25 Oktober 2009

Cukupkah apa yang kita ada?

Secara semulajadi hati manusia memang payah untuk berasa puas. Walaupun sudah memiliki sepuluh peti emas, seseorang itu masih mahu lagi kesebelas. Apabila dia sudah mempunyai sebelas peti emas dia mahu lagi yang kedua belas dan begitulah seterusnya.

Okeykah sikap seperti ini? Dari aspek motivasi tiada salahnya sebab ia sikap orang maju, sikap yang diperlukan untuk menjadi kaya sebab Islam tidak pernah menghalang umatnya menjadi kaya. Atas alasan dengan adanya harta yang banyak memudahkan seseorang itu menyalurkan sebahagian daripadanya ke jalan-jalan kebaikan.

Jadi, dalam mengharungi kehidupan tidak salah seseorang itu bermewah-mewah asalkan kemewahan tidak melalaikan dia daripada meniti di atas panduan-panduan agama. Meskipun bersederhana itu lebih dituntut namun bermewah-mewah dalam ruang lingkup yang dibenarkan dikira munasabah dan sesuai dengan kehidupan moden sekarang.

Memang, kadang-kadang penilaian dan penghormatan manusia terhadap kita bergantung kepada apa yang kita ada dan pangkat apa yang kita sandang. Kereta apa yang kita pandu, rumah jenis apa yang kita miliki, kawasan mana kita tinggal, hotel mana yang kita pilih apabila hendak bercuti, kad keahlian apa yang kita ada dan macam-macam lagi.

Kehidupan sekarang telah meletakkan apa yang kita miliki sebagai asas penghormatan manusia terhadap kita. Maka tidak salahlah memiliki segala-galanya asalkan kita masih kita, tidak berubah dan masih meletakkan TUHAN sebagai matlamat kehidupan.

Ujian paling berat bagi seorang yang kaya ialah jatuh miskin atau kehilangan salah satu daripada hartanya yang paling disayangi. Kala inilah kesabaran akan tercabar. Kalau tadi Islam membenarkan sikap tidak puas sebagai pendorong untuk manusia terus berusaha, sekarang Islam melarang sikap tidak puas hati kerana ditimpa ujian. Sikap yang patut ditunjukkan ialah bersyukur kepada ALLAH kerana memberi peluang untuk memperbaiki diri. Setiap ujian tentunya bersebab.

Dalam berdepan dengan ujian baik kekurangan harta mahupun yang melibatkan nyawa, tiada perkataan lain yang boleh diucapkan melainkan 'sabar' dan 'redha'. Hanya dua perkataan ini boleh menyelamatkan seseorang itu daripada dimurkai ALLAH. Dimurkai bererti berdosa dan dosa kalau tidak dibasuhi dengan taubat, jawapannya Neraka. Di antara tanda bersyukur ialah sentiasa bersabar dan teguh iman menerima ujian ALLAH.

Sikap yang bertentangan dengan ini ialah rasa rakus untuk memiliki kesemuanya hingga membabitkan hak orang lain. Orang begini akan semakin kufur apabila dilimpahi nikmat, apalagi tatkala ditimpa petaka. Dia akan mudah menyalah-nyalahkan takdir dan menyalah-nyalah TUHAN. Ingat janji ALLAH, "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti KAMI akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Ibrahim, 7).

Rasanya cerita Qarun adalah motivasi terbaik manusia untuk tidak terlalu mencintai harta kerana harta yang disalah tadbir akan mendatangkan kecelakaan. Qarun asalnya orang yang beriman kepada ALLAH dan menjadi pengikut setia Nabi Musa a. s. sebelum kaya raya. Tengok, bagaimana harta boleh menjadikan manusia berubah sama sekali.

Kalau hal ini berlaku ke atas Qarun, bagi saya tidaklah pelik sangat, sebab dia memang kaya. Kunci gedungnya sahaja memerlukan satu kabilah untuk mengangkutnya dan diperbuat daripada emas. Jika dia berasa amat sombong agak berbaloi juga berdasarkan kekayaan yang sedemikian banyak.

Berbanding dengan sesetengah kita, harta barulah sekangkang kera sudah merasakan tidak berpijak di bumi ALLAH. Kadang-kadang hanya kerana sebuah kereta yang belumlah boleh diistilahkan sebagai 'mewah', kita sudah terpesong daripada menjadi diri kita yang asal. Ingatlah kata-kata, "Orang yang cerdik adalah orang yang tahu haknya di dunia, mengambilnya dan mempergunakannya tanpa melupakan bekalannya untuk ke sana."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan