30 Oktober 2009

Bahaya Salah Sangka..

Cubalah hayati ungkapan ini:

Tiada kesempurnaan sekalipun kurang satu. Bahkan satu pelengkap kepada semua yang ada. Justeru itu, satu untuk semua dan semua untuk satu. Baru jitu.

Semasa menghadiri satu majlis perkahwinan keluarga di Felda Sendayan baru-baru ini, saya datang secara berseorangan sahaja. Maklumlah kenduri sulung Pak Anjang saya, menantu pertama katakan. Boleh dikatakan majlis itu agak meriah juga, lebih seribu orang yang hadir. Majlis kenduri dibuat secara bergotong royong. Sekalipun penat, tetapi hati merasa puas. Saya hanya tidur berbantalkan lengan dan beralaskan tikar sahaja, bersama adik-adik sepupu yang lain. Bukan apa, sekadar member! iktibar kepada keluarga yang lain bahawa 'kedudukan' seseorang bukanlah jurang pemisah untuk bergaul mesra. Saya gembira kerana mesej saya sampai dan harapan saya, semoga 'kemesraan' keluarga akan terus berpanjangan sampai bila-bila.

Cuma satu yang merimaskan saya, bila semua ahli keluarga tidak berhenti-henti bertanya tentang isteri dan anak-anak saya. Ke mana dia pergi dan kenapa tidak datang? Mana anak-anak kamu yang lain? Jenuh juga saya hendak menjawab, akhirnya barulah mereka tahu kedudukan yang sebenarnya. Isteri saya terpaksa menemani anak ketiga saya untuk upacara penerimaan hadiah kecemerlangan UPSR di sekolahnya yang diadakan pada hari Ahad (bertindih pula dengan hari majlis perkahwinan tersebut). Anak yang lain di asrama penuh. Saya sememangnya sudah menjangka akan ditanya begitu.

Para pembaca yang saya muliakan. Begitulah dalam hidup ini. Sekali kita sudah menempuh gerbang perkahwinan maka selamanya orang akan melabel kita ini sudah berkeluarga. Ke mana sahaja kita pergi, bayangan pasangan kita tetap bersama kita. Sekalipun kita berada dalam suasana berseorangan. Tidak lengkap kalau tidak berdua. Masyarakat kita masih lagi memegang kuat kepada nilai-nilai tradisi lama, yakni setiap orang itu perlu hidup berpasangan. Tidak sempurna hidup kalau masih lagi bersendirian. Kalau sudah berkahwin pula, mesti datang secara'bersama' dalam semua majlis. Kalau tidak, dianggap tidak sempurna. Begitu juga dengan kisah saya seperti di atas tadi. Apa pun kita mesti ada prinsip hidup tersendiri dan berpeganglah kepada prinsip tersebut. Kalau kita 'yakin' berada di atas landasan hidup yang benar, maka serahkan diri kepada Allah. Orang lain tidak akan mampu mengubah gaya kehidupan kita, selama kita berpegang kuat kepada prinsip hidup kita. Kita adalah apa yang kita fikirkan. Paling mustahak dalam hidup ini ialah menjamin 'kebahagiaan diri dan rumah tangga'. Jangan biarkan orang lain 'membelenggu' kehidupan kita.

Para pembaca sekalian. Sebagai manusia biasa, kita sering kali berasa prejudis terhadap sesuatu perkara. Biarpun perkara tersebut belum pasti lagi kebenarannya. Kita lekas sangat 'menghukum' dan selepas itu sering kali 'menyesal' di akhirnya. Kita tidak adil dan begitulah selalunya. Namun untuk meminta maaf, jauh sekali.

Tahukah anda bahawa kebanyakan dosa, adalah bermula dengan salah sangka. Saya teringat kepada cerita kawan saya, sewaktu mula bertunang dahulu. Kisahnya begini. Pada suatu hari bakal adik iparnya telah melihat seseorang yang mempunyai mirip wajahnya, berjalan dengan wanita lain. Tanpa berfikir panjang, adik tunangnya terus menyampaikan berita tersebut kepada kakaknya. Pada anggapannya, semoga kakaknya dapat bertindak untuk membuat sesuatu. Adik yang bertanggungjawab, kononnya. Apa pun periksalah terlebih dahulu, baru bertindak. Bukannya bertindak dahulu, kemudian baru hendak membuat kajian secara terperinci. Ini kaedah terbalik (macam orang memakai stokin dahulu, kemudian baru pakai seluar.). Nasib baik, kakaknya tidak mudah percaya. Kemudian setelah diteliti, barulah si adik tadi mengakui terdapat kekeliruan dan akhirnya, ternyata orang tersebut adalah orang lain. Mujur.

Sekalipun kemungkinan peluang untuk berburuk sangka itu ada dan terbuka luas, namun kita jangan sekali-kali menyediakan ruang tersebut. Kalau sudah kena sekali, sakitnya berpanjangan. Silap hari bulan boleh membawa kepada bercerai-berai. Kadang-kadang kita sering terlupa, makan berdua-duaan dengan teman sepejabat boleh juga membawa petaka. Menghantar kata-kata gurauan dan bernada 'romantis' melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada teman rapat pun boleh mengundang masalah. Saya pernah menyaksikan insiden perceraian, hanya kerana SMS yang dihantar secara 'nada bergurau' kepada sahabat saya. Isterinya dengan tanpa berfikir panjang, terus menyerangnya. Kawan saya lantas merajuk dan 'patah hati'. Para pembaca sekalian, fikir-fikirkanlah.

Kita hendaklah sentiasa berfikiran positif. Saya suka menyeru diri saya dan para pembaca sekalian, bahawa kehidupan ini hanyalah sementara. Buatlah yang terbaik. Kita sebenarnya tidak banyak masa lagi untuk memikir-kan soal-soal yang merugikan dan mem-bebankan 'amalan akhirat' kita. Carilah kesenangan di dunia untuk kesenangan di alam akhirat. Semoga kita akan bersama dengan pasangan kita menuju ke syurga Allah yang telah dijanjikan selama ini. Mudah-mudahan, Amin.

Selamat melayari bahtera kasih dalam rumah tangga dan semoga anda sampai di pelabuhan 'bahagia' dengan selamatnya. Wallahualam. •

Tiada ulasan:

Catat Ulasan