25 Oktober 2009

Petua Memilih Sahabat

"Sekiranya kamu hendak mengetahui akan tingkah laku, peribadi atau kelakuan seseorang adakah ia seorang yang soleh atau toleh maka tidak perlu engkau bertanya di sana sini. Cukup dengan kamu melihat siapakah kawannya dan siapakah orang-orang yang disayanginya dan dari itu kamu akan mengetahui peribadinya kerana seseorang yang berkawan ia akan mengikut kelakuan dan perbuatan kawannya itu.'

Berkata Ulama

"Janganlah kamu berkawan melainkan dua orang dari tiga orang iaitu orang yang engkau pelajari daripadanya sesuatu urusan agamamu maka orang itu pun memanfaatkan ilmunya kepadamu. Kedua ialah orang yang engkau sendiri memanfaatkan ilmu agamamu kepadanya lalu ilmu itu diterimanya daripadamu dan diamalkannya. Ketiga ialah orang yang engkau tidak mempelajari apa-apa ilmu agama pun darinya dan engkau sendiri tidak mengajarkan kepadanya maka yang lebih eloknya, larilah
kamu daripadanya."

Petikan dari Nasihat Al-Qamah kepada Puteranya

Berpesan Al-Qomah kepada puteranya, "Wahai puteraku!Sekiranya engkau merasakan perlu untuk bersahabat dengan seseorang maka hendaklah engkau memilih teman-teman yang memiliki sifat berikut:-

Jika kamu ditimpa bencana, maka temanmu itu akan cuba melakukan sesuatu untuk menghilangkan dan meringankan kesusahanmu itu.

Jika kamu meminta sesuatu bantuan atau pertolongan dari temanmu itu, maka ia akan segera mengusahakannya.

Jika kamu merancangkan sesuatu maka temanmu itu akan turut membantumu dengan memberikan pandangannya.

Jika kamu bercakap-cakap dengannya maka temanmu itu akan membenarkan kata-katamu itu.

Jika temanmu melihat sesuatu yang tidak baik dari perbuatan atau perkataanmu maka dia akan menutupinya

Jika kamu mengeratkan hubungan persahabatan dengan temanmu itu maka dia akan membalas dengan baik talian persahabatan itu.

Jika kamu menghulurkan sesuatu kebaikan maka ia akan menerimanya dengan baik malah membalasnya kembali

Jika temanmu itu mendapat sesuatu kebaikan atau kebajikan darimu maka ia akan mengingati, menghargai dan menyebutkan kebaikanmu itu.

Jika kamu berdiam diri atau malu untuk meminta sesuatu darinya maka dia akan bertanyakan akan kesusahanmu itu.

Jika kamu berselisih faham dengannya maka ia lebih rela mengalah demi untuk memelihara persahabatanmu itu.

Jangan Benci - Membenci

RAMAI juga orang yang gagal dalam pergaulan kerana menyimpan perasaan BENCI dalam hati mereka. Tuhan itu maha adil. Perasaan benci dalam diri kita akan menyebabkan ramai orang mudah benci terhadap kita. Misalnya, orang yang membenci ibu bapanya mungkin akan dibenci oleh rakan-rakannya. Orang yang membenci jirannya atau bekas kekasihnya mungkin akan dapat kebencian daripada rakan sekerjanya atau malahan ketua jabatannya. Justeru hapuskanlah segala perasaan benci daripada hati kita agar kita mudah menjalin hubungan dengan orang lain.

Kaedah Mengikis Benci
Cara yang terbaik untuk mengikis benci ialah dengan memaafkan semua orang sebelum tidur malam. Jika setiap malam sebelum tidur kita sentiasa mencuci muka, memberus gigi, membersihkan diri dan mengibas tempat tidur, tidak bolehkah kita mencuci hati kita dengan memaafkan semua orang sebelum tidur?

Pengalaman secara peribadi penulis menunjukkan bahawa dengan memaafkan semua orang sebelum tidur, kita akan dapat membersihkan hati serta menenangkan fikiran dan mudah menjalin hubungan baik dengan orang lain.


Faktor-faktor Yang Boleh Merangsang Kehebatan Dalam Pergaulan
Antara faktor yang menyebabkan kita mudah berinteraksi dengan orang lain dan orang lain mudah tertarik kepada kita ialah :-

1 Jaga solat dan lakukan ibadah-ibadah khusus dan umum yang lain.

2) sentiasa bersangka baik terhadap orang ( walaupun kita perlu berwaspada setiap masa)

3) Sentiasa memberikan senyuman ikhlas kepada orang di sekeliling kita.

4) Banyakkan bersedekah, samada dalam bentuk wang, senyuman, bantuan tenaga, masa, nasihat, idea, pandangan, sokongan moral dan doa yang berterusan.

5) Sentiasa memperbanyakkan sabar. Nabi s. a. w. pernah berpesan supaya mencari 144 sebab sebelum kita memarahi orang.

6) Sentiasa ceria apabila berjumpa dengan orang lain. Pastikan setiap orang seronok berinteraksi dengan kita.

7) Pamerkan perasaan sayang dan sentiasa sayang -menyayangi antara satu dengan yang lain.

8) Bentuk dan pamerkan sahsiah yang positif setiap masa. Peribadi yg kurang sopan akan menyebabkan orang lain rasa mual terhadap kita.

9) Amalkan sunnah-sunnah harian setiap masa dan insyaAllah orang lain akan tertarik kepada kita.

10) Jika wujud sebarang perasaan sombong atau benci terhadap orang lain, terus ingatkan diri kita tentang mati. Kita mudah insaf dan balik ke pangkal jalan apabila mengingati mati.

11) Sentiasa syukur dan redha atas pemberian Allah swt.

12) Sentiasa memberi salam dan ucap selamat kepada orang lain. Pemberian salam akan mengukuhkan hubungan sesama manusia.

13) Pamerkan simpati kepada setiap individu-individu yang memerlukan simpati dan perhatian.

14) Jadilah pendengar dan kawan yang setia.

15) Sampaikan berita baik tentang orang lain dan sembunyikan kelemahan atau keburukan orang lain.

16) Sentiasalah bermaaf-maafan sebelum berpisah dengan seseorang dan iringi perpisahan dengan doa.

Terlebih dahulu baiki diri untuk menarik perhatian orang lain terhadap diri kita, kita perlu Orang yang mengasihi dirinya tidak akan melakukan sebarang kegiatan yang boleh men-sabotaj dan merosakkan dirinya. Setiap tindak-tanduknya akan dilakukan secara berhikmah dan sentiasa memikirkan perasaan orang lain. Ingatlah pesanan seorang sarjana:

"Orang tidak kisah setakat mana yang anda tahu (berilmu), sehinggalah mereka tahu yang anda kisah terhadap mereka.

Doa Tidak Lengkap

“Selamat pengantin baru semoga kekal hingga ke anak cucu''.

Ucapan yang berbentuk doa ini biasa ditulis di atas bungkusan hadiah yang disediakan atau lumrah diucapkan sebagai tahniah kepada pasangan pengantin baru. Doa yang dipohonkan oleh ramai orang, biasanya akan dimakbulkan Tuhan. Oleh kerana itu tanpa disedari, harapan ikhlas daripada kaum kerabat dan sahabat handai dalam doa yang disampaikan tadi menjadi kenyataan.

Ditakdirkan, jodoh kedua-dua pasangan tersebut tidak berpanjangan. Lebih memilukan lagi perceraian justeru berlaku sewaktu anak-anak sudah berumah tangga dan beranak pinak.

Akhirnya, pasangan tersebut bercerai selepas bergelar datuk dan nenek, sesuai dengan doa para hadirin yang mengiringi perkahwinan mereka.

Kenapa tidak kita doakan mereka `berkekalan dan bahagia hingga ke akhir hayat'? Keadaan ini hanyalah salah satu contoh permohonan doa kepada Allah s. w. t. yang kurang lengkap dan sempurna.

Sememangnya Allah Maha Pemurah dan sentiasa mendengar dan mengabulkan permohonan hamba-hamba-Nya, sebagaimana Firman-Nya: ``Mintalah kepada-Ku, pasti Aku kabulkan permintaanmu.'' (al-Mukmin:
60)

Namun, ibarat mengirim surat permohonan kerja, jawatan yang diminta biarlah jelas dan terang. Jangan sampai lain yang diharap lain pula yang dapat.

Beberapa lagi contoh yang berkaitan dengan doa yang kurang lengkap ini ialah mohon dipanjangkan umur.

Sedangkan usia panjang itu sebaiknya disertakan dengan tubuh badan yang sihat untuk beramal ibadat, bukan umur lanjut yang akhirnya membebankan keluarga di sekelilingnya.

Begitu juga permohonan dimurahkan rezeki dan ditambahkan harta kekayaan.

Sepatutnya kita meminta ditambahkan rezeki yang halal dan diberkati, yang dengannya kita dapat beramal jariah dan memanfaatkannya ke jalan Allah s. w. t.

Jangan sampai rezeki yang melimpah ruah, menjadikan kita lupa diri sebagai hamba-Nya dan lebih fatal lagi lupakan Allah.

Kisah yang berlaku pada Tsa'labah bin Hatib berikut ini barangkali boleh dijadikan peringatan, walaupun peristiwa tersebut bukan merujuk pada masalah yang disebutkan di atas.

Tsa'labah meminta Rasulullah s. a. w. berdoa kepada Allah agar dia diberi rezeki harta. Baginda menasihatkannya supaya mensyukuri apa yang ada kerana bimbang dia tidak kuat menerimanya.

Tetapi Tsa'labah tetap mendesak dan berjanji akan memberikan bahagiannya kepada yang berhak sekiranya dia kaya.

Rasulullah s. a. w. pun berdoa: ``Ya Allah berikanlah Tsa'labah rezeki harta, berilah dia kambing.''

Dengan kehendak Allah s. w. t. kambing-kambing Tsa'labah membiak banyak seperti ulat, sehingga kota Madinah seolah-olah menjadi sempit kerananya.

Kerana terlalu sibuk dengan `hartanya' ini, Tsa'labah hanya sempat menunaikan solat jemaah Zuhur dan Asar. Akhirnya dia hanya sempat sembahyang Jumaat, yang kemudiannya ditinggalkannya juga.

Mendengar keadaan Tsa'labah, Rasulullah s. a. w. bersabda: ``Rugilah Tsa'labah.'' Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali.

Kemudian Allah menurunkan perintah supaya orang yang berharta mengeluarkan sedekah untuk membersihkan dan menyucikan mereka.

Apabila baginda menghantar utusan disertakan surat kuasa kepada Tsa'labah untuk mengutip zakat yang diperintahkan Allah s. w. t., Tsa'labah bahkan dengan sinis berkata berkali-kali: ``Ini tidak lain mestilah ceti''.

Selepas utusan-utusan tadi memungut zakat daripada orang lain, mereka kembali semula kepada Tsa'labah. ``Tunjukkan surat itu kepadaku,'' katanya. Setelah membacanya dia berkata: ``Ini sama sahaja dengan ceti. Kembalilah kalian, biar aku fikirkan dulu.''

Sabda Rasulullah s. a. w. : ``Celakah kamu wahai Tsa'labah!''.

Akhirnya Allah menurunkan ayat 75-77 yang menceritakan tentang kemunafikan orang yang memungkiri janjinya.

Berita turunnya ayat tersebut kemudiannya sampai kepada Tsa'labah. Dia datang menemui Nabi s. a. w. untuk menyampaikan zakatnya, tetapi jawab Baginda s. a. w.: ``Allah telah melarangku menerima zakat kamu.''

Selepas Baginda s. a. w. wafat, zakat Tsa'labah tetap tidak diterima oleh Khali-fah Abu Bakar dan Umar al-Khattab.

Sekiranya kisah Tsa'labah ini boleh kita kaitkan dengan doa yang kurang lengkap kepada Allah, bayangkan rezeki melimpah yang diminta bukan mendatangkan kebahagiaan sebaliknya mengundang kecelakaan.

Rasulullah s. a. w. selalu berdoa : ``Ya Allah, sesungguhnya aku mohon kepada-Mu kehidupan yang bersih, kematian yang lurus dan kembali tanpa kehinaan dan kecelaan.''

Punca anak yang derhaka

Sabda Rasulullah s. a. w. "Berguraulah dengan anak kamu kala usianya satu hingga tujuh tahun. Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat. Lepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia (sebagai pengajaran)" dimana yang nak dipukul tu? Tapak kakinya..... bukan muka, punggung, telinga dan ditempat-tempat yang sensitif.... itu salah....

"Jika dia bijak dan menang dalam sebarang pertandingan sekolah, ucapkan tahniah. Tidak salah kita cium atau peluk mereka sebagai tanda penghargaan. Kala umur mereka 14 hingga 21 tahun jadikan kawan. Tetapi selalunya usia beginilah ibu bapa mula merenggangkan hubungan dan ini menyebabkan anak derhaka". Yang penting anak-anak harus dilatih sembahyang jemaah bersama, latih cium tangan dan peluk penuh kasih dan sayang, maka mereka tidak akan tergamak menderhaka. "Saya pernah tinjau, anak-anak yang lari daripada rumah, berpunca daripada rasa bosan. Belum sempat letak beg sekolah, ibu dah suruh macam-macam. Si anak rasa tertekan dan menyampah dengan persekitaran dan rumahnya. Boleh disuruh tetapi berikan hak mereka dirumah. Yang penting dia balik ke rumah suka, dan pergi sekolah pun seronok. "Mungkin ibu bapa punya alasan tidak rapat dengan anak-anak kerana sibuk. Kita boleh cuba cara lain, balik di tengah malam, anak-anak sudah tidur, pergi bilik dan cium dahinya. Hubungan rohani tetap subur, walaupun anak tidur tetapi jiwanya sentiasa hidup." Jangan kita tunjuk sikap kita yang panas baran, pemarah dan ada kuasa veto kepada mereka, jangan suka mengherdik mereka dengan perkataan "bodoh, kurang ajar, sumpah seranah dan sebagainya yang merupakan doa kepada mereka". inilah yang menyebabkan mereka derhaka kepada kita...

DOA ANAK-ANAK TERMAKBUL

Lazim orang tua, pantang anak menegur! walaupun tahu mereka bersalah. Jangan rasa tercabar kerana pesan orang tua-tua, bisa ular tidak hilang walau menyusur di bawah akar. Sayyidina Umar berkata, kanak-kanak tidak berdosa dan doa mereka mudah diterima. Begitu juga dengan Rasulullah, kalau berjumpa anak-anak kecil, Baginda cukup hormat dan sayang sebab anak-anak tidak berdosa. Lagipun kanak- kanak kalau menegur memang ikhlas dan jangan ambil endah tidak endah. Perasaan anak juga mesti dihargai, sesetengah orang tua kurang bercakap dengan anak-anak. Kalau menegur pun dengan ekor mata dan herdikan. Si anak rasa tersisih dan tidak dihargai. Kepada kawan tempat mereka mengadu, bila jumpa kawan baik tidak mengapa, tetapi jumpa yang samseng, ia sudah tentu membawa padah.

BERTAUBAT SEBELUM MELARAT

Jika Tuhan menurunkan hidayah, segeralah insaf dan bertaubat. Tetapi apa caranya jika orang tua telah meninggal sedangkan sewaktu hidupnya kita derhaka dan melawan mereka? Bila i! nsaf, selalulah ziarah kubur emak ayah kita dan bacakan ayat-ayat suci untuknya. Jumpa semula kawan-kawan baik ibu atau jiran-jiran yang masih hidup dan buat baik dengan mereka. Sedekah ke masjid atas nama ibu ayah. Walaupun ibu ayah sudah meninggal, minta maaf berkali-kali semoga ibu redha dan Allah ampunkan dosa. Allah maha pengampun dan luas rahmatnya. Tetapi jangan ambil kesempatan buat jahat kemudian bertaubat. Hidup tidak tenteram atau bala turun. Cuba kita perhatikan kemalangan yang berlaku setiap hari. Misalnya tayar kereta pecah, jangan lihat dengan mata kasar, selidik apa salah yang telah kita buat hari ini. Pertama bagaimana hubungan kita dengan Tuhan, jika semuanya baik, turun ke peringkat kedua, bagaimana pula hubungan dengan ibu? "Pastikan hubungan dengannya sentiasa harmoni dan lancar. Tidak rugi menjalinkan hubungan yang baik kerana hayat mereka bukanlah terlalu panjang untuk bersama kita."

HUBUNGAN DENGAN BAPA

Lazim ibu yang dilebihkan, sedangkan bapa menjeruk perasaan kerana tidak dipedulikan anak-anak. "Hubungan dengan bapa sepatutnya sama dengan ibu tetapi dalam konteks Islam, kalau berlaku pertembungan, nabi suruh utamakan ibu dahulu. Tiga kali ibu barulah sekali kepada bapa." Bagaimanapun sebaik-baiknya, kasih sayang dan perhatian biar sama agar kedua-duanya tidak berkecil hati. Begitu juga dengan nenek, walaupun kata-katanya ada yang mengarut tetapi jangan melawan di depan mereka. Sebenarnya golongan nyanyuk dan tua mencabar kesabaran kita. Walaupun Allah tidak ambil kira kata-kata mereka tetapi kita wajib mentaati dan menghormati golongan tua."

USAH DERHAKA KEPADA MENTUA

Mentua mesti dimuliakan seperti kita menghormati orang tua sendiri. Kalau mereka kecil hati, samalah seperti tersinggungnya hati emak. Kita sayang anaknya kenapa tidak sayang orang yang melahirkannya juga? "Saya tahu, ada menantu kecil hati dan pendam perasaan! terhadap mentua yang terlalu ambil berat tentang anaknya. Bersabarlah dan jalin hubungan baik kerana taraf mereka sama seperti ibu bapa kandung," jelasnya. Kewajipan anak lelaki, pertama kepada Allah, kedua rasul, ketiga emak dan emak mentua, keempat bapa dan bapa mentua dan kelima baru isteri. Isteri kena faham, kalau dia sayang dan melebihkan ibu bapa, itu memang wajar.

"Sebaliknya anak perempuan, yang pertama Allah, kedua rasul dan ketiga suami. Jalan pintas ke syurga bagi anak-anak selain Allah adalah emak dan ayahnya. "Perasaan mentua perlu dijunjung kerana mereka berhak ke atas menantu. Seperti kisah Nabi Allah Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail. Suatu hari, Nabi Ibrahim ke rumah anaknya dan kebetulan Nabi Ismail tidak ada di rumah isterinya pun tidak kenal dengan mentuanya. Menantu berkasar menyebabkan Nabi Ibrahim kecil hati. Dan sebelum balik dia berpesan kepada menantunya suruh suaminya tukar alang rumah kepada yang baru.! Bila Nabi Ismail balik, isterinya pun menggambarkan rupa lelaki tersebut menyampaikan pesan. Nabi Ismail sedar itu adalah ayahnya. Nabi Ismail insaf disebalik simbol kata-kata ayahnya, bahawa isterinya bukan daripada kalangan wanita yang berakhlak, lalu diceraikan. Nabi Ismali berkahwin kali kedua dan bapanya masih tidak mengenali menantu. Sekali lagi Nabi Ibrahim melawat dan menantunya melayan dengan bersopan santun walaupun tidak kenal siapa Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim tertarik hati dan sebelum balik berpesan lagi, katakan alang rumah anaknya sudah cukup baik dan jangan ditukar kepada yang lain.

Tips Mendidik Anak

Menurut Pakar Motivasi Dr Hasan Hj Mohd Ali, terdapat 40 kesilapan ibubapa dalam mendidik anak-anak. Iaitu;

1) Pemilihan jodoh tanpa memperhitungkan mengenai zuriat.

2) Perhubungan suami isteri tanpa memperhitungkan mengenai zuriat.

3) Kurang berlemah lembut terhadap anak-anak.

4) Memaki hamun sebagai cara menegur kesilapan anak-anak.

5) Tidak berusaha mempelbagaikan makanan yang disaji untuk anak-anak.

6) Jarang bersama anak-anak sewaktu mereka sedang makan.

7) Melahirkan suasana yang kurang seronok ketika makan.

8) Membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak-anak.

9) Kurang melahirkan kasih sayang.

10) Sering mengeluh di hadapan anak-anak.

11) Tidak meraikan anak-anak ketika mereka pergi & pulang dari sekolah.

12) Tidak mengenalkan anak-anak dengan konsep keadilan.

13) Tidak memberatkan pendidikan agama dikalangan anak-anak.

14) Tidak terlibat dengan urusan pelajaran anak-anak.

15) Tidak programkan masa rehat dan riadah anak-anak.

16) Tidak menggalakkan dan menyediakan suasana suka membaca.

17) Mengizinkan anak menjamah makanan @ minuman yang tidak halal.

18) Tidak tunjuk contoh tauladan yang baik di hadapan anak-anak.

19) Jarang meluangkan masa untuk bergurau senda dengan anak-anak.

20) Terdapat jurang komunikasi di antara ibu bapa dan anak-anak.
21) Tidak menggunakan bahasa yang betul.

22) Suka bertengkar di hadapan anak-anak.

23) Senantiasa menunjukkan muka masam di hadapan anak-anak.

24) Tidak Membimbing Anak-anak supaya mematuhi syarat.

25) Memberi kebebasan yang berlebihan kepada anak-anak.

26) Terlalu mengongkong kebebasan anak-anak.

27) Tidak menunaikan janji yang dibuat terhadap anak-anak.

28) Tidak menunjukkan minat kepada aktiviti anak-anak.

29) Tidak memupuk semangat membaca di kalangan anak-anak.

30) Tidak berminat melayan pertanyaan atau kemusykilan anak-anak.

31) Tidak memberi perhatian terhadap buah fikiran anak-anak.

32) Lambat memberi penghargaan kepada anak-anak.

33) Kerap Meleteri sesuatu kesilapan yang dilakukan oleh anak-anak.

34) Hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

35) Sering mengancam dan menakutkan anak-anak.

36) Menghukum tanpa menyatakan kesalahan yang dilakukan.

37) Tidak konsisten dalam menjatuhkan hukuman keatas anak-anak.

38) Memberi nasihat yang sama kepada anak-anak.

39) Tidak tegas mendidik anak-anak.

40) Tidak menggalakkan anak-anak hidup bekerjasama.

Teknik mengajar anak MENGHORMATI and mengeratkan hubungan ibu bapanya

1. Jika si ibu marahkan anak, bapa DILARANG backing anak semasa anak itu dimarahi. Begitulah sebaliknya. Jika tidak, anak akan hilang rasa hormat terhadap ibu/bapa yg memarahi. Anak mencontohi apa yg diajar/dididik oleh ibu bapanya. Apabila berlaku percanggahan arahan/undang2, anak akan menjadi keliru arahan/undang2 siapakah yg patut dipatuhi. Si ibu atau si bapa. Apabila berlaku pertentangan pendapat yg terang2 ditunjukkan ibu bapa ke atas anak ketika dimarahi, ia telah menjatuhkan MARUAH dan MARTABAT org yg memarahi (ibu/bapa). Anak hilang rasa hormat dan merasakan perbuatan nakal mereka adalah betul belaka kerana ada yg backing.

2. Bapa DILARANG menengking/mengherdik/bertengkar Ibu di hadapan anak2. Begitulah sebaliknya. Anak mencontohi tindak tanduk ibu bapa. Satu rutin putaran kehidupan akan kembali dilakukan oleh anak ke atas ibu yg sering ditengking oleh bapa di hadapan anak2.

3. Sentiasa masak utk anak dan ajak anak sama2 masak/makan, makanan hasil tangan ibu ini dapat mengeratkan hubungan rohani anak dan ibu.

4. Ibu bapa MESTI makan bersama anak-anak

Islam membina keluarga penyayang

Manusia ialah makhluk Allah yang paling mulia di muka bumi ini. Allah mencipta manusia untuk memakmurkan dunia dan beribadat kepadanya. Asas ciptaan manusia adalah daripada roh dan jasad. Jiwa manusia perlu kepada agama untuk memenuhi keperluan rohani . Perasaan beragama juga perlu untuk memenuhi kebahagiaan hidupnya. Sekiranya perasaan ini hilang, maka terumbang-ambinglah manusia itu tanpa tujuan dan matlamat hidup.

Hidup manusia bukan setakat di dunia sahaja. Mereka akan dibangkit semula di akhirat untuk mendapat pembalasan daripada Allah S. W. T tentang amalan mereka di dunia ini. Pembalasan itu adalah setimpal dengan kelakuan mereka semasa hidup. Ini kerana Islam telah menetapkan peraturan dan undang-undang yang perlu diikuti oleh manusia untuk menjadi panduan hidup mereka. Peraturan dan syariat Islam adalah ciptaan Allah yang hanya disampaikan kepada manusia melalui para Rasul dan Nabi. Manakala Nabi Muhammad s. a. w. pula sebagai nabi yang terakhir untuk seluruh umat manusia di dunia hingga hari kiamat.

Membina keluarga yang bahagia dan penyayang mestilah mengikut ajaran dan panduan yang digariskan oleh agama. Islam memberi petunjuk kepada manusia bagaimana cara membaiki keadaan hidupnya, mengenal hak dan kewajipan dalam pergaulan, bahkan dalam segala pekerjaan supaya manusia berbahagia dan untung di dunia dan akhirat.

Islam mendidik manusia supaya hidup berkesopanan. Bercakap benar, berlaku jujur, malu berbuat dosa, memenuhi tanggungjawab, memelihara amanah, berlaku adil adalah antara contoh sikap yang baik dan berguna. lni kerana ketenteraman hidup berjalan atas dasar-dasar yang disenaraikan tadi. Manakala perbuatan bercakap dusta, berbuat curang, berlaku kianat, rendah budi, zalim dan melakukan kekejaman adalah antara sifat yang boleh merosakkan pergaulan dan memutuskan perhubungan.

Pembentukan keluarga dalam Islam bermula dengan ikatan perkahwinan antara lelaki dan perempuan secara sah mengikut hukum Islam itu sendiri. Apabila rumah tangga itu dibina dengan sempurna dan sah, maka ia mendapat keredhaan dan berkat dari Allah S. W. T. Banyak rumah tangga yang dibina tanpa mengikut landasan agama menemui kehancuran dan kegagalan seperti kahwin lari tanpa restu keluarga atau pasangan yang cetek pengetahuan tentang agama.

Untuk memupuk keharmonian hidup berumahtangga, setiap suami isteri hendaklah mematuhi dasar-dasar hukum yang digariskan oleh Islam agar terhindarlah perkara-perkara yang tidak diingini. Islam telah mengingatkan bahawa isteri adalah amanah daripada Allah dan hendaklah dijaga dengan sebaik-baiknya. Bagi pihak isteri pula, Allah telah menegaskan bahawa mereka wajib mentaati suami mereka pada jalan Allah dan haram bau Syurga sekiranya mereka menderhaka terhadap suami selagi si suami patuh dan taat kepada landasan hukum Islam.

Hubungan yang baik antara anak dan ibu bapa akan membawa ke arah keluarga yang bahagia. Islam telah memberikan perhatian yang penting ke atas dua pihak berkenaan. Agama mewajibkan anak-anak mentaati kedua orang tuanya. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Syurga di bawah tapak kaki ibu".

Anak-anak harus menumpahkan kasih sayang kepada kedua ibu bapa sekalipun ibu bapa kafir dan ingkar terhadap Allah, namun mereka berhak mendapat penghormatan daripada anak-anak mereka. Ini kerana daripada mereka berdualah lahirnya anak-anak ke dunia ini. Anak-anak harus mentaati ibu bapa mereka yang beragama Islam dalam urusan hidup yang tidak bertentangan dengan Islam. Islam melarang keras kita mencela atau memarahi mereka dengan bahasa yang kasar. Kita haruslah menasihati mereka dengan baik dan sopan.

Betapa berat soal anak-anak menghormati ibu bapa, berat lagi tanggung jawab ibu bapa mendidik anak-anak mereka ke jalan diredai Allah S. W. T. Ibu bapa wajib memberikan pendidikan yang betul kepada anak-anak mereka. Tanpa bekalan ilmu untuk dunia dan akhirat, anak-anak akan hidup terumbang-ambing. Kecuaian ibu bapa memberikan pendidikan agama yang sepatutnya, maka timbulah gejala sosial kepada anak-anak seperti budaya lepak, bohsia yang melanda negara kita sekarang ini.

lbu bapa merupakan model kepada anak-anak. Oleh itu ibu bapa perlulah berkelakuan yang sopan dan mulia. Tingkah laku mereka mudah menjadi perhatian dan ikutan anak-anak. Dampingilah anak-anak dengan memberikan kasih-sayang yang sempurna. Luangkan masa untuk berbincang tentang masalah mereka. Anak-anak perlu diberikan kasih sayang dan perhatian. Sekiranya diabaikan tanggung jawab ini, jiwa anak-anak akan merasa kekosongan dan mereka tidak diperlukan oleh ibu bapanya. Mereka akan mencari sesuatu yang dapat memenuhi jiwa mereka di luar rumah. Akibatnya ramai yang tercebur ke kancah maksiat dan dadah, maka porak perandalah keluarga tersebut. Sabda Rasulullah s. a. w yang bermaksud; "Hak anak atas bapanya, supaya membaikkan akhlaknya dan membaikkan namanya ".

Kewajipan ibu bapa ialah membentuk peribadi anaknya selaras dengan tuntutan Allah S. W. T. Ini akan membahagikan hidup mereka di dunia dan akhirat. Apabila jiwa anak-anak telah ditanam dengan taqwa dan keimanan Islam, maka kasih sayang dan hormat menghormati wujud dalam keluarga tersebut. Ibu bapa wajib memberikan ilmu dunia dan akhirat kepada anak-anak mereka. Anak-anak yang berilmu dan beriman akan sentiasa mengingati ibu bapa mereka apabila mereka telah tua atau pun telah meninggal dunia. Sabda Rasuluilah s. a. w yang bermaksud; "Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara sahaja iaitu sedekah yang berkekalan, ilmu yang boleh dimanfaatkan dengannya dan doa daripada anak-anak yang soleh".

Islam juga menganjurkan supaya kita mempunyai hubungan yang baik sesama individu. Sabda Rasullullah yang bermaksud; "Tidak beriman seseorang kamu sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri. Nabi s. a. w bersabda lagi yang bermaksud; "Yang paling baik di antara kamu ialah yang baik pergaulannya terhadap keluarganya". Anak-anak perlulah dididik dengan pergaulan yang baik sesama mereka. lbu bapa mestilah berlaku adil dalam melayani kerenah anak-anak mereka supaya terhindar perasaan dengki, iri hati dan dendam. A nak-anak yang lebih kecil hendaklah rnenghormati abang yang lebih tua. Manakala abang mestilah bertolak ansur dengan adik-adik mereka. Apabila sikap ini dapat ditanam dalam diri anak-anak, tiadalah permusuhan dan perbalahan dalam keluarga dan mereka saling sayang dan menyayangi antara satu dengan lain. Aman tenteram dan berbahagialah keluarga tersebut

Islam amat mengambil berat dalam membentuk keluarga yang penyayang. Hidup dalam bahagia dan aman sentiasa serta saling tolong menolong antara satu sama lain. Islam telah menggariskan panduan untuk menunjuk ke arah tersebut. Oleh itu membina keluarga yang penyayang dan harmoni maka kita mestilah mengikuti landasan agama.

Persoalan Hidup Seorang Manusia, Kenapa ?

KENAPA AKU DIUJI?

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta."

-Surah Al-Ankabut ayat 2-3

KENAPA AKU TAK DAPAT APA YG AKU IDAM-IDAMKAN?

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."

-Surah Al-Baqarah ayat 216

KENAPA SUSAH SANGAT UJIAN INI?

"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."

-Surah Al-Baqarah ayat 286

RASA FRUST? TENSION? LEMAH SEMANGAT?

"Jgnlah kamu bersikap lemah, dan jgnlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah org2 yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org2 yg beriman."

- Surah Al-Imran ayat 139

BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah- daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)."

-Surah Al-Imran ayat 200

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk"

-Surah Al-Baqarah ayat 45

APA YANG AKU DAPAT DRPD SEMUA INI?

"Sesungguhnya Allah telah membeli dr org2 mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga utk mereka... ..

-Surah At-Taubah ayat 111

KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?

"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain drNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal."

-Surah At-Taubah ayat 129

ARGHHH AKU TAHAN!!! AKU DAH BOSAN!!

"... .. dan jgnlah kamu berputus asa dr rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dr rahmat Allah melainkan kaum yg kafir."

-Surah Yusuf ayat 12

Rahsia dan Nikmat disebalik erti "SABAR".

MAKSUD "sabar" dalam konteks amalan batin ialah menahan hawa nafsu daripada dipengaruhi oleh sebarang gelora atau kegemparan hati atau tekanan jiwa atau perasaan atau rangsangan yang menimbulkan rasa marah atau berontak, resah- gelisah, tidak rela, sugul, kecewa atau putus asa, akibat daripada pengalaman menghadapi kesusahan, ketidak- selesaan atau sesuatu keadaan yang tidak disukai atau tidak diingini.

Kesabaran itu harus meliputi empat tindakan, iaitu:

* tabah dan tekun dalam mengerjakan taat atau ibadat kepada Allah;
* menahan diri daripada melakukan maksiat atau kemungkaran;
* memelihara diri daripada dipukau oleh godaan dunia, nafsu dan syaitan;
* tenang / teguh hati menghadapi cubaan atau musibat.

Sabar yang demikian itu adalah suatu tuntutan dalam agama dan merupakan satu ibadah, malah segala ibadat itu didirikan di atas sabar, kerana dalam mengerjakan ibadat itu kita terpaksa menanggung kepayahan dan pengorbanan.

Malah, dalam segala lapangan, kita perlu bersabar dan menangani segala kesukaran dan rintangan yang dihadapi. Orang yang gagal bersabar tidak akan tercapai matlamat dan manfaat ibadatnya.

Antara tujuan kita disuruh mempertahankan kesabaran itu ialah:

Pertama, supaya dapat mengerjakan ibadat dengan tenteram dan dapat mencapai kesempurnaan dan seterusnya mencapai matlamatnya. Jika tidak bersabar, tekanan dan ekoran daripada pelbagai kesukaran atau daripada padah pelbagai musibat menjadikan kita keluh-kesah, lalu kehilangan punca kekusutan dan pertimbangan. Keadaan ini tentulah akan mengganggu konsentrasi dan penghayatan dalam kerja ibadat, khususnya. Kadang-kadang sampai tidak dapat meneruskannya.

Kedua, untuk mencapai kejayaan (kebajikan dunia dan akhirat).

Antara firman Allah Taala tentang hal ini ialah: "Dan Kami jadikan antara mereka itu pemimpin yang memberi pertunjuk dengan perintah kami ketika mereka bersabar". (QS. 32:24); "Mereka itulah orang- orang yang dibalas (dikurniakan) bilik (martabat yang tinggi di syurga) kerana mereka bersabar (menjunjung taat kepada Allah), dan mereka dialu-alukan di dalamnya
(syurga) dengan penghormatan dan ucapan salam kesejahteraan (oleh para malaikat)". (QS. 25:75); "Sesungguhnya orang-orang yang bersabar itu dicukupkan ganjaran pahala mereka tanpa batas". (QS.
39:10);

Allah Taala menganjurkan kita supaya bersabar. Firman-Nya
(mafhumnya): "Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu
(melakukan taat dan menghadapi musibat), teguhkanlah kesabaran kamu, tetapkanlah kewaspadaan serta siap siaga dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung (merebut syurga dan bebas dari neraka).
(QS. 3:200).

Apabila seseorang itu berjaya mempertahankan kesabarannya dalam keempat-empat keadaan tersebut di atas, maka tercapailah darjat istiqamah dan taat dengan mendapat ganjaran pahalanya yang besar. Orang itu tidak akan terjatuh ke jurang maksiat.

Saiyidina Ali Abu Talib k. a. w pernah bermadah, maksudnya: Jika engkau bersabar, takdir itu berlaku juga ke atas diri mu, tetapi engkau dikurniakan ganjaran pahala. Jika engkau tidak sabar pun, takdir tetap berlaku juga ke atas dirimu dan engkau berdosa.

DALAM konteks menghadapi ujian (qadhak) atau musibat atau mala petaka, seseorang hamba Allah itu, insya Allah, akan berjaya mengekalkan kesabarannya , jikalau dia sentiasa mengingati atau mengekalkan kesedaran tentang hakikat atau hikmat musibat itu, atau jika hamba Allah itu sentiasa menaruh sangkaan baik terhadap Allah Taala. Malah, dengan yang demikian, kesabaran dan keimanannya akan bertambah teguh.

Sebagai perbandingan tentang hakikat musibat itu, kita katakan ada seorang bapa yang melarang keras anaknya memakan sejenis makanan yang amat digemari oleh anaknya itu. Sebaliknya sang bapa itu memaksa anaknya memakan makanan biasa daripada bahan yang murah, walaupun dia cukup mampu membeli makanan istimewa yang menjadai kegemaran anaknya itu. Apakah penerimaan atau reaksi sang anak terhadap tindakan bapanya itu?

Dan apakah kata kita terhadap sang bapa itu? Mungkin ramai antara kita akan mengatakan sang bapa itu kedekut, bakhil, tidak bertimbangrasa dan sebagainya. Akan tetapi kita tidak harus menuduh sebarangan kepada sang bapa itu sebelum kita tahu apa tujuan dia bertindak demikian. Kita harus mencari sebab-musababnya.

Inilah tindakan wajar orang yang bersabar. Demikianlah antara cara kita berhadapan dengan keadaan yang tidak menyenangkan kita atau apabila menerima cubaan atau musibat yang ditakdirkan oleh Allah Taala ke atas diri kita. Kita tidak harus terus melenting marah atau kesal mengikut arus perasaan atau rangsangan nafsu dan syaitan, kerana kita tidak tahu rahsia hakikat dan hikmat di sebalik takdir itu.

Bandingannya, katakan kita tahu, tujuan sang bapa tersebut bertindak demikian adalah kerana anaknya itu sedang mengidap suatu penyakit yang mengikut doktor, sang anak itu akan menghadapi bahaya apabila memakan makanan kegemarannya itu.

Sekarang apa kata kita? Tidakkah tuduhan-tuduhan terhadap sang bapa tadi tergugur dengan sendirinya? Dan, sang anak itu pula, apa bila mengetahui tujuan bapanya itu, apakah wajar memarahi bapanya atau berkecil hati atau menyesali tindakan bapanya itu? Sekarang tentulah kita akan mengatakan, sang bapa itu adalah seorang bapa yang bertanggungjawab dan anaknya pula tidak sepatutnya menyesali tindakan bapanya yang demikian. Katakan lagi, sang bapa membawa anaknya itu ke hospital, lalu ditahan di wad hospital itu. Maka itu terpenjaralah sang anak di hospital, terpaksa berpisah dengan keluarga dan kawan-kawanya. Selain itu dia terpaksa minum dan menelan ubat-ubat yang pahit dan disuntik. Rawatan seterunya ialah pembedahan.

Pada zahirnya, sang anak itu menderita terseksa, tetapi apabila diyakini, bahawa 'seksaan' itu adalah untuk menyelamatkannya daripada ancaman dan seksaan sebenar yang berpanjangan daripada penyakit yang dihidapinya itu, maka 'seksaan' sementara itu seharusnya diterima dengan hati terbuka, penuh rela, tenang, dan sabar.

Demikianlah semestinya penerimaan kita terhadap musibat atau ujian drpd Allah Taala. Sebenarnya penyakit itu sendiri merupakan suatu cubaan atau musibah. Melalui penyakit, kita diuji oleh Allah Taala sejauh mana kesabaran dan keimanan kita, sejauh mana dan bagaimana usaha atau ikhtiar kita merawatinya, sama ada dengan cara yang bersendikan tawakal dan tafwid atau melibatkan perbuatan syirik, yakni bergantung kepada yang lain daripada Allah dan melakukan perkara-perkara mungkar yang lain.

Dan, kalau ditakdirkan usaha rawatan itu gagal dan penyakit itu bertambah tenat, maka itu adalah ujian yang lebih besar, khususnya kepada pengidap penyakit itu. Kalau penyakit itu akhirnya membawa maut, maka ujian itu melibatkan keluarga pula. Hikmat dan hakikat di sebalik apa yang ditakdirkan Allah itu, sama ada yang baik ataupun yang buruk, kita tidak tahu.

Sebab itu kita perlu bersabar menerima dan menanggungnya. Kita sebagai hamba Allah hendaklah menghadapinya dengan hati yang tenang, penuh kerelaan, penuh kesabaran; di samping berikhtiar mengatasinya dengan seberapa daya mengikut kemampuan kita sebagai manusia, hamba Allah.

Untuk mewujudkan kesabaran, kita hendaklah sentiasa menyedari, bahawa kadar dan waktu berlakunya kesusahan atau musibat itu adalah di bawah takdir Allah Taala yang maha berkuasa. Ketetapan kadar itu tidak bertambah atau berkurang dan waktunya tidak terdahulu atau terkemudian.

Dan, untuk memelihara atau mengekalkan kesabaran itu pula, kita hendaklah sentiasa mengingati bahawa kesabaran itu bakal dibalas dengan ganjaran kebajikan dan pahala yang disimpan khas oleh Allah Taala.

Demikianlah, kesabaran itu merupakan ubat yang paling pahit tetapi paling mujarrab.

Yakinlah, keberkatan daripada kesabaran itu membawa manfaat kepada kita sekali gus menolak mudarat daripada kita. Sebagai ubat, pahitnya hanya sesaat, tetapi manisnya berpanjangan. Wallahu a'lam.

===== Al-Quran Surah Al- Baqarah Ayat 159

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.

Dari Abdullah bin 'Amr R. A, Rasulullah S. A. W bersabda: " Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat..."

Adab Membaca al-Qur'an


ANTARA ibadah sunat yang digalakkan dalam bulan Ramadhan, selain sembahyang tarawih, ialah bertadarrus membaca (tilawah) al-Qur'an al-Karim. Seperti ibadah yang lain, tilawah al-Qur'an juga punya peraturan dan adabnya. Pembaca al-Qur'an (qari` / qari`ah) sebaik-baiknya mengetahui dan mematuhi peraturan dan adab membaca kitab suci itu. Perlu diketahui bahawa yang lebih utama (awla) bagi ibadah tilawah al-Qur'an ialah kefahaman terhadap maksud atau tafsiran ayat-ayatnya lalu mengamalkannya. Di samping itu pembacaannya hendaklah mengikut hukum tajwid dan peraturan-peraturan yang tertentu. Allah Taala berfirman, mafhumnya, "Orang-orang yang telah kami datangkan al-Kitab sedangkan mereka membacanya dengan bacaan yang sebenar-benarnya, maka mereka itulah yang beriman kepadanya, dan barangsiapa ingkar terhadapnya maka merekalah orang-orang yang rugi". (al-Baqarah : 121).

Mengikut Ibnu 'Abbas, ayat "membacanya dengan bacaan yang sebenar-benarnya" dalam di atas itu bermaksud: "memepelajarinya dan benar-benar patuh mengamalkannya".

Mengikut Imam al-Ghazali : Bacaan al-Qur'an dengan sebenar-benar bacaan itu ialah adanya persepaduan antara lidah, akal dan hati. Lidah mentashihkan segala hurufnya, akal mentafsirkan segala maknanya dan hati menerima pengajarannya, kesannya, tegahannya dan suruhannya. Tersebut dalam sebuah kitab : Wajib ke atas qari / qariah ikhlas membaca al-Qur'an dengan mengqasadkan semata-mata kerana Allah. Janagan diqasadkan kerana selain-Nya. Dalam kitab lain tersebut : Makruh diambil al-Qur'an sebagai usaha untuk kehidupan (mata pencarian), kerana mengikut satu riwayat, Rasulullah bersabda, mafhumnya, "Barangsiapa membaca Qur'an, maka hendaklah meminta
(balasan) daripada Allah. Bahawa sesungguhnya nanti akan datang satu kaum yang membaca Quran untuk mendapat balasan daripada manusia".

Berikut adalah adab-adab membaca al-Qu'an sebagaimana yang tersebut dalam kitab Mawradul-Zham`aan :

Sebelum membaca al-Qur'an hendaklah membersihkan badan dan mengambil wudhuk. Jika sudah berwudhuk, mulut hendaklah dibersihkan. Rasulullah bersabda, mafhumnya : "Sesungguhnya mulut kamu itu laluan al-Qur'an, maka bersihkanlah ia dengan bersugi". Apabila wudhuk terbatal, segeralah memberhentikan bacaan dan mengambil wudhuk semula. Sunat berpakaian yang elok, bersih dan menutup aurat serta memakai bau-bauan.

Tempat membaca al-qur'an hendaklah suci. Afdhalnya di masjid. Makruh membaca di jalanan atau di tepi jalan, di dalam bilik mandi, di pasar atau tempat perhimpunan orang yang dungu ataupun di tempat yang tak selayaknya dengan kesucian dan kemuliaan al-Qur'an. Hendaklah duduk mengadap kiblat dengan penuh ta'zhim, kepala tertunduk dan tidak di dalam keadaan bersila. Jangan sekali-kali duduk seperti duduk orang yang takabbur.

Sebelum memulakan bacaan, bacalah dulu ta'awwuz. Allah berfirman, maksudnya : "Apabila engkau membaca al-Qur'an, bacalah t'awwuz ( A'uuzu billaahi minal-syaithaanil-rajiim )". Bacaan ta'awwuz ini jika di khalayak boleh dibaca nyaring, tetapi jika tiada khlayak untuk mendengarnya, lebih utama (awla) diperlahankan bacaannya, iaitu seperti membacanya di dalam sembahyang. Kecuali bacaan al-Qur'an tehenti lama, selama mengerjakan satu raka'at sembahynag, bacaan ta'awwuz ini tidak dituntut untuk diulang lagi.

Hendaklah membaca tasmiyah (bismillaahil-Rahmaanil-Rahiim) pada awal tiap-tiap surah kecuali surah al-Tawbah (Baraa`ah). Ketika membaca, qari / qariah hendaklah di dalam keadaan sentiasa mengingati bahawa dirinya diperhatikan oleh Allah_sebagaimana ketika mengerjakan sembahyang juga.

Untuk menghormati atau memuliakan al-Qur'an, jangan teruskan bacaan semasa menguap, kerana menguap itu tabiat syaitan. Selesai menguap dengan sopan, barulah menyambung semula bacaan. Jangan tertawa atau bercakap bercampur-aduk dengan bacaan kecuali kerana satu-satu hajat yang dharurat. Justeru, bacaan sebaik-baiknya di tempat yang terasing agar tidak diganggu atau diajak bercakap oleh orang lain. Bagaiamana pun qari / qari`ah boleh memutuskan bacaannya untuk memberi salam atau untuk menjawab salam.

Sunat memutuskan bacaan untuk tujuan berikut :
1. mengucap "Al-hamdulillaah" selepas bersin,
2. mengucap "Yarhamukallaah" kepada orang yang bersin,
3. menjawab azan,
4. bangun menghormati ketibaan orang alim, orang shalih atau orang yang dimuliakan, tetapi bukan dengan riyak.

Keseluruhan bacaan sebaik-baiknya (afdhal) dengan suara nyaring jika bertujuan untuk didengar, disemak serta dimanfaatkan atau dihayati oleh orang lain, atau pun untuk mengawal konsentrasi diri sendiri terhadap bacaan atau untuk menghilangkan rasa jemu atau mengantuk. Sebaliknya, jika ditakuti menjadi riyak atau akan mengganggu orang yang sedang atau akan bersembahyang atau tidur, tidak digalakkan membaca nyaring, yakni membaca perlahan adalah lebih afdhal. Suatu masa di dalam masjid, Rasulullah pernah bersabda, mafhumnya: "Ketahuilah, setiap kamu bermunajat kepada Tuhan, maka janganlah menyakiti (mengganggu) antara satu sama lain dan jangan antara kamu mengangkat suara bacaan sehingga menggannggu yang lain. (HR. Abu Dawud).

Dikatakan sunat juga suara bacaan al-Qur'an itu berselang-seli_sekali perlahan sekali nyaring. Apabila terasa jemu atau mengantuk dengan membaca perlahan, bacalah secara nyaring dan apabila terasa penat, lalu kembali membaca perlahan sebagai istirahat.

Sunat bacaan secara tartil, serentak dengan tadabbur (penelitian) dan tafahhum akan makna ayat-ayatnya. Allah berfirman, mafhumnya, "Dan bacalah al-Qur'an itu (mantapkan bacaan) dengan perlahan-lahan
(tidak terlalu cepat)". (QS. 73 : 4), dan "Inilah kitab yang kami turunkan kepadamu penuh dengan berkat agar mereka mentadabburkan makna segala ayatnya dan agar mendapat pelajaran orang-orang yang berfikitan". (QS. 38:29). Kata Ibnu 'Abbas, "Aku baca surah al-Baqarah dan Ali 'Imran dengan tartil dan aku tadabburkan kedua surah itu . Ini lebih aku suka daripada membaca dengan pantas seluruh al-Quran". Apabila membaca ayat-ayat yang berkenaan, sunat beristighfar, bershalawat, bersyukur, minta berlindung atau berdoa dan sebagainya. Berkata 'Auf bin Malik, "Aku bersama dengan Rasulullah yang membaca surah al-Baqarah pada suatu malam. Baginda berhenti berdoa apabila membaca ayat mengenai rahmat dan meminta berlindung dengan Allah apabila membaca ayat mengnai azab".
(HR. Abu Dawud dan al-Nisa`i).

Rasulullah bersabda, mafhumnya, "Barangsiapa membaca surah al-Tiin hingga akhir ayatnya, maka hendak berkata 'Balaa wa ana 'alaa dzaalika minal-syaahidiin' (Bahkan, dan aku daripada mereka yang menjadi saksi atas yang demikian itu); barang siapa membaca surah al-Qiyaamah samapi selesai pada ayat, 'Alaysa dzaalika biqaadirin 'alaa an yuhyiyal-mawtaa', maka hendaklah berkata, 'Balaa' (bahkan); dan barangsiapa membaca surah al-Mursalaat hingga akhir ayatnya, maka hendaklah berkata, 'Aamannaa billaah' (Kami beriman dengan Allah)"- (HR. Abu Dawud dan al-Tirmizi).

Al-Hakim meriwayatkan : Apabila selesai membaca ayat akhir surah al-Mulk, iaitu "Faman ya`tiikum bimaa`in ma'iin" (Maka siapakah yang memberikan kepada kamu air yang mengalir? , hendaklah berkata "Allaahu Rabul-'Aalamiin" (Allah Tuhan seantiru alam) dan apabila selesai membaca surah al-Dhuhaa, hendaklah mengucap takbir. Bacaan-bacaan tambahan tersebut, selain sunat dibaca oleh qari / qari`ah berkenaan, sunat juga dibaca oleh pendengar.

Pada ayat-ayat tertentu yang merupakan kata-kata orang kafir pula disunatkan membacanya dengan perlahan (tidak nyaring). Diwayatkan : Ibrahim al-Nakha'i membaca perlahan pada ayat "Wa qaalatil-Yahuudu yadullaahi maghluulah" (Dan berkata orang-orang Yahudi, 'Tangan Allah terbelenggu'
- QS. 5:64) dan "Wa qaalatil-Yhuudu 'Uzayrunibnullaah" (Dan berkata orang-orang Yahudi: ''Uzayr anak Allah' - QS. 9:30) .

Sunat membaca al-Qur'an sambil menangis. Rasulullah s. a. w bersabda, mafhumnya, "Bacalah al-qur'an serta menangis. Jika tidak menangis seberapa boleh menangislah". Kata Ibu 'Abbas, "Apabila kamu baca ayat Sajadah, maka jangan kamu segera sujud sehingga kamu menangis. Jika tidak menangis, hendaklah menangis di dalam hati". Sesungguhnya yang mendorongkan tangisan itu ialah menjadikan hati dukacita". Daripada dukacita itulah tercetusnya tangisan. Rasulullah bersabda, mafhumnya, "Bahawa al-qur'an itu diturunkan dengan dukacita, maka apabila kamu membacanya, hendaklah dengan hati yang dukacita". Timbulnya dukacita itu ialah dengan mengingati dan mengamati perbuatan yang dimurkai Allah serta mengingati kecuaian mentaati perintah dan tegahan-Nya, lalu tercetuslah tangisan. Diriwayatkan, bahawa menangis ketika membaca al-Qur'an itu ialah sifat orang-rang shalihin dan 'arifin.

Sunat memelihara hak ayat-ayat yang dibaca, iaitu hendaklah melakukan sujud al-Tilawah (sudut Sajadah) apabila membaca ayat-ayat Sajadah. Terdapat 14 tempat (ayat Sajadah) di dalam al-Qur'an : masing-maasing satu ayat dalam surah al-A'raaf, al-Ra'd, al-Nahl, al-Israa`, Maryam, dua dalam surah al-Hajj, masing-masing satu ayat dalam surah al-Furqaan, al-Naml, Alif-laam-mimm al-Sajadah, Haa-miim al-Sajadah, al-Najm, al-Insyiqaaq dan al-Qalam. Selain itu, ayat Sajadah dalam surah Shaad disunatkan melakukan sujud Syukur. Rasulullah bersabda, mafhumnya, "Nabi Dawud Sujud kerana taubat dan kami sujud kerana syukur" - (HR. al-Nasa`ii).

Dalam setiap sujud Syukur dan Tilawah itu disunatkan membaca doa yang tertentu. Syarat-syaratnya pula sama dengan syarat-syarat mendirikan sembahyang, iaitu berwudhu', menutup aurat, mengadap kiblat dan tempat, pakaian serta tubuh badan yang suci. Apabila selesai bacaan, disunatkan mentashdiqkan Allah dan naik saksi tentang tabligh Rasul-Nya, iaitu : Shadaqallaahul-'Azhiim wa ballagha Rasuuluhul-kariim wa nahnu 'alaa dzaalika minal-Syaahidiin. Kemudian disunatkan pula berdoa : Allaahummaj'alnaa min syuhadaa`il-haqqil-qaa`iminna bil-qisth. Kemudian ditambah dengan mana-mana doa pilihan yang lain. Akhirnya, apabila khatam bacaan, bacalah doa Khatam al-Qur'an. Demikianlah adab-adab membaca al-Qur'an al-Karim. Dengan mengamalkannya, mudah-mudahan akan mendapat berkat dan keridhaan Allah, insya Allah.

Wallahu a'lam.

Malu sebahagian cabang iman

Malu mempunyai pengertian yang besar dalam islam. sifat malu adalah sebahagian daripada iman. Mereka yang telah hilang sifat malu adalah orang yang tipis imannya. Ini kerana malu dan iman berjalan beriringan. Jika salah satu ditinggalkan, maka kedua-duanya akan hilang.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah saw ada bersabda bermaksud: "Iman itu ada lebih 60 cabang. Dan sifat malu adalah sebahagian daripada cabang iman."

Malu atau haya dalam bahasa arab berasal daripada perkataan hayat yang bermaksud kehidupan. Ia mencakupi sifat malu, memelihara aib diri dan orang lain, kesopanan, harga diri dan bersikap jujur dalam menjaga dan memelihara maruah kerana Allah.

Islam menggariskan sifat malu itu perlu ada pada diri setiap muslim sebagai perisai kepada orang yang beriman setiap kali hendak melakukan pekerjaan atau perbuatan dosa. Mereka yang benar-benar beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan hari kiamat adalah mereka yang mempunyai sifat malu yang teramat sangat setiap kali ingin membuat dosa, biarpun ia bukanlah sesuatu yang disengajakan.

Rasulullah mengajar umat Islam mengenai perkara pentingnya seseorang menghiasi dirinya dengan sifat malu. Dan betapa malunya seorang yang bergelar muslim tetapi tidak mempunyai sifat malu sebagai hamba kepada Allah.

Abdullah ibn Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah berjalan melintasi seorang pemuda yang memarahi saudara lelakinya yang sangat pemalu. "engkau seorang yang sangat pemalu dan aku bimbang sifat malumu itu akan memusnahkan dirimu". Mendengar kata-kata lelaki itu, Rasulullah bersabda, "Tinggalkanlah ia, kerana sifat pemalu itu sebahagian daripada iman". (Bukhari)

Kedua-dua hadis diatas membuktikan bahawa sifat pemalu bukan dikhususkan untuk kaum wanita tetapi mesti ada pada kaum lelaki yang beriman kepada Allah s. w. t dan hari akhirat. Sifat pemalu adalah lambang taqwa (takutkan Allah) dan lambang ketinggian iman seseorang Muslim itu.

*JENIS-JENIS SIFAT MALU Sifat pemalu ada dua jenis. Pertama, malu untuk kebaikan dan kedua, malu yang bersifat kejahatan. Malu yang baik ialah malu hendak melanggar peraturan Allah dan RasulNya manakala sifat malu yang dibenci Allah adalah seorang yang malu hendak mengikut perintah Allah dan RasulNya. sebaliknya tidak pula malu menjadi seorang yang ingkar akan perinyahNya.

Contoh sifat malu yang baik dan diredhai Allah adalah seorang yang beriman membina peribadi mulia mengikut yang diperintahkan Allah dan Rasulullah. Mereka (lelaki atau wanita Muslim) malu hendak melakukan perkara yang dibenci Allah kerana di akhirat nanti setiap perbuatan dosa-dosanya akan ditayangkan semula dihadapan Allah dan semua umat manusia pada hari pembalasan. Adakah rasa malu yang lebih hebat dari itu?

Mereka yang ada sifat malu akan sentiasa mengikut segala yang diperintahkan dan menjauhi larangan Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat apa yang kita lakukan, dan setiap perbuatan biar sekecil kuman sekalipun akan tetap disoal dan diberi pemberi pembalasan oleh Allah.

Jadi lebih tebal rasa malu seseorang, sebenarnya akan lebih mendekatkan dia dengan kasih sayang Allah. Adakah perkara yang lebih membahagiakan daripada mendapat kasih sayang dan perlindungan daripada segala yang berkuasa iaitu Allah?

*MALU DALAM MASYARAKAT Dalam masyarakat juga perlu ada sifat malu. Sama ada dalam perhubungan ibu dengan anak, suami dan isteri, adik- beradik, saudara mara dan jiran tetangga. Seorang anak yang beriman dan ada sifat malu tidak akan sekali-kali melakukan perbuatan yang menyakitkan hati ibu dan bapanya, Seoarang isteri tidak akan membuat perkara yang tidak menggembirakan hati suaminya dan begitu juga sebaliknya.

Seseorang yang telah hilang rasa malu menunjukkan bukti kelemahan imannya. Adalah sangat dilarang seorang Muslim itu apabila ia enggan mematuhi apa yang dianjurkan oleh Islam supaya dia melakukannya kerana malu dilihat oleh orang lain. Malu yang utama ialah malu kepada Allah yang Maha Mengetahui akan semua perkara.

Dalam mengutamakan kehidupan akhirat, seseorang itu tidak patut malu mencari guru untuk dia belajar bagi mengatasi kejahilannya. Ini adalah kerana ilmu yang paling bermanfaat ialah ilmu yang menjadi bekalan untuk akhirat.

Ini bermakna seseorang yang malu atau takut untuk mencari ilmu mengenai Islam akan bimbang terhadap mafhumNya di dalam Al-Quran, kerana seseorang Muslim itu digalakkan mencari ilmu dan menyebarkannya kepada orang lain.

Dari segi pekerjaan dari pandangan Islam, seorang guru itu dipandang tinggi berbanding pekerjaan lain yang bersifat keduniaan. Seorang guru itu lebih dipandang mulia disisi Allah berbanding dengan seorang yang hanya duduk menghabiskan masa beribadat dan berdoa sepanjang hari.

Islam tidak pernah memisahkan agama dengan kehidupan dunia. Sebab itulah daripada Rasulullah, Islam telah dilengkapkan kesemua sekali, baik dari segi perundangan, perniagaan, sains, perhubungan sosial, pengurusan harta dan lain- lain. Tetapi, kita masih malu untuk mengikuti apa yang diperintahkan Allah. Malu sebeginilah yang ditegah oleh Allah dan Rasulullah.

*MALU PADA KAUM WANITA Kemodenan hari ini banyak merubah cara kaum wanita Islam kita dalam cara berpakaian. Ramai yang megenakan seluar ketat, mendedahkan bahagian perut dan pusat, berpakaian menjolok mata dan tidak mahu memakai tudung sebagaimana yang disyariatkan oleh Allah. Ramai yang sudah hilang malu, menonjolkan diri untuk memancing pandangan semua orang. Ini termasuklah bebas berdua-duaan bersama-sama pasangan yang bukan muhrim mereka. Pandangan seperti ini sudah menjadi perkara biasa di negara ini atau di mana-mana jua.

Seorang muslimah yang patuh kepada perintah Allah dan RasulNya tidak akan menggadaikan maruah diri semata-mata mahu nampak moden dan mengikut perkembangan semasa. Wanita wajib malu mendedahkan diri mereka kepada lelaki yang boleh dikahwini dan ditengah-tengah masyarakatnya. Malu seorang wanita itu datang daripada sifat malu kerana takutkan Allah. Begitu juga dengan kes-kes sumbang mahram yang amat memalukan kita khususnya umat Islam. Perbuatan ini amat hina kerana sanggup menodai dan memakan darah daging sendiri yang sepatutnya adalah amanah Allah kepada bapanya, abang datuk dan bapa saudara memelihara kehormatannya.

Dalam satu hadis yang diriwayatkanoleh Abdullah Ibn Umar, Rasulullah saw bersabda: "Sifat malu dan iman itu seiringan. Jika salah satu ditinggalkan, maka kedua-duanya akan hilang."(Baihaqi)

Sifat malu dan memelihara kehormatan seseorang ini amat penting dan sangat dititikberatkan dalam Islam. Malu adalah perhiasan dan perisai kepada lelaki dan wanita yang percayakan ada pembalasan pada hari akhirat. Perisai inilah yang menghalang mereka daripada terjerumus melakukan dosa dan noda, zahir dan batin.

Hadis riwayat Anas bin Malik, Rasullullah saw bersabda: "Apabila seseorang menyertakan keghairahan atau tarikan berahi kepada setiap perkara yang dilakukannya, ia akan menjadi keburukan, dan apabila malu disertakan dalam setiap perbuatan ia akan menjadi indah."(Tirmidhi)

*DI ZAMAN RASULULLAH Orang beriman pada zaman Rasulullah apabila baginda membacakan ayat tentang hijab yang diturunkan kepadanya, semua orang Quraish dan Ansar berlari pulang ke rumah masing-masing memberitahu isteri, anak perempuan dan saudara perempuan mereka mengenai perintah Allah dan Rasulullah supaya menutup aurat dan kepala mereka. Bagi yang sudah memakai tudung kepala, segera membetulkannya dan mereka yang masih belum memakai tudung, mencapai kain atau apa saja kain buat menutup kepala mereka.

Ini diterangkan dalam hadis riwayat Aisyah, "Semoga Allah memberi rahmat kepada wanita muhajirin. Apabila ayat 'dan mereka hendaklah melabuhkan tudung hingga menutupi bahagian dada mereka' dibacakan, mereka mencarik kain daripada pakaian yang mereka ada dan menutupi kepala mereka".(Abu Dawod)

Seorang muSlim patut faham, tiada sifat malu itu samalah kita mengikuti jalan syaitan sebagaimana disebutkan dalam hadis riwayat Malik bin Uhamir yang mendengar Rasulullah bersabda: "Allah tidak akan menerima sebarang amalan atau ketaatan seseorang yang tiada sifat malu dan angkuh". Kami Bertanya: 'Siapakah orangnya yang angkuh dan tidak mempunyai malu ini ya Rasulullah?' "Seorang lelaki yang membiarkan isterinya melayani lelaki bukan muhrimnya".

Maksud melayani ini ialah si isteri dibiar atau dibiarkan mempamerkan kecantikkannya pada khalayak ramai (tidakmemakai hijab). Bermakna dia bebas dipandang oleh lelaki yang bukan muhrimnya.

Al-Mughira meriwayatkan: Sa'd bin Ubada berkata,"Aku tidak akan teragak-agak membunuh isteriku dengan pedangku sekiranya aku melihat dia dengan lelaki lain." Berita ini disampaikan kepada Rasulullah saw dan Baginda bersabda: "Kamu semua terpegun dengan harga diri dan kemuliaan Sa'd. Demi Allah, aku ini lebih mempunyai harga diri dan kerana Allah itu lebih mempunyai harga diri. Dia mengetahui segala dosa dan perkara yang memalukan dilakukan oleh kamu baik secara terang mahupun tersembunyi. Dan hendaklah kamu kembali kepadanya dan memohon keampunan Allah dan untuk itu Dia membawa berita gembira dan amaran. Dan tiada yang lebih suka dipuji melainkan Allah dan untuk itu Allah menjanjikan balasan syurga kepada mereka yang membuat kebajikan."

Abdul Malik berkata, "Tiada siapa yang lebih malu berbanding dengan Allah."(Sahih Bukhari)

Rasulullah saw bersabda: "Setiap cara hidup ada karektornya. Dan malu itu adalah karektor Islam." ATAU "Setiap agama ada karektornya. Dan karektor Islam adalah malu". (Abu Dawod)

Sifat malu itu hanya membawa kepada kebaikan. Sebagaimana sabda Rasulullah saw: "Malu itu tidak akan menyebabkan perkara lain kecuali untuk kebaikan."(Bukhari)

Malu itu lambang iman dan malu itu membawa kita ke syurga. Rasulullah saw bersabda: "Malu itu datangnya daripada keimanan dan iman itu membawa ke syurga. Dan sebaliknya adalah membawa kepada neraka".(Bukhari)

Rasulullah bersabda: "Malu dan amanah adalah perkara yang mula-mula sekali hilang dari dunia ini, sebab itu mintalah dengan Allah untuk kedua-duanya".(Bukhari)



WASSALAM

MUTIARA: "Sa'ad bin Hilal berkata: "Sesungguhnya bagi seorang hamba yang membuat dosa, maka Allah swt akan [masih] memberikan kepadanya empat perkara;
1. rezeki tidak akan dihilangkan darinya
2. kesihatan tidak akan hilang darinya
3. dosa tidak akan ditunjukkan kepadanya
4. seksaan tidak akan didatangkan kepadanya secara cepat"

Kelebihan solat berjemaah menurut teori fizik

Seorang professor fizik di Amerika Syarikat telah membuat satu kajian tentang kelebihan solat berjemaah yang disyariatkan dalam Islam. Katanya tubuh badan kita mengandungi dua cas elektrik iatu cas positif dan cas negatif. Dalam aktiviti harian kita sama ada bekerja, beriadah atau berehat, sudah tentu banyak tenaga digunakan.

Dalam proses pembakaran tenaga, banyak berlaku pertukaran cas positif dan cas negatif, yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam tubuh kita.

Ketidakseimbangan cas dalam badan menyebabkan kita rasa letih dan lesu setelah menjalankan aktiviti seharian. Oleh itu cas-cas ini perlu diseimbangkan semula untuk mengembalikan kesegaran tubuh ke tahap normal.

Berkaitan dengan solat berjemaah, timbul persoalan di minda professor ini mengapa Islam mensyariatkan solat berjemah dan mengapa solat lima waktu yang didirikan orang Islam mempunyai bilangan rakaat yang tidak sama.

Hasil kajiannya mendapati bilangan rakaat yang berbeza dalam solat kita bertindak menyeimbangkan cas-cas dalam badan kita. Semasa kita solat berjemaah, kita disuruh meluruskan saf, bahu bertemu bahu dan bersentuhan tapak kaki. Tindakan-tindakan yang dianjurkan semasa solat berjemaah itu mempunyai berbagai kelebihan. Kajian sains mendapati sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah lain yang berada di kiri dan kanan kita akan menstabilkan kembali cas-cas yang diperlukan oleh tubuh. Ia berlaku apabila cas yang berlebihan - sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita.

Menurut beliau lagi, setiap kali kita bangun dari tidur, badan kita akan merasa segar dan sihat setelah berehat berapa jam. Ketika ini tubuh kita mengandungi cas-cas positif dan negatif yang hampir seimbang. Oleh itu, kita hanya memerlukan sedikit lagi proses pertukaran cas agar keseimbangan penuh dapat dicapai. Sebab itu, solat Subuh didirikan 2 rakaat.

Seterusnya, setelah sehari kita bekerja kuat dan memerah otak semua cas ini kembali tidak stabil akibat kehilangan cas lebih banyak daripada tubuh. Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak pertukaran cas. Solat jemaah yang disyariatkan Islam berperanan untuk memulihkan keseimbangan cas-cas berkenaan. Sebab itu, solat Zohor didirikan 4 rakaat untuk memberi ruang yang lebih kepada proses pertukaran cas dakam tubuh.

Situasi yang sama turut berlaku di sebelah petang. Banyak tenaga dikeluarkan ketika menyambung kembali tugas. Ini menyebabkan sekali lagi kita kehilangan cas yang banyak. Seperti mana solat Zohor, 4 rakaat solat Asar yang dikerjakan akan memberikan ruang kepada proses pertukaran cas dengan lebih lama.

Lazimnya, selepas waktu Asar dan pulang dari kerja kita tidak lagi melakukan aktiviti-aktiviti yang banyak menggunakan tenaga. Masa yang diperuntukkan pula tidak begitu lama. Maka, solat Maghrib hanya dikerjakan sebanyak 3 rakaat adalah lebih sesuai dengan penggunaan tenaga yng kurang berbanding 2 waktu sebelumnya.

Timbul persoalan di fikiran professor itu tentang solat Isyak yang mengandungi 4 rakaat. Logiknya, pada waktu malam kita tidak banyak melakukan aktiviti dan sudah tentu tidak memerlukan proses pertukaran cas yang banyak.

Setelah kajian lanjut, didapati terdapat keistimewaan mengapa Allah mensyariatkan 4 rakat dalam solat Isyak. Kita sedia maklum, umat Islam amat digalakkan untuk tidur awal agar mampu bangun menunaikan tahajjud di sepertiga malam. Ringkasnya, solat Isyak sebanyak 4 rakaat itu akan menstabilkan cas dalam badan serta memberikan tenaga untuk kita bangun malam (qiamullail).

Dalam kajiannya, professor ini mendapati bahawa Islam adalah satu agama yang lengkap dan istimewa. Segala amalan dan suruhan Allah Taala itu mempunyai hikmah ynag tersirat untuk kebaikan umat Islam itu sendiri. Belaiu merasakan betapa kerdilnya diri dan betapa hebatnya Pencipta alam ini. Akhirnya, dengan hidayah Allah beliau memeluk agama Islam.

Siapakah yang dimaksudkan dengan lelaki soleh

Lelaki Soleh dapat di definisikan sebagai seorang lelaki muslim yang beriman (mukmin), bersih dari segi zahir dan batinnya, mengambil makanan yang bersih dan halal(bukan dari sumber yang haram)serta sentiasa berusaha menjauhkan dirinya dari perkara perkara yang akan mendorong kearah maksiat dan menariknya ke jurang NERAKA yang amat dalam. Lelaki soleh juga ialah seorang lelaki yang sentiasa taat kepada Allah swt. dan RasulNya walau dimana sahaja mereka berada dan pada bila bila masa sahaja. Kesolehan dan keimanan seseorang tidak dapat dilihat dan diukur dari segi lahiriah semata mata kerana ianya adalah berkait rapat dengan masalah AKIDAH dan KEYAKINAN, kepada siapa dia menyerah keyakinan dan ketaatan dan sebaliknya. TAUHID merupakan dasar tertinggi dalam kehidupan yang harus sentiasa dipelihara kerana apabila tauhid tidak betul dan sempurna, maka seluruh amalan yang dilakukan adalah sia-sia sahaja. Apabila telah jelas kepada siapa kita memberikan perwalian dan terhadap pihak mana kita menolak kepimpinan, barulah Tauhid akan menjadi kenyataan dan berdiri dengan tegaknya dalam jiwa seseorang. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa kesolehan seseorang lelaki itu tidak dapat dinilai dari segi lahiriah semata-mata. Ianya adalah lebih jauh dan mendalam dari itu senua. Antara hal-hal yang harus dilihat dan dikaji pada setiap individu muslim ialah perkara-perkara yang bersangkutan dengan keyakinan, tujuan dan pandangan hidup serta cita-cita dan jalan hidup seseorang itu.

KRITERIA-KRITERIA LELAKI SOLEH SEPERTI YANG DIMAKSUDKAN OLEH AL QURAN DAN AL HADIS.....

1. Sentiasa taat kepada Allah swt dan Rasullulah saw.
2. Jihad Fisabilillah adalah matlamat dan program hudupnya.
3. Mati syahid adalah cita cita hidup yang tertinggi.
4. Sabar dalam menghadapi ujian dan cabaran dari Allah swt.
5. Ikhlas dalam beramal.
6. Kampung akhirat maejadi tujuan utama hidupnya.
7. Sangat takut kepada ujian Allah swt. dan ancamannya.
8. Selalu memohon ampun atas segala dosa-dosanya.
9. Zuhud dengan dunia tetapi tidak meninggalkannya.
10. Solat malam menjadi kebiasaannya.
11. Tawakal penuh kepada Allah taala dan tidak mengeluh kecuali kepada Allah swt
12. Selalu berinfaq samaada dalam keadaan lapang mahupun sempit.
13. Menerapkan nilai kasih sayang sesama mukmin dan ukhwah diantara mereka.
14. Sangat kuat amar maaruf dan nahi munkarnya.
15. Sangat kuat memegang amanah, janji dan kerahsiaan.
16. Pemaaf dan lapang dada dalam menghadapi keboduhan manusia, sentiasa saling koreksi sesama ikhwan dan tawadhu penuh kepada Allah swt.
17. kasih sayang dan penuh pengertian kepada keluarga.

Selain daripada ciri-ciri diatas, orang orang yang soleh juga merupakan insan insan yang senantiasa mendapat ujian dan cubaan daripada Allah swt. setelah para nabi nabi dan orang orang yang mulia. Mereka menghadapi segala ujian tersebut dengan hati yang tabah dan tetap teguh dalam keimanan serta pendirian. Mereka tidak mudah menyerah kalah dari keganasan dan tekanan musuh.

Tugas tugas dan kewajipan Lelaki Soleh........

1. Mencari nafkah ( belanja hidup)
2. Berjihad Fisabilillah.
3. Melindungi dan membela kaum yang lemah dan tertindas.
4. Memimpin, mendidik dan berlaku adil terhadap isteri.

1. MENCARI NAFKAH.......... Tugas mencari nafkah diberatkan kepada kaum Lelaki kerana kelebihan dalam penciptaannya yang berupa kekuatan fizikal dan akal fikirannya. Oleh itu Lelaki mampu untuk bekerja keras untuk mencari nafkah, memberi perlindungan dan pertahanan maruah kehidupannya terutama kepada keluarga, agama, bangsa dan agamanya. Inilah sebabnya lelaki diangkat menjadi pemimpin bagi kaum wanita. Oleh itu, seorang lelaki muslim, lelaki dan suami yang soleh, tidak akan melalaikan tugas ini. Ia wajib bekerja menurut apa sahaja kemampuannya. Dalam melaksanakan tugas ini, dia haruslah MEMBETULKAN NIATnya iaitu ikhlas untuk mencari keredhaan Allah swt. Dia tidak akan merasa MALU untuk melakukannya sebaliknya gembira dan berbangga terhadap pekerjaannya lebih lebih lagi perkara yang halal.

Lelaki soleh tidak akan lupa untuk mengingati hari akhirat tetapi menjadikannya sebagai tujuan yang utama. dia bekerja didunia untuk mencari keuntungan di akhirat, bukannya mengejar keduniaan semata-mata. Dengan cara ini, usahanya akan sentiasa berhasil dan berjaya didunia dan akhirat. Seperti kata ulama Salaf yang bermaksud; Wahai anak Adam! Juallah duniamu dengan akhirat, maka engkau akan UNTUNG semuanya, tetapi jangan engkau jual akhirat dengan dunia, maka engkau akan RUGI semuanya.

" Bagi orang orang yang telah mengerjakan kewajipan agamanya dengan baik, kemudian terasa penat dan letih pada malamnya, sehingga tidak dapat mengerjakan amalan amalan sunnah, maka Allah dan RasulNya memberikan jaminan dengan ampunan sepanjang malam yang dilaluinya dengan tidur yang nyenyak".

Inilah antara ganjaran yang akan dikurniakan kepada lelaki soleh yang mencari nafkah dengan bersungguh sungguh. Terdapat dua cara orang berusaha mencari nafkah seperti yang dianjurkan oleh ISLAM.

Pertama: Hendaklah ia tidak melalaikan tugasnya terhadap Allah swt. dan janganlah ia meninggalkan nilai nilai yang LUHUR.

Kedua : Hendaklah dilakukan dengan cara yang halal, bersih dan tidak membawa apa apa kemudaratan kepada orang lain dan tidak pula bertentangan dengan peraturan-peraturan umum.

Antara cara cara pencarian harta yang diharamkan oleh Islam ialah:

1. Riba,
2. Penimbunan barang barang yang menjadi hajat orang ramai,
3. Perjudian dan perdagangan minuman keras,
4. Berlaku penipuan dalam penimbangan dan penukaran barang,
5. Mencuri
6. Memakan harta orang lain dengan cara yang bathil seperti yang diterangkan dalam surah An Nisa 4, ayat 29.

2. BERJIHAD FISABILILLAH Jihad merupakan amal yang paling utama dan puncak ketinggian Islam. Tidak ada satu pun amalan soleh yang dapat menandingi Jihad. Orang soleh tidak sedikit pun merasa gentar dan takut apabila berjuang menegakkan agama Allah sebaliknya sentiasa tersenyum bangga menjadi seorang Pegawai Allah dengan gelaran paling indah iaitu MUJAHIDIN. Inilah yang dimaksudkan dengan lelaki soleh, yang mana pekerjaan utamanya membunuh atau terbunuh. Jika tidak terbunuh, maka ia mesti membunuh. Tidak terdapat alternatif lain kecuali satu antara dua 'YUQTAL AU YAGHLIB' yakni TERBUNUH atau MENANG.

3. MELINDUNGI DAN MEMBELA KAUM YANG LEMAH DAN TERTINDAS

Sememangnya sejak akhir-akhir ini golongan kafir senantiasa mencari peluang untuk menindas dan menakhluki negara-negara serta umat- umat Islam. Orang orang yang soleh haruslah peka dan bersedia untuk bertindak balas supaya umat-umat Islam tidak akan ditindas dengan sewenang-wenangnya oleh golongan tersebut.

" Wahai lelaki soleh...! tugas dan tanggungjawabmu bukanlah ringan, bayangkan langit dan gunung tidak mampu membawanya. Kamu sajalah yang akan tampil dan mampu menyelesaikan persoalan besar ini. Orang orang yang lemah dan sedang tertindas sentiasa menanti kehadiranmu. Mereka berdoa agar kamu segera tiba untuk menjadi pembela dan penolong bagi mereka."

Inilah laungan yang senantiasa terdengar daripada golongan golongan yang tertindas dan mengharapkan bantuan. Oleh itu lelaki yang soleh haruslah memainkan peranannya sebagai pembela agama sama ada secara langsung ataupun tidak langsung demi untuk mengekalkan kedaulatan agama Islam

4. MEMIMPIN DAN MENDIDIK ISTERI......

1. Mengajar dan membimbing dengan cara yang baik sehingga isteri isteri yang tidak solehah menyedari akan kesilapannya dan menukar cara hidupnya menjadi isteri solehah.
2. Menangani isteri yang bodoh dan keras kepala dengan bijaksana sehingga dia menyedari hakikat yang sebenarnya dan bersedia mengubahnya.

Demikianlah cara cara yang telah digariskan oleh Islam untuk mengatasi masaalah ketidaksesuaian suami isteri dalam kehidupan rumah tangga. Apabila menghadapi sebarang kesulitan, lelaki soleh tidak akan cepat melatah dan bertindak menurut nafsu dan perasaan semata-mata tanpa mengambil kira perasaan orang lain. Lelaki soleh akan bertindak dengan cara yang lebih effisien dan bijaksana dan senantiasa memohon petunjuk dari Allah swt. Dengan ini kebahagiaan rumahtangga akan dapat dikekalkan buat selama lamanya. Berlaku baik terhadap isteri Suami yang soleh akan sentiasa maenjaga kebajikan keluarganya terutama isterinya. Ia senantiasa menjaga hati dan perasaan pasangannya dan sentiasa menggembirakan isterinya. Mereka juga akan bertanggungjawab dalam menguruskan urusan rumahtangga, dan bekerjasama dengan isterinya.

Sabda Rasulullah: Orang yang terbaik diantara kamu adalah orang yang terbaik terhadap isterinya, dan aku adalah orang yang terbaik diantara kamu terhadap isteriku. ( HR Ibnu Majah )

Tauladan Rasulullah Dalam kehidupan berkeluarga.......

A: Keadaan beliau sebagai suami dan ayah B: Kebiasaan beliau di tengah kehidupan bekeluarga C: Cinta kasih beliau terhadap isteri dan anak.

Wassalam.

Kasihnya Allah pada wanita

"Keistimewaan yang Tuhan berikan kepada wanita terlalu banyaknya". "Kasihnya Tuhan kepada wanita!" Itulah kata-kata yang paling mudah digunakan untuk menggambarkan 'layanan' istimewa terhadap wanita dalam Islam. Sesungguhnya, tidak akan ada mana-mana ajaran, ideologi, isme atau agama lain yang dapat melayan wanita dengan sebegitu baik sepertimana Islam melayan wanitanya. Malah, kalau bergabung pun kesemua wanita yang cerdik pandai, berharta dan berkuasa di seluruh dunia ini untuk menambah hak dan pengiktirafan buat mereka, mereka pasti tidak akan mencapai taraf kemuliaan serta layanan baik yang Allah SWT tawarkan buat seorang wanita di dalam Islam.

Namun, ramai wanita yang tidak memahami hal ini. Lantaran itu kebanyakan mereka tertipu oleh nafsu sendiri dan merasa terkongkong dengan amalan atau larangan tertentu yang digunakan ke atas wanita Islam seperti amalan menutup aurat, larangan bergaul bebas, poligami, larangan wanita menjadi pemimpin dan lain-lain lagi. Mereka cukup takut dan gerun dengan kesemua amalan atau larangan yang dianggap sangat menindas wanita. Walhal kalau dikaji setiap satu amalan atau larangan itu, mudah sahaja untuk melihat hikmah dan kebaikannya kepada kaum wanita itu sendiri.

Lalu kita melihat apa yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang hak wanita ialah mereka kalau boleh tidak mahu sebarang sekatan dikenakan ke atas mereka. Tentulah ini tidak munasabah. Sedangkan manusia sendiri banyak membuat peraturan-peraturan serta larangan itu dan ini, atas alasan hendak menjaga keselamatan diri atau masyarakat awam. Contohnya, dalam soal lalu-lintas, terlalu banyak peraturan dan larangan yang manusia buat seperti jangan memandu melebihi had laju, tidak boleh letak kereta di garisan kuning, mesti berhenti apabila ada isyarat lampu merah, mesti hidupkan lampu selepas pukul 7 malam dan berbagai-bagai lagi. Kalau dalam bidang sekecil ini pun perlu banyak peraturan dan larangan, sudah tentulah dalam bidang kehidupan lebih memerlukan lagi, dan lebih-lebih lagilah kalau skopnya itu jauh lebih luas iaitu untuk keselamatan dunia dan Akhirat.

Tuhan sebenarnya sangat kasih dan memuliakan kaum wanita. Segala suruhan dan larangan yang Tuhan kenakan ke atas kaum wanita tidak lain dan tidak bukan ialah untuk memastikan keselamatan dirinya dan masyarakat dan sekali-kali bukan untuk menyusahkan mereka. Tetapi, atas hujah dan alasan apa dakwaan ini dibuat? Mari kita lihat satu persatu pengiktirafan yang diberikan olehTuhan kepada wanita, sama ada setara langsung atau pun tidak.

i) Gelaran bagi `isteri' di dalam Al Quran

Perkataan yang Allah SWT gunakan di dalam Al Quran untuk menunjukkan suami atau isteri adalah perkataan yang sama, sedangkan dalam bahasa- bahasa lain, perkataan untuk suami dan perkataan untuk isteri menggunakan dua perkataan yang berbeza. Misalnya, dalam bahasa Inggeris, perkataan untuk suami ialah `husband' manakala perkataan untuk isteri ialah `wife'. Sementara dalam bahasa Perancis pula, perkataan untuk suami ialah `mari' manakala perkataan `femme' untuk isteri.

Tetapi di dalam Al Quran, suami dan isteri tidak disebut dua perkataan yang berbeza `zaujuh' dan `zaujati'. Hanya satu perkataan yang digunakan untuk kedua-duanya iaitu `zaujuh' yang bermakna `pasangan'. Islam melihat suami dan isteri adalah pasangan, penutup dan juga pelindung buat yang lain. Mereka dilihat sebagai sepasang, bukan berasingan. Sudah tentulah ini bermakna yang kaum lelaki di dalam Islam tidak dianggap lebih mulia daripada kaum wanitanya. Apabila kita mengatakan sepasang kaca mata, sepasang stokin atau sepasang baju, tentulah kita menganggap mereka setara dan tidak dapat dipisahkan di antara satu sama lain. Dan sudah tentulah kita tidak menganggap yang stokin kanan lebih hebat daripada stokin kiri atau kaca mata kanan lebih baik daripada kaca mata kiri. Begitulah tamsilannya sepasang suami isteri di dalam Islam seperti yang tercatat di dalam Al Quran.

Namun, gelaran zaujuh ini hanya diberikan kepada isteri yang sama beriman. Bagi isteri yang tidak beriman, mereka tidak disebut zaujuh. Contohnya, isteri Nabi Lut dan isteri Nabi Nuh. Di dalam Al Quran, mereka disebut 'imraah', kerana isteri sebegini tidak dianggap pelengkap, pelindung atau penutup kepada suaminya.

ii) Pembelaan Rasulullah SAW Terhadap Wanita

Rasulullah SAW ada banyak menyatakan Hadis-Hadis yang menunjukkan betapa wanita itu dimuliakan di dalam Islam. Antaranya:

a. "Syurga di bawah telapak kaki ibu." Apakah wanita tidak rasa mulia dengan Hadis ini? Mengapa Rasulullah SAW memilih perkataan "di bawah telapak kaki" dan bukan "di dalam tangan" atau "di sisi" seorang ibu? Sudah tentu ini sangat menggambarkan mulianya seorang wanita di dalam Islam. Seorang yang faham tentu akan sangat memandang mulia, menghormati, membela serta berlumba-lumba untuk berkhidmat dan meng'hamba'kan diri kepada ibunya (dengan syarat segala yang dibuat itu tidak melanggar syariat). Tidakkah beruntung menjadi seorang ibu di dalam Islam? Dia tidak akan terbiar dan dipinggirkan, malah akan sentiasa dibela, dihormati dan dimuliakan oleh anak-anaknya.

b. "Orang yang paling baik dari antara kamu itu ialah yang paling baik kepada isi rumahnya, dan aku ini orang yang paling baik dari antara kamu kepada isi rumahku."

c. "Tidak akan memuliakan perempuan-perempuan melainkan orang yang mulia, dan tidak menghina akan perempuan-perempuan melainkan orang yang hina."(Hadis riwayat Ibnu `Asakir)

d. "Bergaullah kamu dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang sopan. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak."

e. "Janganlah seorang mukmin lelaki membenci kepada seorang
(isterinya yang) mukminah, kerana walaupun ada satu perangainya yang lelaki itu tidak suka, tetapi (tentu) ada lain perangainya yang is suka."(Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

Demikianlah hak-hak istimewa seorang wanita yang diberi oleh Islam. Dalam satu masyarakat yang bertaqwa, kaum wanita tidak perlu bimbang yang mereka akan diperleceh, dipermain atau diperkotak-katikkan oleh kaum lelaki, sebaliknya mereka boleh yakin bahawa pihak lelaki akan sentiasa melindungi, menasihati, menegur dan membimbing mereka dengan ikhlas.

iii) Bahagian Tubuh Wanita Dianugerahkan Nama yang Mulia

Dalam tubuh wanita, ada satu bahagian yang diberi nana yang begitu mulia iaitu rahim. Perkataan ini diambil dari nama Tuhan, yang bermaksud `Maha Penyayang'. Sudah tentulah Tuhan tidak akan memberikan nama yang semulia ini kepada sesuatu yang hina di sisi- Nya. Sudah tentuTuhan akan memilih sesuatu yang mulia juga untuk dianugerahkan nama yang begitu mulia. Tuhan tidak berikan nama yang semulia ini kepada bahagian tubuh lelaki tetapi Dia memberikannya kepada bahagian tubuh wanita. Rahim inilah yang merupakan penghubung kepada makhluk. Di dalam rahimlah, wanita menjaga ciptaanTuhan dan memberi makan kepada apa yang Tuhan ciptakan.

Kaum wanita sepatutnya merasa sangat malu kepada Tuhan kerana memberi penghargaan yang begitu tinggi kepada mereka. Siapa boleh nafikan kepentingan rahim untuk kewujudan manusia? Anugerah rahim kepada wanita sebenarnya sudah cukup untuk membuktikan akan mulianya wanita di sisi Tuhan.

iv) Diberi Pahala yang Berterusan

Wanita disebut `kurang dari sudut agama', tetapi ini bukan bermaksud yang wanita itu kurang dari sudut iman dan taqwanya. Mereka cuma kurang bersolat ketika datang haid dan nifas. Namun, oleh kerana di waktu-waktu lain mereka sentiasa bersolat, maka sepanjang waktu haid dan nifas itu, Tuhan tetap memberikan juga pahala solat sekiranya mereka dapat bersabar dengan keadaannya yang tidak selesa itu.

Bayangkan seorang wanita yang baru melahirkan anak. Sudahlah digugurkan dosa-dosanya seperti seorang bayi yang baru lahir, diberikan pula pahala solat percuma sepanjang dia dalam keadaan nifas. Dan kalau dia sabar menyusu, memelihara dan melayan kerenah anaknya pula, makin banyaknya pahala yang Tuhan sediakan untuknya.

Aduh! Maha Pemurahnya Tuhan kepada wanita. Maha Baiknya Tuhan kepada golongan yang sering dianggap lemah dan terpinggir ini! Kalaulah wanita-wanita pejuang hak asasi itu tahu begini sekali ganjaran- ganjaran yang Tuhan berikan kepada seorang wanita mukminah, pastilah mereka akan meninggalkan perjuangan mereka. Tidak ada apa-apa lagi hak yang perlu diperjuangkan oleh seorang wanita mukminah. Yang Tuhan tawarkan itu pun sudah terlampau banyaknya.

Setiap kerja boleh jadi ibadah

Allah telah berfirman di dalam Al Quran, surah al Baqarah ayat 21 yang bermaksud:

"Wahai sekelian manusia, sembahlah tuhanmu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertakwa."

Seruan ini Allah tujukan kepada semua manusia tidak kira orang Islam, orang yang beriman, orang yang durhaka atau pun orang kafir. Pendek kata, setiap manusia adalah dikehendaki oleh Allah supaya menyembahNya. Ada pun menyembah Allah itu bererti mengabdikan diri atau memberi baktinya kepada Allah swt.

Pengabdian diri ini adalah dikehendaki oleh Allah secara total dan menyeluruh di dalam setiap aspek kehidupan manusia itu. Ini berdasarkan firman Allah swt dalam surah AzZuriat ayat 56 yang bermaksud:

"Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Aku."

Dalam ertikata yang lain, setiap jin dan manusia ini adalah dijadikan khusus untuk beribadah kepada Allah. Ertinya, apa saja yang dibuat oleh manusia, ia mesti merupakan ibadahnya atau pengabdiaan dirinya atau amal baktinya kepada Allah swt. Tidak kiralah samada usahanya itu berupa usahanya dalam mencari rezeki, dalam membangunkan rumahtangga, dalam mengatur pendidikan anak-anak, dirinya atau pun keluarganya, dalam mengatur pergaulan masyarakat, dalam berekonomi, berjual beli, dalam berjuang dan berjihad dan dalam apa saja baik dalam tidur atau makan minum kita seharian, semuanya mestilah menjadi ibadah kepada Allah.

Ini jelas Allah gambarkan dalam sepotong firmannya yang lain dalam surah Ali Imran ayat 191 yang bermaksud:

"Orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk dan dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata, `Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia belaka'."

Jadi, Allah tuntut dari setiap manusia supaya sentiasa, setiap saat dan ketika memberikan ibadah dan amal baktinya kepada Allah. Kerana itu, haruslah kita mengetahui bagaimana kita hendak mengisi setiap usaha dan ikhtiar kita agar ia menjadi ibadah kita kepada Allah swt.

Ibadah terbahagi kepada tiga: petama ibadah asas, dan kedua ialah ibadah furu' (cabang) yakni amalan-amalan utama dan yang ketiga ialah ibadah umum.

Ibadah asas ialah ibadah utama dan penting. Termasuk di dalamnya ialah keenam-enam rukun iman dan kelima-lima rukun Islam. Hukumnya fardhu ain yakni tiap-tiap orang wajib menyakini dan beramal dengannya. Tanpa ibadah asas seseorang itu tidak beriman (kafir).

Ibadah cabang atau ibadah furu' ialah yang berkaitan dengan fardhailull `amal (amalan utama). Diantaranya seperti sembahyang dhuha, sembahyang witir, sembahyang tahajjud, zikir yang tertentu dan lain-lainnya.

Manakala ibadah umum termasuklah semua kegiatan hidup kita yang kita lakukan setiap hari. Bermula dari kita mengatur diri, anak isteri rumahtangga, kampung halaman hinggalah kepada soal-soal pendidikan, ekonomi, masyarakat, politik, persoalan dalam dan luar negeri. Kalaulah semua dapat kita aturkan sebagaimana yang Allah kehendaki maka ia akan jadi ibadah yakni kita akan diberi pahala. Sebaliknya kalau kita cuai mengatur hidup kita tidak mengikut syariat, maka rugilah kita.

Kita hanya dapat pahala dari sembahyang, puasa, zakat, haji, zikir, wirid (fadhailull a'mal) tapi tidak pernah mengutip pahala dari amalan-amalan yang lebih banyak kita buat tiap-tiap hari itu.

Sebenarnya apa saja kerja yang kita lakukan untuk jadi ibadah, ia mesti menempuh lima syarat. Apabila setiap kerja kita, yang kita lakukan menepati kehendak kelima-lima syarat itu, maka ia akan diterima sebagai ibadah, sebagai amal bakti dan sebagai satu pengabdian diri kita kepada Allah swt. Syarat itu ialah:

1. Niat mesti betul
2. Perkara yang dibuat sah / halal ikut syariat
3. Perlaksanaan mesti betul.
4. Natijah mesti betul
5. Tidak meninggalkan perkara yang asas (ibadah asas).

Supaya lebih difahami saya akan buat satu tamsilan atau ibarat bagaimana sesuatu kerja itu boleh jadi ibadah. Kalau faham tamsil ini maka ribuan kerja lain boleh dikiaskan supaya jadi ibadah. Untuk tamsil ini saya pilih bidang perniagaan sesuai dengan selera masyarakat kita yang sedang sibuk berjuang untuk meninggikan taraf ekonomi melalui bidang ini.

Perniagaan itu luas. Jadi saya bincang tentang berniaga kedai runcit, bagaimana perniagaan itu boleh jadi ibadah:

1. Niat berniaga mesti betul. Misalnya hatinya berkata begini, "Di tempat ini ramai umat Islam, tapi satu pun tak ada kedai runcit. Ini hal fardhu kifayah. Kalau tak selesai ertinya semua umat Islam di sini menanggung dosa. Kalau begitu aku nak buka kedai runcit." Itu adalah niat yang betul, yang tidak betul hatinya berkata, "Aku nak berniaga supaya untung, bila untung aku nak ek," Mana boleh niat nak sombong. Itu niat tak betul.

2. Perkara yang diniagakan sah atau halal menurut Islam, seperti gula, garam, asam, kicap dan keperluan-keperluan lain. Barang-barang yang tidak boleh jual ialah todi, "anchor beer", "tiger beer", dadah, tiket loteri, rokok dan lain-lain.

3. Perlaksanaan atau pengendalian kedai hendaklah dijalankan mengikut syariat. Timbangan mesti betul, sukatannya pun betul, tidak ada penipuan dan tidak ada unsur-unsur riba.

4. Natijah mesti betul. Hasil keuntungan mestilah disalurkan kepada kehendak syariat. Bila mendapat untung, cukup haul maka keluarkan zakat. Bantu fakir miskin, derma masjid dan surau, korban untuk jihad fisabilillah dan sebagainya. Natijah yang tidak betul ialah digunakan keuntungan dari perniagaan itu ke meja judi, ke tempat- tempat disco, kelab-kelab malam, ke tempat pelesiran dan lain-lain lagi.

5. Berniaga jangan sampai tidak sembahyang. Mentang-mentang hendak menegakkan fardhu kifayah, fardhu ain tak payah. Mana boleh fardhu ain tak payah, ia lebih utama daripada fardhu kifayah. Ertinya fardhu ain lebih utama dari fardhu kifayah. Orang yang berniaga tapi tak sembahyang, tidak akan dapat pahala apa-apa. Perniagaan yang diaturkan oleh orang-orang yang tak sembahyang tidak diterima sebagai ibadah di sisi Allah. Sebaliknya seorang yang berniaga mengikut syariat dengan menunaikan kelima-lima syarat itu dianggap ia telah berbakti, beribadah dan mengabdikan diri ke pada Allah swt.

Kalau sepuluh jam dia berniaga maka sepuluh jam pulalah dia dalam beribadah, yakni sepuluh jam dia diberi pahala. Kalaulah ada dalam masa yang sama seorang lain beriktikaf di masjid, sembahyang sunat, baca Quran, zikir, wirid, maka di sisi Allah sipeniaga itu adalah lebih baik daripada orang yang beriktikaf kerana orang berniaga tidak boleh menyesal atau rasa bersalah, sebab dia berkedai tidak dapat beriktikaf. Sebab orang yang di dalam masjid dia beramal untuk dirinya sedangkan orang yang berkedai itu berkhidmat untuk orang lain.

Islam memandang mulia kepada orang yang berbuat amal untuk masyarakat. Sabda baginda yang bermaksud:

"Sebaik-baik manusia ialah manusia yang banyak manfaatnya pada manusia."

Daripada contoh usaha ikhtiar yang menempuh 5 syarat ini, maka bolehlah kita kiaskan dengan lain-lain usaha ikhtiar kita, seperti menyusun rumahtangga, berpendidikan, berpolitik, berjuang dan berjihad dan lain-lainnya. Di situ nanti kita akan dapat menilai yang mana kalau seluruhnya tidak menempuh 5 syarat, ia tidak jadi ibadah

12 Sifat SAHABAT


1. Jika engkau berbuat bakti kepadanya, ia akan melindungimu
2. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas baik persahabatanmu itu
3. Jika engkau perlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya ia akan membantumu
4. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, ia akan menerima dengan baik
5. Jika ia mendapat sesuatu kabajikan (bantuan) daripadamu, ia akan menghargai atau menyebut kebaikanmu
6. Jika ia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, ia akan menutupnya
7. Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, ia akan mengusahakannya
8. Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), ia akan menanyakan kesusahanmu
9. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, ia akan meringankan kesusahanmu(membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu)
10. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya ia akan membenarkanmu
11. Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya ia akan membantumu
12. Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya ia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.

Sungguhpun begitu, kita seharusnya individu yang perlu memiliki sifat-sifat di atas. Semoga persahabatan dan persaudaraan sesama kita sentiasa berkekalan dan menguatkan lagi ukhuwah Islamiah.

Syukur Rezeki

SESUNGGUHNYA rezeki berupa pemberian atau habuan Allah kepada makhluk- Nya. Anugerah Allah tidak sekadar berupa kekayaan, sebaliknya meliputi pelbagai aspek kehidupan.

Rezeki Allah meliputi apa saja yang diperlukan dalam kehidupan termasuk makanan, pakaian, kediaman dan sumber yang berkaitan.

Keperluan itu untuk kesejahteraan jasmaniah insan. Selain itu, rezeki untuk kesuburan rohaniah juga penting. Ini termasuk ilmu pengetahuan, kecerdasan serta taufik dan hidayah.

Pintu rezeki untuk kenikmatan hidup di dunia terbuka kepada semua insan sama ada kafir atau mukmin dan yang jahat atau baik. Rezeki untuk kesejahteraan jasmani turut dikurniakan kepada semua makhluk. Tetapi rezeki untuk kenikmatan hidup di akhirat hanya dikurniakan kepada orang beriman.

Sejarah sejak zaman rasul dan ulama hingga ke hari ini membuktikan salah satu sebab golongan kafir menolak agama Allah kerana mereka terlalu terpesona dengan kehidupan dunia.

Golongan kafir menganggap rezeki datang daripada hasil titik peluh mereka semata-mata, sedangkan orang Islam menganggap rezeki itu daripada sumber kemurahan dan rahmat Allah s. w. t.

Di akhir Ayat 212 Surah al-Baqarah, Tuhan berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya tanpa hisab."

Ini memberi pengertian rezeki yang dikurniakan Allah kepada seseorang itu perlu disyukuri. Jangan sekali-kali kita berasa angkuh dan sombong dengan kekayaan harta yang kita miliki.

Kita juga tidak seharusnya menyangka kekayaan dan rezeki melimpah ruah yang diperolehi itu milik mutlak kita yang tidak boleh digugat. Sesungguhnya kunci rezeki di tangan Allah s. w. t. Allah yang menentukan pembahagian rezeki kepada hamba-Nya.

Dalam kehidupan seharian, isu rezeki bukan satu persoalan yang selalunya tunduk kepada perkiraan hisab manusia. Cara dan petua untuk mendapatkan rezeki tidak selama-lamanya tepat.

Pada keseluruhannya, rajin dan usaha syarat untuk mencapai kejayaan dan menjamin seseorang itu menjadi kaya. Tetapi syarat ini kadangkala tidak tepat dan berakhir dengan kegagalan dan menemui jalan buntu.

Ada juga golongan membuat andaian ilmu yang tinggi anak kunci rezeki. Semakin banyak sijil dan semakin tinggi ilmu seseorang insan maka semakin luaslah pula rezekinya. Tetapi ada juga orang yang cetek ilmu pengetahuannya atau buta huruf mampu menjadi hartawan. Tidak kurang juga orang tercicir dalam pelajaran menjadi pemilik atau tauke besar.

Selain itu, ada pula golongan mengatakan kekayaan itu terletak kepada peluang dan nasib seseorang dan tidak kurang pula meletakkan kekayaan dan rezeki itu kepada hubungan seseorang. Semakin luas hubungannya dengan orang berkuasa maka semakin cerah peluangnya mendapat rezeki.

Inilah di antara syarat yang selalu dikaitkan untuk mendapat rezeki lumayan, tetapi semua syarat itu ada kalanya tidak membawa kejayaan.

Sesungguhnya urusan rezeki bukan ditentukan manusia, tetapi ia dalam tangan Allah s. w. t semata-mata. Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dialah (Allah) yang memegang kunci rezeki seluruh alam ini dan Dialah yang berkuasa memberi dan menarik serta meluas dan menyempitkan pemberian rezeki itu.

Dari itu janganlah kita bersifat angkuh dan sombong dengan rezeki yang melimpah ruah dan usahlah kita bermegah-megah dengan kurniaan Allah kepada kita. Sebaliknya kita seharusnya bersyukur dengan rahmat dan nikmat Allah s. w. t itu.

Sesungguhnya balasan bagi orang yang bersyukur jelas dinyatakan Allah dengan Firman-Nya yang bermaksud: "Jika kamu bersyukur, Aku tambahkan lagi nikmatKu. Jika kamu kufur, sesungguhnya azab Aku amat pedih."
(Surah Ibrahim: Ayat 7)

Sedar akan hakikat ini, maka bersyukurlah dengan nikmat dan rahmat kurniaan Allah s. w. t. Semoga dengan berbuat demikian, rahmat kurniaan rezeki itu akan terus berkekalan dan hidup kita akan diberkati Allah hingga ke akhir zaman. Insya-Allah.

Kesimpulan:

Kita manusia harus berusaha secara ! halal kemudian bertawakal kepada ALLAH s. w. t serta berdoa semoga dikurniakan rezeki yang berkat. Amin