25 Oktober 2009

Adab-adab terhadap diri sendiri


 Bersama ini coretkan bahan tazkirah sebagai santapan rohani agar ia menjadi iktibar dan peringatan kepada kita.

1. Menjaga kebersihan secara menyeluruh dengan cara mandi dan menyucikan diri.

2. Memotong kuku tangan dan kaki sekali setiap minggu. Janganlah memanjangkannya walaupun sebahagian darinya kerana dikuatiri tersimpan najis dan perbuatan demikian menyerupai haiwan yang buruk.

3. Memotong rambut setiap kali ia panjang, menjaga kebersihannya dan menyisirnya selalu, yakni jangan pula sampai berlebih-lebihan (tidak membiarkannya dan tidak pula menunpukan perhatian kepadanya)

4. Mengutamakan bahagian kanan, yakni mendahulukan kanan dalam semua perkara yang mulia, seperti ketika mandi, berwuduk, menghormat, berjabat tangan. memakai pakaian atau kasut, memotong kuku, mengambil dan menerima pemberian, makan dan minum. Mengutamakan bahagian kiri yakni perkara yang tidak mulia, seperti membuang ingus, meludah, menanggalkan pakaian dan kasut beristinjak, dan menyentuh aurat. Daripada Aisyah katanya, Rasulullah s.a.w menggunakan tangan kanan untuk bersuci dan makan, sedangkan tangan kiri untuk bersuci dan yang kotor-kotor.

5. Jangan menghadap kiblat ketika meludah, membuang ingus dan kahak, tapi hendaklah ke arah kiri dan pada saputangan yang khusus supaya tidak mengganggu orang lain.

6. Mengalihkan wajah ketika bersin dari muka manusia, dan dari makanan dan minuman agar percikan ingus tidak mengenai orang lain, dan meletakkan saputangan atau tangan ke mulut, memperlahankan suaranya sedapat mungkin. Daripada Abi Hurairah katanya, Apabila Rasulullah s.a.w bersin, beliau meletakkan tangannya di mulutnya dan dengannya suaranya
menjadi tidak kuat

7. Memuji Allah sesudah bersin.

8. Orang yang bersin dan memuji Allah hendaklah dijawab dengan (yarhamukallah) dan orang yang bersin pula menjawabnya dengan doa yang berikut (yahdikumullahu wa yushlihu balakum)

9. Meletakkan tangan di mulut ketika menguap untuk menutup pandangan yang tidak layak ketika mulut terbuka, juga untuk menghalang sesuatu masuk ke dalam mulut. Juga disuruh mengurangkan suaranya, dan jika dapat, jangan sampai mengeluarkan suara. Selepas menguap hendaklah beristighfar kepada Allah kerana menguap adalah bukti kemalasan. Oleh itu Allah tidak menyukainya dan menyatakan bahawa ia disebabkan syaitan.

Dari Abu Hurairah bahawa nabi bersabda, "Sesungguhnya Allah suka akan bersin dan benci akan menguap. Jika salah seorang kamu bersin dan memuji Allah hendaklah orang Islam yang mendengarnya mengucapkan ''Yarhamukallah'' .Adapun menguap adalah dari syaitan, jadi jika salah seorang dari kamu menguap maka hendaklah ia mengembalikannya sedapat mungkin
kerana apabila kamu menguap, syaitan ketawa melihatnya."

10. Berusaha tidak bersendawa, menghindari makanan yang menyebabkan sendawa atau makanan yang membanyakkannya. Dan jika tidak dapat dihindari, bersendawalah dengan suara yang ringan, kemudian bacalah istighfar sesudah sendawa. Daripada Abu Juhaifah katanya,"Aku memakan kepingan roti dan daging kemudian aku mendatangi nabi lalu aku sendawa. Beliau bersabda, pendekkan sendawamu kerana sesungguhnya orang yang paling lapar pada Hari
kiamat kelak ialah orang yang paling kenyang di dunia."

11. Mengingat Allah dan bersyukur kepadaNya ketika berkaca (melihat wajah di cermin) kemudian berdoa dengan doa yang warid dari nabi : ''Segala puji bagi Allah, sebagaimana engkau elokkan kejadian aku maka elokkanlah akhlakku."

12. Menggunakan telefon bila perlu sahaja, bukan untuk bermain-main, bergurau atau untuk mengejutkan orang lain, dan bertelefonlah pada waktu-waktu yang sesuai, awali percakapan dengan salam, mengenalkan diri, kemudian menyebut maksud.

13. Membiasakan diri dengan amal yang salih, seperti beribadah, bersedekah, sembahyang unat, menghampirkan diri kepada Allah, berzikir dan membaca Al-Quran. Jangan meninggalkan demikian kerana malas, enggan atau kesibukan dunia. Daripada Aisyah katanya, amalan yang disukai Rasulullah ialah amalan yang terus menerus dilakukan seseorang.

14. Meninggalkan berlebihan dalam segala suatu, tidak melakukan suatu yang tidak berguna, selalu memperbaiki diri dan berusaha memperbaikinya. Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah bersabda ''Sebahagian tanda kebagusan Islam seseorang adalah meninggalkan sesuatu yang tidak dimaksudnya.

15. Memberi nasihat kepada orang yang mengenali kebaikan, yakni dengan nasihat yang baik bagi orang itu samaada pada agamanya atau dunianya.

16. Menerima nasihat orang lain, mahu mengakui kebenaran dan kembali semula kepadanya, juga mengakui kesalahan diri sendiri jika memang benar sudah salah, dan jangan berterusan padanya, kerana kebenaran itu ialah barang orang mukmin yang hilang, yang terus dicarinya dan akan berterima kasih kepada orang yang menyerahkannya kepadanya serta memuji
setiap orang yang sudi memberi nasihat.

17. Membiasakan hidup sederhana, mensyukuri yang sedikit, dan meninggalkan hidup bermewah-mewah dan bersenang-senang di dunia kerana sifat itu menjauhkan diri dari takbur dan ujub serta selamat dari sifat sombong, memuji-muji diri dan angkuh. Dari Aisyah katanya,"Tikar Rasulullah s.a.w diperbuat dari kulit yang disamak setelah dipenuhi dengan sabut."

18. Ikhlas kerana Allah dalam semua pekerjaan, menjadikan matlamat utama dari kehidupan sebagai syiar orang mukmin yang diletakkannya di hadapan dan terus menerus mengulang-ulang sebutan ''Oh Tuhanku, Engkaulah tujuanku, dan Redamulah yang ku cari''.

Sekian, wassallam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan