Mengamati himpunan anak muda siswa KMNS
Ribuan wajah menyimpan azam mengejar masa depan gemilang
Bersedia redah laluan kelam berliku
Setia menadah pertolongan dan bimbingan
Itu waris kita
Mahunya dalam jasad itu wujud wajah kita
Mewarisi dan memelihara semua peninggalan setelah kita tiada
Cita rasa, nilai, adat, resam, seni yang membina kebijaksanaan bangsa
Kental cintanya terhadap ibunda
Harapan itu menuntut diasuh manusia yang tangkas renung teleknya
Percaya akan perlunya mengasuh daya fikir
Setia menjunjung kebijaksanaan dan kemunasabahan tika menelusuri liku hidup
Harapan itu juga menuntut diasuh manusia yang terikat jiwanya dengan pencipta
rohaninya bagai diilhamkan sufi
Integriti dijunjung amanah dikelek
Meyakini kebaikan adalah kemestian
Bukan satu pilihan
Tugas kita membangun kekuatan mereka
daripada lemas dek serbuan menggila internet, facebook dan tweitter
Tugas kita mangasuh jiwa
dengan kebermaknaan ilmu bukan sekadar hafalan cuma
mereka mesti menjadi insan terpelajar yang jelas terpelajar
Berat tugasan ini
Dan kita tidak boleh gagal
Kerana kegagalan sama seperti membiarkan mereka terlonta dan hanyut
Kegagalan bererti kita tidak amanah kepada bangsa dan ibunda tercinta
Marilah bersama persiapkan diri
Jauhi lorong kecuaian, ketidakcekapan dan ketidakpatuhan
Utamakan pasukan daripada diri
Pencapaian matlamat kerja diperhitungberatkan
bukan sekadar mengerjakan prosesnya
Dunia kita terlalu luas terbuka
Pembaikan dicipta sesiapa saja yang sanggup berfikir
Perbaikilah diri dan perbaharuilah kerja
Melangkahlah seiring dengan dunia yang terus berubah
Jelmakan diri dalam tali ikatan bangsa dan negara
Tanpanya kita akan melayang tanpa haluan
Ke mana lagi hendak diwajarkan segala curahan kudrat dan keringat
Allah telah memuliakan kita dengan jawatan ini
Percayalah kita bukan orang-orang pinggiran
Tugas kita bukan kerja remeh
Bukan sekadar memperdengar ulangan petikan buku dan nota
Kita membentuk manusia masa depan bangsa ini
Ketika peluang masih ada
Garaplah amanah ini dengan seluruh jiwa raga
Agar pembelajaran Sejarah akan datang
Tidak lagi menghidangkan kisah sesal dan kecewa sebuah bangsa.
******
Puisi ini dibacakan sempena persaraan Pengarah KMNS - Tn. Hj. Ahmad Foa'ad b. Hashim pada 30 September 2011 di KMNS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan