semata-mata kerana kita mengenali seseorang sebelumnya, yang mirip atau seiras dengan orang itu, yang pernah membohongi kita. Tanggapan sebegini hanya merugikan kita dan
memerangkap diri sendiri.

Tanggapan kita terhadap kebolehan diri kita seringkali tersasar. Kita menilai diri kita berdasarkan hanya tanggapan dan bukannya kebolehan diri sebenar yang ada.

Tanggapan ini pula merujuk kepada peristiwa lampau dalam sejarah hidup kita. Misalnya, kalau kita diminta memberikan pidato umum, kita mungkin menolaknya dan memberikan seribu alasan semata-mata kerana dulunya kita pernah ditertawakan kerana pidato yang tidak menjadi. Sebaliknya, kalau kita tidak pernah langsung berpidato, kita merujuk kepada pengalaman rakan yang ditertawakan dan menggambarkannya sebagai diri kita sendiri.
Kenapa tidak pelajari pengalaman mereka yang berjaya? Dapatkan idola dalam setiap bidang yang mahu diceburi. Misalnya, berani macam Anwar Ibrahim, bijak dan berwawasan macam Dr. Mahathir
Mohamad, baik pekerti dan takwa macam Nik Aziz. Dengan gabungan beberapa individu di atas pastinya kita bakal menjadi orang yang jauh lebih baik. Dan sebaik-baik idola itu ialah junjungan besar kita iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

Minda manusia ibarat sebidang tanah. Apa yang disemai itulah yang dituai. Kalau kita sentiasa terdedah dengan unsur-unsur yang baik, bergaul dengan mereka yang berjaya, hidup dalam persekitaran yang membina. Pastinya tanggapan kita terhadap kebolehan diri kita mirip kepada kecemerlangan. Jadi semailah padi agar yang dituai nanti padi. Jangan semai lalang nanti yang tumbuh nanti juga lalang.