Memaparkan catatan dengan label Pengisian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pengisian. Papar semua catatan

30 Oktober 2009

Menghargai ruang dan peluang

INGATAN kita sudah tentu masih segar terhadap bencana alam yang pertama kali melanda negara ini, iaitu ombak besar Tsunami. Ombak besar Tsunami telah mengakibatkan kehilangan lebih 150,000 nyawa di beberapa negara Asia apabila ombak itu melanda pantai kawasan pesisir pantai di beberapa negara Asia pada 26 Disember, 2004. Kemusnahan, keperitan hidup, kematian dilaporkan berlaku di serata tempat sehingga sukar diungkap dengan kata-kata.

Kepada remaja-remaja yang terlibat dalam bencana ini, mungkin belum terlalu terlewat untuk penulis merakamkan ucapan takziah dan merafakkan simpati yang tidak terhingga. Penulis amat terharu dan sebak apabila melihat golongan remaja yang masih di bangku sekolah, dilanda kesedihan dek kehilangan bukan sahaja ahli keluarga, malah persiapan sekolah seperti buku-buku teks, pakaian, dan sebagainya yang baru sahaja dibeli, namun sudah musnah akibat bencana alam yang dahsyat itu.
Bagi remaja lain yang tidak terlibat dalam bencana, jadikan bencana yang melanda sebagai iktibar yang tidak terhingga nilainya. Iktibar yang penulis maksudkan ialah iktibar dan pengajaran dari segi ruang dan peluang.

Ruang, bermaksud kawasan lapang. Misalnya ruang tamu merujuk kepada kawasan lapang di rumah kita untuk dijadikan kawasan tetamu bersembang dengan kita. Peluang pula ialah kesempatan. Misalnya, kesempatan untuk hidup, kesempatan untuk mencari rezeki dan berusaha.

Dalam hal kehidupan, ruang dan peluang bererti nikmat kelapangan dan kesempatan yang dianugerahi oleh Allah kepada kita untuk menjalani kehidupan. Antara nikmat kelapangan dan kesempatan itu termasuklah:

- Nikmat hidup
- Nikmat sihat
- Nikmat mempunyai keluarga
- Nikmat mempunyai kekayaan
- Nikmat mempunyai kelapangan masa
- Nikmat menjadi muda remaja.

Rasulullah s.a.w. sendiri pernah bersabda yang bermaksud, rebutlah lima sebelum
lima iaitu hidup sebelum mati, lapang sebelum sibuk, kaya sebelum miskin, sihat sebelum sakit dan muda sebelum tua. Ingatan baginda itu disebabkan manusia selalu alpa dengan kesenangan dan kemewahan.

Berapa ramaikah antara anda yang benar-benar bersyukur dengan nikmat yang diberi dan menggunakan nikmat diberi secara bermanfaat, sebelum nikmat itu direnggut sekelip mata?
Jika anda mengambil iktibar daripada bencana Tsunami, anda harus ingat bahawa nikmat ruang dan peluang kurniaan-Nya boleh pergi sekelip mata. Harus diingat bahawa mangsa-mangsa tsunami langsung tidak menduga bahawa bencana itu menimpa mereka sekelip mata. Ketika sedang asyik menikmati keindahan pantai, menangkap ikan-ikan di tepi pantai, mandi-manda di laut ataupun mungkin ada yang sedang asyik menonton TV, tiba-tiba sahaja ombak setinggi pokok kelapa menderu menghempas pantai dan memusnahkan segala nikmat yang diraih sebelum ini.

Oleh itu, ingatlah bahawa walau apa pun anda lakukan pada saat dan tika ini, nikmat yang anda rasai sekarang boleh ditarik pada bila-bila masa. Jadi, sementara nikmat itu masih anda rasai, sementara ruang dan peluang masih ada, gunakannya dengan sepenuh hati untuk meraih kejayaan dan mencari keredaan Allah s.w.t.

Amat malang jika remaja tidak menggunakan ruang dan peluang yang dianugerahi Allah dengan bijaksana dan penuh kesyukuran. Misalnya, diberi nikmat masa lapang, anda gunakan sepenuhnya untuk berhibur dan berlibur tanpa batasan. Diberi nikmat muda remaja, anda gunakan untuk bersantai puas-puas dengan alasan - muda hanya sekali. Diberi nikmat sihat, anda gunakan untuk berlumba haram, melakukan maksiat dan noda tanpa mengenal batas.

Jika ruang dan peluang sudah tiada, yang tinggal hanyalah tangisan. Misalnya, ada seorang remaja yang mengambil keputusan PMR dengan perasaan yang sebak, menangis teresak-esak kerana keputusannya amat mengecewakan. Tangisan anaknya itu disahut oleh bapanya; "engkau menangis air mata darah pun tidak berguna lagi."

Menangis selepas kehilangan ruang dan peluang tidak berguna lagi. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna. Dalam konteks remaja di atas, tangisannya amat bererti jika itu dilakukannya setahun sebelum PMR. Tangisannya dijadikannya tekad untuknya menerokai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.

Penulis juga pernah bertemu dengan seorang pelajar yang lumpuh selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta, selepas dia terbabit dalam perlumbaan haram. Dia menangis, dia menyesal dan dia kecewa dengan tindakannya. Namun apakan daya, kini hidupnya bergantung kepada belas ihsan orang lain dan bantuan ibu bapanya untuk memapahnya ke sana dan ke mari.

Alangkah baiknya jika pelajar ini menyesal sebelum dia terlibat dalam perlumbaan haram. Alangkah baiknya jika dia beringat sebelum terkena. Misalnya mungkin dia boleh menggunakan nikmat sihat yang diraihnya atau nikmat kemampuan memiliki dan menunggang kenderaan dengan belajar bersungguh-sungguh, meminjam buku di pusat sumber atau menghadiri kelas tuisyen.

Oleh itu, jika anda menatap berita-berita menyedihkan seperti bencana tsunami, renung-renungkan pula pada diri anda. Sejauh manakah aku mensyukuri nikmat Allah sebelum segalanya ditarik-balik?

Fokus minda pada perkara positif

KITA semua maklum, perbezaan di antara manusia dengan haiwan ialah, manusia ada akal dan boleh berfikir, manakala haiwan dikatakan tidak berakal walaupun mempunyai otak.

Berakal boleh dimaksudkan mempunyai minda. Oleh itu, seseorang individu mampu menilai dan membezakan antara yang baik dan buruk.

Mereka yang berakal sentiasa berazam memperbaiki diri, di mana hidup diisi dengan pedoman dan kesejahteraan.

Mereka yang tidak menggunakan akal dianugerah Allah untuk membina hidup sejati pula akan sentiasa dilanda pelbagai kesukaran dan permasalahan.

Sebab itu ada ayat dalam al-Quran menyebut, wujud golongan manusia yang menzalimi diri sendiri.

Ini menunjukkan mereka tidak menggunakan akal dan minda yang dianugerahkan untuk menuju jalan benar, sejahtera dan bahagia.

Menjadi kelaziman manusia apabila hendak sesuatu perkara, dia ingin perkara itu dalam keadaan terbaik.

Begitu juga dengan hidup di dunia, semua orang yang berminda sihat mahukan hidup serba senang dan selesa.

Kepada yang arif mengenai kebaikan kualiti hidup dihajati, mereka tidak juga lupa kebaikan yang sedang dan akan dinikmati di dunia. Kalau boleh, mereka ingin juga keadaan sama diperoleh di akhirat.

Oleh itu, selain memiliki minda positif dan disusuli amalan sewajarnya, mereka sentiasa memohon dan meminta restu serta keredaan Allah supaya segala amalan mereka diberkati dan dirahmati.

Individu yang menggunakan minda dan akal untuk menikmati kebahagiaan sentiasa berkata-kata kepada diri dengan penuh yakin bahawa mereka pasti berjaya, sentiasa mengiyakan bahawa pendirian mereka benar, rasional dan realistik.

Mereka boleh dikatakan dipengaruhi bisikan kalbu atau gerak hati untuk terus berjuang bagi mengecapi kecemerlangan.

Pemikiran positif seperti disebut di atas terbukti akan mempengaruhi emosi dan tingkah laku yang terbaik. Oleh itu, segala impian dihajati pasti menjadi nyata jika diizinkan Yang Maha Berkuasa.

Fikiran kusut

Bagaimana pula mereka yang menghadapi pelbagai kesulitan hidup hari demi hari. Segala sesuatu dibuat tidak menjadi dan berhasil. Pemikiran bertambah kusut, emosi tidak tenang dan perilaku mencurigakan.

Mungkinkah mereka tidak menggunakan akal fikiran dan minda dengan betul?

Kajian dalam bidang perubatan psikologi menunjukkan jika seseorang bertekad bahawa dia akan berjaya, mampu mengatasi rintangan dihadapi serta boleh menyelesaikan permasalahan dialami, dia pasti berjaya berbuat demikian.

Dalam hal ini, perkara pokok adalah sejauh mana individu itu dapat meyakinkan mindanya bahawa dia boleh berjaya, sedalam mana dia mampu mengiyakan apa dilakukan adalah amalan murni dan bagaimana bisikan kalbu serta gerak hatinya memberi rangsangan untuk meneruskan cita-cita dan rancangannya.

Dalam konteks minda yang diperkatakan di sini, ia perkara abstrak dan subjektif.

Bagi memudahkan penjelasan mengenai fungsi dan daya minda seseorang, boleh diperkatakan minda dibahagi kepada dua aspek, iaitu sedar dan separuh sedar.

Minda sedar berkaitan dengan apa kita semua fikir, rasa dan lakukan setiap hari. Oleh itu kita sedar apa kita buat dan amalkan, kita tahu hasil susulan perbuatan itu dan kita bertanggungjawab ke atas semua aktiviti dilakukan.

Fungsi minda sedar ini dipengaruhi keadaan sekeliling dan segala yang kita lihat, dengar dan rasa. Ia mempengaruhi minda sedar, sekali gus menentukan hala tuju kegiatan kita.

Manakala minda separuh sedar, seperti makna istilah digunakan, ia bermaksud secara tidak langsung, apa-apa yang difikirkan, perkara dihajati dan impian boleh mempengaruhi masa depan kita.

Oleh itu, nasihat yang sering dikemukakan ialah kita selalu diingat supaya memikir perkara positif, membina dan yang memberi faedah. Apabila berbuat demikian, kita merangsang minda separuh sedar kita untuk berusaha mencari jalan penyelesaian kepada cabaran dan dugaan dihadapi.

Dalam konteks mekanisme, fungsi minda separuh sedar dikatakan paling baik untuk merangsangnya adalah apabila kita berasa tenang dan selesa seperti ketika hendak mula tidur.

Dalam keadaan ini, minda tidak dihujani 1,001 macam stimulus (rangsangan). Oleh itu, minda lebih fokus dan mampu mencari jawapan kepada cabaran dan dugaan dihadapi.

Walau apa pun hajat dan harapan kita, perkara yang penting difahami adalah biar sesuatu kerja dan tugas yang dibuat dilaksanakan dengan sempurna kerana memang kita betul-betul berminat membuat kerja itu.

Ini diikuti perasaan untuk menjalankan tugas itu sebaik mungkin supaya kita menjadi mahir menjalankannya dan boleh berasa bangga serta berpuas hati dengan kejayaan kita.

Susulan itu, kita mampu membantu orang lain mengendalikan urusan dan kerja mereka kerana sikap membantu orang lain untuk turut berjaya bersama mencerminkan sifat peribadi mulia dan dihormati.

Justeru, untuk mengecapi kejayaan dan kesejahteraan, kita harus fokuskan minda kita terhadap perkara positif dan membina. Sekali gus, usaha seperti ini akan menyematkan pemikiran membina dalam minda kita.

Jika berlaku sebaliknya, di mana kita sentiasa memikir yang negatif dan risau dengan pelbagai dugaan dan cabaran, secara tidak langsung kita terbawa-bawa dengan pemikiran negatif itu dan akhirnya kita rugi.

Berfikiran Positif Kunci Kejayaan

Ingin tahu kunci kejayaan hidup? Berfikirlah positif. Ya, berfikiran positif dapat membuat anda maju dan berjaya. Dengan fikiran yang positif, anda dapat menjalani segala sesuatu tanpa dibebani oleh seribu fikiran buruk. Anda juga terhindar dari perasaan takut dengan kegagalan. Jalan di depan anda pun akan selalu terasa lapang.

Anda Ingin Tahu Bagaimana Langkah Berfikiran Positif Itu?

Bangkitkan Motivasi.

Membangkitkan motivasi diri yang kuat dan menambah wawasan yang memperkuat berfikiran positif merupakan langkah penting. Pengukuran kualitatif motivasi dapat dilakukan dengan memberikan pemisalan negative case jika suatu tujuan tidak tercapai. Misalnya, renungkanlah kemungkinan jika anda tidak diterima kerja? Dari jawapan anda, anda dapat memprediksi dan merasakan seberapa kuat motivasi anda untuk diterima kerja.

Yakinlah Boleh.

Kelemahan motivasi acapkali disebabkan oleh fikiran negatif tentang kemampuan diri sendiri, atau tentang mekanisme gerak kehidupan. Cubalah untuk membangkitkan konsep diri positif pada diri anda. " Jika saya berfikir bahawa saya boleh, maka saya boleh." Katakan setiap ingin melakukan apapun. Yakinkan bahawa anda boleh. Jika ketika ini gagal, berusahalah terus-menerus tanpa kenal lelah. Percayalah, usul dari dalam diri dapat membantu anda mempercepat mencapai proses yang anda harapkan.

Jangan Fatalistik.

Jauhkan fahaman fatalisme yang menyerah pada nasib. Ianya mempunyai pengaruh kuat dalam diri anda untuk membenarkan kegagalan. Menyandarkan kesalahan atau kelemahan pada takdir, yang manifestasinya seperti dalam kenyataan bahawa

" Saya pada dasarnya bodoh " misalnya, merupakan sumber negative thinking yang signifikan. Anda harus memeranginya, jika idea tersebut ada pada diri anda.

Lihat Sisi Baik.

Pandanglah sesuatu dari sisi baiknya. Kerana berfikiran positif adalah memandang segala sesuatu dari sisi pandang kebaikannya. Orang yang berfikiran positif akan memandang keterbatasan kemampuannya pada suatu saat. Bukan sebagai suatu

" kebodohan yang menimbulkan berbagai kecelakaan ", tetapi memandangnya sebagai suatu cabaran yang amat nikmat untuk diatasi. Orang yang berfikiran positif akan memandang perjuangan dan harapan. Orang yang berfikiran positif akan memandang keterbatasan ekonominya sebagai suatu perantaraan untuk hidup sederhana. Dan dengan kesederhanaan ini ia akan mencapai kebahagiaan.

Berdikari Selalu.

Pertahankan kebebasan anda. Kebebasan adalah sesuatu yang paling bernilai yang dimiliki setiap orang. Kebebasan untuk berfikir, mencipta, akan tumbuh seperti yang anda harapkan, tentunya dengan cara yang positif. Ketika anda menjadi amat tergantung pada orang lain, anda akan berfikiran destruktif dan menjadi malas.

Tanamkan sikap tidak terlalu bergantung pada orang lain secepat mungkin. Bertanggungjawablah pada hidup dan tindakan yang anda lakukan. Sekali anda merasa mampu mengawal hidup, anda memulai perjalanan berfikiran positif anda.

Selalu ingat ketika anda sedang memiliki masalah dengan berfikiran positif.

" Anda adalah apa yang anda fikirkan, dan anda merasai apa yang anda inginkan. "

Dengan melakukan ini, anda akan selalu menjadi seorang juara dan seorang survivor ketika masa-masa sukar.

Waktu Tiada Berhujung


Betapa hebatnya waktu mengatur kita. Ketika loceng jam hari kerja berdering, tanpa diperintah segera kita berkemas. Menyimpan kertas dan pensil dalam laci, lalu meninggalkannya jauh-jauh. Seolah semua persoalan telah terpecahkan untuk hari itu. Padahal masalah tetap terjaga selagi kita pejamkan mata.

Namun, esok hari, ketika lonceng jam kerja mulai berdentang, semua tumpukan masalah kita aduk, seolah ia terlampau banyak tidur semalam. Perselisihan pun bolehlah dilanjutkan kembali. Ah, betapa hebatnya waktu menghibur kita. Betapa berghairahnya waktu membangunkan kita.

Ketika kita mengatur waktu, sesungguhnya kita pun mengatur fikiran, mengatur emosi, dan mengatur perasaan kita. Kerana waktu adalah lingkaran dimana kehidupan kita berjalan, kita atur waktu untuk mengatur kehidupan.

Kita rayakan sesuatu kerana kita berjaya ciptakan hari besar. Kita heningkan diri kerana kita tegakkan kesyahduan. Dan, semua itu kita rangkai dalam jalinan waktu. Maka, hanya mereka yang tak kenal akan waktulah yang terjerat dalam persoalan tiada berhujung. Waktu tidak berhujung hinggalah hari pembalasan. Namun selepas itu juga waktu masih belum tahu penghujungnya.

Kredibiliti adalah sesuatu yang sangat berharga. Sekali kredibiliti telah hilang, akan sangat sukar untuk diperoleh kembali. Tanpa kredibiliti, adalah mustahil untuk memelihara dan mencapai suatu kejayaan. Perhatikan dalam lingkungan yang penuh ketidak percayaan dan prasangka, hanya sedikit yang dapat dicapai seseorang.

Janji dan komitmen bukan sekadar alat. Jauh lebih penting, keduanya adalah apa yang kita perlukan untuk membangun ataupun menghancurkan kredibiliti. Oleh itu, kita harus memilih komitmen apa yang mampu kita berikan, dan janji apa yang mampu kita tepati.

Sebuah kredibiliti yang kuat dan nyata, boleh membawa anda maju. Oleh kerana itu berhati-hatilah terhadap kredibiiti. Jangan korbankan itu demi kepentingan seketika. Berkatalah jujur, hormati komitmen anda, dan anda akan mampu meraih apa yang sekarang anda miliki atau atau tidak mampu anda mimpikan.

Saya Tidak Tahu.

Menjadi cerdas, tidak berarti mengetahui segala jawaban. Kadang1, jawaban paling cerdas yang anda dapat katakan adalah "Saya tidak tahu". Diperlukan rasa percaya diri dan kecerdasan extra untuk mengakui ketidaktahuan anda. Dan saat anda melakukannya, anda sedang dalam proses mempelajari jawaban yang sebenar.

Seringkali, kerana alasan kebanggaan dan mencegah rasa tidak selesa, kita mengatakan tahu, padahal kita tidak tahu. Dgn cara ini, kita telah menyia-nyiakan kesempatan untuk belajar lebih lanjut. Percayalah, tidak ada salahnya anda tidak mengetahui suatu hal.

Bahagian penting dari kebijaksanaan adalah mengetahui batas pengetahuan anda. Mengetahui apa yang anda tahu dan apa yang anda tidak tahu. Orang yang benar-benar cerdas adalah orang yang tahu dan mengerti, bahawa tak semua pertanyaan dapat ia jawab. Orang yang benar-benar cerdas, adalah orang yang mau bertanya, mau belajar, mau meningkatkan diri.

Gunakan pengetahuan yang anda miliki, dan miliki pengetahuan yang anda perlukan. Itu adalah jalan terbaik yang dapat anda tempuh.

Sifat Yang Melemahkan Diri

Kawal perasaan apabila hendak marah.

Secara sedar atau tidak, setiap manusia ada kelemahannya. Manusia sememangnya mempunyai kelebihan berbanding dengan makhluk lain ciptaan Allah s.w.t. Tetapi, di sebalik kehebatan itu, manusia diperingatkan dan dikecam oleh Allah s.w.t kerana memiliki kelemahan dan kekurangan yang membawa ke lembah kehinaan.

Di dalam hati manusia, terbit beberapa sifat kelemahan seperti marah, tamak dan tergesa-gesa yang muncul tanpa disedari. Walau pun nampak remeh, tetapi sifat-sifat itu menjadi laluan oleh syaitan untuk mencapai tujuannya. Manusia perlu diperingatkan tentang kelemahan itu. Ikuti maklumat bermanfaat itu sebagai santapan untuk rohani anda.

MARAH

Perasaan marah yang terbit adalah api di dalam dada insan. Sifat ini hadir apabila berlaku sesuatu yang tidak menepati kehendak hati. Perasaan itu akan berkobar-kobar dengan hebatnya jika api kemarahan dihembus lagi. Imam Ghazali menggambarkan sifat marah itu bagaikan darah yang mendidih di dalam dada. Ia akan menghasilkan asap hitam yang menyembur ke otak dan seterusnya menguasai akal fikiran manusia. Akibatnya, sifat itu mempengaruhi fizikal manusia sehingga menutup mata dan menggelapkan pandangan.

Manusia yang sedang membara kemarahannya boleh dilihat menerusi air mukanya yang berubah, tindakannya yang tidak menentu dan tutur katanya tidak teratur. Akal fikirannya waktu itu seolah-olah suatu benda yang terbakar. Api marah dapat membakar hati dan sikap ini tidak elok dibiarkan berterusan.

Dalam konteks agama, Islam membenarkan manusia marah dengan maksud untuk meluruskan yang salah, mencegah yang mungkar dalam keadaan yang terkawal dan waktu dan tempat yang sesuai. Sebab itulah ada ungkapan yang mengatakan, marah biarlah bertempat.

Jika tidak sesuai dengan keadaan, marah tidak dibenarkan kerana syaitan paling mudah menguasai manusia ketika sedang marah. Waktu itu, syaitan menciptakan keadaan yang boleh menyebabkan manusia tidak sedar apa yang mereka ucapkan dan perbuatan yang dilakukan.

Al-Quran ada merakamkan beberapa kisah tentang sifat marah yang terjadi kepada beberapa orang Nabi yang marah disebabkan oleh kedurhakaan kaumnya yang enggan taat kepada perintah Allah s.w.t. Mengenai kisah Nabi Yunus misalnya, al-Quran menyentuh mengenai marahnya terhadap sekelompok Bani Israil yang enggan taat sehingga dia meninggalkan tugas dan menuju ke laut. Dia menduga bahawa “Kami tidak akan memberinya hukuman atas marah”. (Surah al-Anbiya, ayat 87). Malah Rasulullah s.a.w sendiri diingatkan oleh Allah s.w.t akan bahaya sifat marah. Allah bersabda, “Janganlah engkau menjadi seperti Nabi Yunus yang ditelan oleh ikan besar,” (Surah al-Qalam, ayat 47).

Memandangkan banyak kesan buruk akan berlaku akibat sifat marah, Rasulullah s.a.w berpesan kepada kita agar tidak mudah marah. Andai kata rasa terdorong untuk marah, al-Quran dan as-Sunnah mengajar kita supaya memohon perlindungan Allah s.w.t daripada syaitan. Ini kerana syaitan akan mengipas dan menyiram minyak untuk menyemarakkan api di dalam hati.

Anda dianjurkan untuk diam, duduk dan meninggalkan tempat itu. Jika perasaan marah masih memuncak, eloklah berbaring. Rasulullah s.a.w bersabda, “Kalau salah seorang di antara kamu marah, sedang ketika itu dia berdiri, maka hendaklah duduk. Kalau marahnya belum reda, hendaklah berbaring,” (Riawayat Abu Daud dan Ibnu Hibban).

TAMAK

Sifat tamak adalah ekoran daripada keinginan yang sangat berlebihan yakni di luar batas kewajaran dan kemampuan. Bak ungkapan orang arif dan cerdik pandai, “Ukurlah kemampuan anda dan berusahalah untuk meraih keinginan. Ketahuilah batas anda dan jangan melampaui batas. Terimalah apa yang telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada kamu dan syukurilah anugerah itu.”

Tidak dinafikan bahawa keinginan yang berlebihan untuk mendapatkan sesuatu adalah sifat azali yang sudah tertanam dalam diri manusia. Nabi Muhammad pun memiliki sifat itu. Baginda berkeinginan agar seluruh manusia beriman kepada Allah s.w.t.

Keinginan Rasulullah s.a.w itu diingatkan oleh Allah s.w.t bahawa beliau hanya berkewajipan menyampaikan ajakan dan risalah Allah s.w.t dan bukan menjadikan mereka beriman seperti dalam sabda, “Engkau tidak dapat memberi petunjuk kepada siapa yang engkau cintai tetapi Allah s.w.t yang memberi petunjuk siapa yang dikehendakiNya.” (Surah al-Qasas ayat 56).

Perasaan keinginan nafsu yang melampaui batas adalah pintu masuk syaitan ke dalam jiwa manusia. Segala jalan akan ditempuh dengan sedaya upaya untuk memuaskan keinginan yang belum pasti diraih meskipun ia bertentangan dengan hati dan ajaran agama.

Akibat daripada sifat itu, seseorang manusia akan bangga dan merasa puas apabila berhasil memiliki sesuatu yang dimiliki oleh orang lain dan tidak pernah merasa senang dan puas melihat kelebihan dan kejayaan kawan apatah lagi lawannya.

Jiwa orang yang memiliki sifat itu sentiasa goncang dan tidak tenteram. Dia tidak pernah menikmati apa yang dimilikinya. Apa yang membahayakan ialah apabila keinginan nafsu adalah kuat tetapi kurang kemampuan untuk melakukannya.

TERGESA-GESA

Sudah menjadi lumrah bahawa setiap manusia ingin mendapatkan sesuatu yang diinginkannya dengan segera. Begitu juga sewaktu berdoa dengan harapan doa yang dipanjatkan akan segera dikabulkan oleh Allah s.w.t. Sifat ini adalah satu kelemahan manusia. Adakah tergesa-gesa sama dengan gerak cepat?

Sifat tergesa-gesa kerap terjadi akibat daripada satu tindakan. Kadang-kadang menyebabkan manusia menjalankan kewajipan asal menjadi sesuka hati dengan mengambil jalan pintas yang bertentangan dengan hukum. Bukankah banyak dosa yang terkumpul akibat kesilapan manusia disebabkan sifat tergesa-gesa?

Menghindari sifat ini tidak bermakna Allah s.w.t menggalakkan manusia bertindak lambat, menunda kerja hingga keesokan hari dan sebagainya. Sebaliknya ia bermaksud sebagai larangan melakukan sesuatu pekerjaan dengan tergesa-gesa sehingga tidak sesuai dan memenuhi ketentuan atau mengambil kesempatan dalam kesempitan. Rasulllah s.a.w. bersabda, “Tidak tergesa-gesa (berfikir matang) bersumber daripada Allah, dan tergesa-gesa bersumber daripada syaitan.” (Riwayat al-Baihaqi).

Sebagai renungan, eloklah merujuk nasihat al-Jahiz (775-867H) tentang sikap tergesa-gesa. “Hati-hatilah, jangan sampai syaitan memperdaya kamu, sehingga menguburkan tekad dan iltizam kamu atau memperlihatkan sikap suka menunda-nunda sebagai bentuk tawakkal (berserah diri kepadanya). Jangan sampai pula syaitan mencabut sikap berhati-hati yang melahirkan keengganan untuk bertindak dengan bertopengkan takdir.”

Hakikatnya terdapat banyak kelemahan manusia yang dapat dimanfaatkan oleh syaitan. Semoga dengan selalu mengingati Allah s.w.t dan mengingat permusuhan dengan syaitan, anda dapat menghindari semua sifat kelemahan. Mudah-mudahan Allah s.w.t melindungi anda daripada kelemahan berkenaan.

Membina perhubungan melalui bicara.

Salah satu perkara penting dalam mengembangkan dan menilai konsep kendiri adalah dengan melihat reaksi dan tindak balas orang lain terhadap pendedahan kendiri. Pendedahan kendiri berlaku apabila anda dengan sengaja mendedahkan maklumat peribadi anda terhadap orang lain yang tidak akan diketahui melainkan jika diberitahu.

Kita boleh mengagak umur, ketinggian dan berat dengan sekadar melihat. Tetapi mustahil untuk menjangka secara tepat melainkan anda diberitahu. Pendedahan kendiri bukan sahaja membantu orang lain memahami anda, ia juga menandakan tahap kepercayaan dan penerimaan orang lain terhadap anda.

Hubungan yang lebih baik dalam persahabatan mahupun kekeluargaan tidak akan mencapai peringkat yang lebih erat tanpa pendedahan kendiri, sebaliknya ia sekadar perhubungan palsu atau secara terpaksa kerana sebab-sebab tertentu. Anda boleh menilai konsep kendiri orang lain dan diri anda sendiri hanya apabila kedua-dua pihak bersedia mendedahkan diri antara satu sama lain.

Tahukah anda mengapa salah seorang rakan yang anda kenali di anggap sebagai rakan karib? Hatta diri penulis juga mempunyai rakan karib. Tanpa ragu-ragu, salah satu karateristik yang menjadikan seseorang itu sebagai rakan paling akrab dengan diri anda ialah kesediaan kedua-dua pihak berkongsi maklumat peribadi.

Apabila anda bersama dengannya, anda bersedia untuk berkongsi rahsia diri, buruk atau baik berbanding rakan-rakan lain yang mengenali anda secara luaran. Dua orang penyelidik, Irwin Altman dan Dalmas Taylor telah memperkenalkan model ‘penembusan sosial’ (social penetration). Cuba anda bayangkan sebiji kek berbentuk bulat. Ia mewakili semua maklumat berkenaan diri anda yang berkemungkinan didedahkan kepada orang lain.

Kek tersebut dipotong dan dibahagi-bahagikan mengikut saiz yang sama. Setiap bahagian mewakili sebahagian daripada diri anda. Contohnya, beberapa bahagian kek tersebut mewakili diri anda yang berkaitan dengan aktiviti, kepercayaan dan agama, keluarga, sekolah, ketakutan, pengalaman hidup atau apa sahaja yang berkaitan.

Di bahagian tengah kek diibaratkan sebahagian maklumat yang bersifat sangat peribadi semakin lama seseorang itu memakan kek tersebut, semakin banyak maklumat yang akan dimiliki olehnya. Sebanyak mana bahagian kek kehidupan yang ingin anda kongsi, terpulang kepada anda.

Untuk mendedahkan maklumat diri anda kepada orang lain, pertama sekali anda perlu menyedari tentang diri anda terlebih dahulu. Kesedaran kendiri, ialah kefahaman terhadap diri secara sedar. Dengan memikirkan tentang diri, bertanyakan kepada orang lain dan mendengar apa yang disampaikan berkenaan diri anda adalah proses kesedaran kendiri.

Salah satu kaedah yang boleh dilakukan untuk memahami diri anda adalah dengan menggunakan model Tetingkap Johari (Johari Windows) yang diperkenalkan oleh Joe (Joseph Luft) dan Harry (Harry Ingham). Lontarkan pandangan anda melihat sebuah tingkap yang mempunyai kerangka 4 segi yang dibahagikan kepada empat bahagian. Kita wakili setiap bahagian sebagai kuadran pertama hingga ke empat yang mempunyai karakteristik seperti berikut;

Kuadran pertama

Ia dipanggil sebagai ‘kawasan terbuka’. Mengandungi maklumat diri yang diketahui oleh anda dan orang lain. Apabila anda bersifat lebih terbuka terhadap orang lain maka kuadran ini akan terus membesar. Umur atau pekerjaan adalah antara maklumat yang anda letakan ke dalam kuadaran ini.

Kuadran kedua

Ia dikenali sebagi sebagai ‘kawasan buta’. Mengandungi maklumat diri yang diketahui oleh orang lain terhadap diri anda, tetapi anda sendiri tidak mengetahuinya. Penulis masih ingat salah satu jenaka yang selalu dilakukan di sekolah ialah melekatkan kerta yang bertulis ‘Pukul Saya’ di belakang pelajar lain. Begitulah sifat kuadran kedua. Anda mungkin merasakan diri anda seorang yang suka membantu, tetapi rakan-rakan lain melihat anda seperti ingin mengambil hati orang lain untuk kepentingan diri.

Kuadran ketiga

Ia dipanggi sebagai ‘kawasan tersembunyi’. Mengandungi maklumat diri yang diketahui diri anda sendiri tanpa diketahui umum. Ia mungkin melibtakan perasaan anda terhadap orang lain, perkara-perkara memalukan yang pernah berlaku terhadap diri. Kawasan tersembunyi ini tidak sewajarnya didedahkan kepada orang lain, ia boleh digunakan sebagai cermin untuk memperbaiki diri.

Kuadran ke empat.

Ia dikenali sebagai ‘kawasan tidak ketahui’. Baik anda mahupun orang lain tidak mengetahui maklumat tentang diri. Ia bergantung sama ada anda masih belum mengenali diri anda sepenuhnya atau tindak balas anda terhadap sesuatu yang belum berlaku atau perkara-perkara diketahui oleh Tuhan.

Selepas ini anda bebas untuk memilih dan melakar sama ada kek kehidupan atau tetingkap diri untuk lebih mengenali diri sebelum bersedia mendedahkan rahsia diri terhadap orang lain.

Sedia berubah untuk maju

RAMAI daripada kita sering lupa bahawa hampir semua yang berfaedah dalam hidup kita, tidak diperolehi secara mudah. Sebaliknya, kita perlu mempelajari, serta melalui tempoh-tempoh sukar se-belum menerima ganjarannya. Sebagai contoh, belajar berjalan adalah susah; jatuh, bangun, dan jatuh lagi, tetapi akhirnya ramai yang boleh berjalan dan melakukannya dengan mudah sekali.

Begitu juga dengan kemahiran-kemahiran lain seperti bersukan, bermain alat muzik, melukis dan sebagainya. Namun kita terlupa kesemua kemahiran itu dipelajari dengan susah pada awalnya.
Apabila seseorang mula mencuba sesuatu untuk kali pertama, biasanya, hasil yang diperolehi tidak begitu baik. Bagaimanapun ini tidak bermakna dia gagal atau bodoh, cuma, dia perlukan masa untuk mempelajari melakukannya dengan lebih baik.

Sungguhpun begitu, kita akan terkejut dengan pelbagai reaksi orang apabila mereka kurang berjaya mempelajari satu kemahiran baru.

Mereka berasa terkejut, marah, kecewa dan sebagainya. Mereka lupa bahawa 'bernasib baik' dalam percubaan pertama adalah satu kebetulan. Mereka tidak teringat bahawa sesuatu yang dilakukan buat kali pertama selalunya adalah sukar.

Maka apakah cara yang lebih positif apabila berhadapan dengan pelbagai kepayahan semasa mempelajari sesuatu yang baru? Kita perlu mengambil sikap bahawa kita sepatutnya gagal pada permulaan. Begitulah cara sistem ini berjalan.

Kita seharusnya mencari pesona dalam proses itu, dan membina perasaan suka dengan turun naik proses tersebut. Kita perlu mengiktiraf kepayahan-kepayahan yang bakal dihadapi dan membinanya dalam tempoh masa, dan usaha yang dirancang. Walau-pun ini bersifat pesimis, tetapi mempunyai kesan yang baik pada masa hadapan. Merancang untuk meng-hadapi kesusahan akan menghapuskan emosi-emosi negatif dalam keadaan seumpama ini.

Terdapat beberapa keadaan lagi yang menyebabkan kita akan berhadapan dengan kepayahan pada mula-nya. Hampir apa sahaja yang membabitkan perubahan adalah sukar diterima pada awalnya. Adalah mudah membuat keputusan untuk berubah, yang sukar ialah membuat perubahan dan kekal dengan perubahan itu. Kita sering ingin kembali kepada cara lama; kita tidak bersemangat, tidak selesa dan sebagainya.

Selain belajar menyukai proses perubahan dan mempelajari sesuatu yang baru, kita boleh menokok satu elemen lagi. Kita boleh mengkaji semula matlamat yang ingin dicapai, dan secara berterusan mengingatkan diri bahawa kesakitan yang dirasai hanyalah sementara, tetapi nikmatnya berkekalan.
Kita perlu menerima kesakitan dan kekecewaan tersebut, serta menghadapinya sedikit demi sedikit. Di samping itu mengingatkan diri agar terus bertahan, dan boleh beriaya. Kehidupan adalah satu siri detik yang perlu dilalui dengan jaya.

Tadi telah ditegaskan bahawa kita perlu menerima bahawa sesuatu yang baru adalah sukar dipelajari pada awalnya. Pandangan 'negatif ini boleh mem-bantu, tetapi mesti diimbangi dengan pandangan positif mengenai keseluruhan projek.

Merancang, dan bersedialah untuk menghadapi masalah di awalnya, tetapi merancang dan jangkakan juga bahawa anda akan akhirnya dapat menguasai keadaan. Merancang mendapatkan hasil positif akan membantu anda memperoleh kesungguhan untuk berjaya.

Ingatlah jika kita harapkan sesuatu yang baik, kita lazimnya akan menerima yang baik.

12 cara tingkat harga diri

Setiap insan mempunyai harga diri atau maruah yang begitu di jaga supaya tidak dicemari oleh mana-man pihak tidak bertangungjawab .Apabila harga diri tercemar kesan yang ditinggalkanbegitu menyakitikan.

Keadaan menjadi semakin parah jika harga diri dicemari diri sendiri . Anda bertangungjawab membentuk harga diri yang positif sekiranyan jelas dengan matlamat anda .Berikut adalah 12 cara yang boleh dijadikan panduan dalam membentuk membentuk mempertingkatkan harga diri .

1.Bina keyakinan diri .
Keyakinan diri bermula dari dalam diri seterusnya terbina di situ .Jadi setiap kali anda ingin mencapai sesuatu matlamat ,bayangkan diri anda sudah pun berada pada situasi seperti yang diharapkan.Yang pasti ,ia berbentuk positif dan anda berjaya .Jadikan impian anda itu satu kenyataan dengan cara anda berusaha menlaksanakannya,bukan sekadar berangan-angan kosong saja .

2.Dampangi orang lain
Ucapkan kata-kata yang baik kepada orang lain .Senaraikan beberapa perkara yang anda suka dan hargai mengenai seseorang .Seterusnya berilah kerjasama semampunya yang boleh kerana dengan bantuan yang diberikan itu dapat meletak kan diri anda dalam keadaan yang lebih bahagia .

3.Elakkan diri daripada kesempurnaan
Kesempurnaan boleh melumpuhkan diri dan merencatkan cita-cita untuk mencapai sesuatu matlamat.Setiap manusia mempunyai kekuatan dan kelemahan diri .Jadi ,potensi diri seharusnya terlebih dulu dikenali pasti supaya matlamat anda terlaksana sebaik dan semampu mungkin ,bukannya untuk mendapat kesempurnaan.Sekiranya kesempurnaan teleh dititikberatkan ,anda mungkin kecewa apabila gagal mencapai matlamat anda .

4.Jaga perawakan diri
Perawakan diri menjadi satu factor kritikal dalam pembinana harga diri .Anda tidask perlu memperlihatkan diri yang kusut ketika berhadapan dengan masalah tetrapi sebaliknya semakin mengemaskan diri ketika itu supaya perasaan anda tidak terus menekan diri .

5.Dapatkan kerehatan
Setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk merehatkan diri.Anda boleh bersenam,bermeditasi,mendengar muzik ,bersiar-siar dan sebagainya supaya fikiran dan perassan mendapat ketenangan .

6.Hormati diri
Senaraikan 50 ciri-ciri diri anda yang positif .Jika anda tidak dapat menyenaraikan semuanya ,fikirkan seseorang yang begitu meminati dan menghormati anda serta tuliskan beberapa cirri diri positif yang pernah di perkatakan oleh mereka mengenai anda .Anda pasti berasa gembira dan lebih menerima serta menghormati diri anda sendiri .

7. Utamakan diri
Lakukan sesuatu yang boleh menggembirakan diri anda,untuk anda,setiap hari.

8.Cabar potensi diri
Anda perlu melakukan sesuatu yang belum pernah anda lakukan tetapi mencabar.Inilah caranya untuk mengujipotensi diri kerana cabaran itu ,anda akan lebih yakin dengan tindakan dan akhirnya mempertingkatkan lagi kejayaan diri supaya harga diri juga terbina kukuh .

9.Cari keistimewaan diri
Apabila anda tertekan atau menghadapi masalah ,kadangkala anda secara spontan mendapat ilham untuk mengendaklikan .Inilah keistimewaan yang ada dalam diri anda dan seharusnya diperkukuhkan supaya diri anda lebih mantap

10.Jadilah seorang yang optismis
Bersikap pesimis bukanlah suatu kesalahan kerana ia bolehberlakupada bila-bila masa disebabkan pengalaman lalu.Namun sikap ini boleh mendatangkan keburukan sekiranya terlalu dipegang atau dipercayai kerana tidak ada sesuatu keadaan yang tidak boleh berubah kecuali apa yang telah ditentukan ?Nya .

11.Hindari sikap prasangka
Apabila rakan anda bertindak kasar ,anda akan lebih mengenalinya tetapi ini tidak bererti dia seorang yang kasar Cuma kekasaran ini mempunyai sebab-sebab tertentu .Cuba dekati dan fahami perasaannya .

12 Bertindak sejajar dengan nilai
Kadangkala konflik nilai boleh berlaku .Terokai nilai diri anda berdasarkan beberapa insiden yang dialami supaya anda lebih prihatin dengan nilai itu dan ia sejajar dengan tindakan anda .Anda boleh mencapai matlamat yang diidamkan dengan mengamalkan cara-cara yang telah diberikan supaya menjadi manusia berjaya

Keseimbangan Menuju Kesempurnaan

PERIHAL PENTINGNYA KESEIMBANGAN

Tidak dapat dinafikan, kita selalu menginginkan kesempurnaan. Dalam mengejar kesempurnaan ini, jangan pula dilupakan mengenai keseimbangan yang sama sekali tidak dapat diasingkan daripadanya. Jika tidak, kita sama sahaja seperti mencapai kesempurnaan yang cacat.

Dalam erti kata lain, keseimbangan ini juga berkaitan secara langsung dengan keadilan. Kita tidak berlaku adil jika kita tidak menjaga keseimbangan. Dalam menyediakan secawan teh juga memerlukan keadilan. Ini tidak bermaksud kita harus memasukkan secawan air, secawan susu, secawan teh dan secawan gula. Tetapi kita memasukkan elemen tertentu mengikut keperluan dan cirinya yang tersendiri. Nah, inilah yang dikatakan seimbang. Konsep ini harus jelas bagi kita supaya nanti kita tidak mempersoalkan sesuatu kerana kita melihat pembahagian yang tidak sama. Adil atau seimbang lebih tepat digambarkan sebagai meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Makanya, kita tidak dapat menafikan bahawa elemen keseimbangan ini sangat penting dan mempengaruhi kehidupan kita secara keseluruhannya.

Dalam pembicaraan sains juga banyak menyentuh aspek keseimbangan. Tentu kita sering mendengar berkenaan keseimbangan terma, keseimbangan daya, keseimbangan persamaan kimia, keseimbangan hormon dalam badan manusia, keseimbangan ekosistem, keseimbangan gizi pemakanan, keseimbangan cecair dalam badan dan sebagainya.

Pokok pembicaraannya, keseimbangan merupakan pra syarat untuk kita menuju kesempurnaan yang menyeluruh.

Wah, jika begitu besar impaknya kepada kita, maka apakah pula aspek yang perlu diseimbangkan dalam kerangka besar kehidupan kita? Keseimbangan yang bagaimana yang harus kita usahakan? Dan apakah kesan ketidakseimbangan aspek-aspek tadi dalam kehidupan kita?

Sebelum melangkah jauh, saya memohon petunjuk daripada-Nya agar tidak membicarakan sesuatu yang sia-sia. Moga penilaian-penilaian yang cuba saya bawakan bersifat seimbang dan ada manfaatnya bagi semua dalam menuju kesempurnaan.

ASPEK-ASPEK YANG MEMERLUKAN KESEIMBANGAN

Baiklah, mari kita berfikir bersama-sama secara objektif. Tentunya ada elemen-elemen yang ada pada kita yang perlu kita seimbangkan. Emmm…teruskan berfikir, elemen-elemen apa ya?

Yang pertama, kita mempunyai jasad. Itu sudah pasti. Jika tidak kita tidak pernah wujud pun.

Yang kedua, jasad kita tidak ada ertinya tanpa ruh. Itu yang membuatkan kita hidup dan berbeza daripada mayat.

Yang ketiga, kita diberi akal sebagai elemen terpenting yang membezakan kita daripada haiwan. Jika tidak, tidak ada bezanya kita dengan haiwan yang juga makan, tidur, bergaul dan sebagainya.

Secara umumnya, kita mempunyai jasad, ruh dan akal. Inilah elemen-elemen yang sangat memerlukan penjagaan sebaiknya secara seimbang daripada kita. Yang pastinya, Allah tidak menciptakan sesuatu itu sia-sia. Maka, bagaimana seharusnya kita menyeimbangkan ketiga-tiga aspek terbesar yang kita miliki ini? Mmm…persoalan yang sangat menarik.

Mari kita teruskan berfikir….

MENUJU KESEIMBANGAN SETIAP ASPEK

Setiap daripada elemen yang ada pada diri kita tadi mempunyai tuntutan tertentu yang perlu kita penuhi. Kita harus meletakkan sesuatu pada tempatnya dalam memenuhi tuntutan-tuntutan tersebut. Ayuh kita teliti satu per satu tuntutan-tuntutan yang memerlukan perhatian kita.

JASAD

Jasad yang sihat memerlukan makanan dan minuman yang sihat. Di samping itu, ia juga memerlukan senaman yang secukupnya agar dapat berfungsi dengan baik. Ketika sakit, jasad ini memerlukan ubat. Ia juga memerlukan pakaian yang baik untuk menutupinya. Banyak lagi tuntutan-tuntutan lain yang diperlukan oleh jasad dalam menjalankan fungsinya secara optimal. Jika sedemikian tuntutannya, maka kita akan sentiasa menjadi orang yang aktif dan mengamalkan gaya hidup sihat. Kita juga harus menjaga penampilan diri bagi memenuhi tuntutan jasad tadi.

RUH

Rohani memerlukan makanan agar dapat sentiasa subur dan tidak kering kontang. Makanan rohani tidak seperti makanan jasad. Bagi menyuburkan aspek ini, kita harus sentiasa mendekatkan diri kepada tuhan agar ruh ini berada dalam keadaan yang stabil dan tenang, tidak meronta-ronta kesakitan. Di samping itu, perhubungan dengan orang lain sangat perlu agar kita dapat mengisi tuntutan jiwa dan mendapatkan emosi yang stabil. Nasihat daripada orang lain dapat membantu untuk menghidup suburkan ruh. Al-Quran sebagai kalam daripada Ilahi merupakan ayat-ayat yang terbaik untuk menghidupkan ruh dalam diri kita. Itulah makanan terbaiknya. Jika tidak, kita mungkin digelar mayat yang bernyawa kerana ruh kita telah ‘mati’ kerana tidak dibekali makanan-makanan rohani yang secukupnya.

AKAL

Akal kita memerlukan input-input yang dapat mengisi keperluannya. Input-input inilah yang dinamakan Ilmu yang sangat diperlukan oleh setiap orang. Tanpa ilmu, akal akan terbantut dan perkembangannya tersekat. Ilmu itu tidak hanya dikecilkan kepada sesuatu bidang yang khusus sahaja, tetapi ilmu yang perlu diisi harus bersifat menyeluruh dan dapat memastikan akal berkembang secara sihat dan tidak sempit. Jika tidak, kita tidak berlaku seadilnya kepada akal kita dengan mengabaikan sesuatu kerana kelalaian kita. Potensi akal manusia sangat luar biasa dan seharusnya digunakan ke tahap optimal supaya kita dapat menjadi orang-orang yang lebih hebat. Kekuatan akal dapat meningkatkan darjat seseorang manusia dan menjadikannya lebih berkesan dalam menyelesaikan masalah.

BAHANA KETIDAKSEIMBANGAN

Secara intinya, setiap daripada elemen-elemen dalam diri kita mempunyai tuntutan yang sangat signifikan dan perlu dikembangkan. Atas dasar inilah kita tidak boleh mengabaikan mana-mana elemen dan terlalu ekstrem dalam elemen-elemen tertentu. Akal yang sihat memerlukan badan yang sihat. Ibadah yang benar memerlukan Ilmu yang benar. Jasad yang kuat memerlukan pengendalian yang bijak dan terarah. Dewasa ini, kita gagal melihat bahawa aspek-aspek ini saling bersangkutan dan tidak terpisah antara satu sama lain. Dalam erti kata lain, Allah telah menciptakan aspek-aspek yang bersepadu yang perlu dibangunkan sekali tanpa mengabaikan mana-mana aspek.

Pertama, ada orang memberikan tumpuan yang sangat kritikal dalam aspek jasad. Elemen lain tidak diberikan tumpuan yang seharusnya. Maka lahirlah orang-orang yang sihat, kuat tubuh badannya tetapi lemah jiwanya, jahil akalnya. Mereka sentiasa menginginkan badan yang kuat atau wajah yang cantik. Pakaiannya pun tak kurang hebat bergaya.mmm…tidak ada salahnya keinginan-keinginan sebegitu. Tetapi janganlah berlebih-lebihan sehingga mengabaikan aspek pertumbuhan elemen-elemen lain. Tak sedikit orang yang kuat dan gagah tubuhnya tetapi kerana kebodohannya, kekuatan tadi dipergunakan oleh orang lain. Jadilah kaki pukul upahan, pembunuh upahan dan sebagainya. Atau tak kurang orang yang cantik wajahnya tetapi turut dipergunakan. Jadilah model-model yang hanya mengikut arahan dan mempamerkan kecantikan-kecantikan tubuh pada yang tidak sepatutnya. Hmmm….itu baru menyebut tentang tumpuan berlebihan pada aspek jasad. Hasilnya, lahirlah orang-orang yang bersifat MATERIALISTIK dan yang seangkatan dengannya.

Kedua, ada juga orang yang asyik sekali membangunkan rohaninya. Ilmunya kosong dan jasadnya dibiarkan tidak terurus. Menurutnya, dia perlu meningkatkan ruhnya semata-mata kerana hanya itu yang akan dibawa ke akhirat. Nah, benar!! Benar sekali, mana silapnya? Bukan silap, Cuma tidak seimbang. Jika begitu, apakah Allah menciptakan segala yang ada di dunia ini sia-sia? Tidak begitu bukan? Lalu, golongan yang merasa sebegitu kurang menghubungkan dirinya dengan dunia luar. Masanya dihabiskan di masjid-masjid dan surau-surau tanpa mengambil peduli perkembangan semasa. Ilmu pun tidak terlalu dititikberatkan, cukuplah sekadar boleh beramal. Akhirnya, lahirlah orang-orang yang sibuk dengan urusan dirinya sendiri, mengecilkan skop pemikirannya tentang dunia, mengetepikan kesihatan jasad dan perkembangannya serta mengasingkan dirinya daripada masyarakat. Skop Ibadah juga menjadi sempit dan tidak syumul.

Ketiga, ada golongan yang sangat bersemangat dalam menuntut ilmu bagi memenuhi tuntutan akal. Bagus! Sangat bagus!! Tetapi, dalam masa yang sama, ruhnya tidak dibangunkan dan jasadnya turut terabai. Kesannya dapat dilihat bagi golongan sebegini. Tidak sedikit orang yang bijak dan mengetahui banyak perkara tetapi pengetahuannya itulah yang mengantarkan dia ke neraka lantaran penyalahgunaan ilmu pengetahuan yang dimilikinya. Hal ini turut melibatkan orang-orang yang menuntut ilmu agama. Ekoran ketidakseimbangan aspek-aspek dalam diri, mereka cenderung kepada membawa kerosakan dengan ilmu yang mereka ada. Lahirlah orang-orang yang berfatwa untuk kepentingan dirinya sendiri, menjadikan pertimbangan hawa nafsu sebagai yang paling utama dalam menggunakan ilmu yang ada dan sebagainya. Di sudut lain, kerana terlalu asyik mengejar gelar orang yang berilmu, amal menjadi sampingan. Terbentuklah seorang manusia yang penuh dengan ilmu tetapi kosong dengan amal.

Jelas sekali ketidakseimbangan itu mengundang kehancuran dan kecelakaan kepada diri sendiri.

KESEIMBANGAN YANG SEMPURNA

Jika kita ingin melihat keseimbangan yang paling tepat, lihatlah pada zaman para sahabat yang mendapat sentuhan tarbiyah secara langsung daripada Rasulullah.

Di medan perang, merekalah singa yang sangat digeruni. Di medan dakwah, merekalah perancang strategi yang sangat bijak. Di bidang ilmu, merekalah yang sangat arif dan faham. Di malam hari, merekalah ‘abid yang paling khusyu’ dalam beribadah. Dalam bidang ekonomi, mereka sangat produktif dan berkesan. Dalam aspek politik, merekalah yang paling berhemah dan berpengaruh. Pemerintahan turut teratur dan adil. Perhubungan sesama mereka sentiasa hangat dan kuat. Pendek kata, jauh sekali kefahaman keseimbangan yang difahami oleh mereka dengan keseimbangan yang kita amalkan sekarang. Mereka benar-benar faham akan peri pentingnya keseimbangan ini dan itulah yang menjadikan mereka orang-orang yang hebat. Tetapi, mereka tidak beramal dan bekerja melainkan untuk mencari redha Allah. Mereka sangat mengerti bahawa dunia ini menjadi ladang bercucuk tanam untuk hasilnya nanti dituai di akhirat. Itulah aspek keseimbangan paling sempurna yang mereka capai. Bagaimana dengan kita?

Akhirnya, kita harus sedar bahawa kita tetap manusia yang lemah. Tentu sahaja ada elemen-elemen yang kadang-kadang terlepas pandang dalam kita memelihara keseimbangan tadi. Apa yang pasti, kita harus berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai keseimbangan diri. Itulah yang kemudiannya akan membawa kepada kesempurnaan hidup. Walaubagaimanapun, kesempurnaan yang kita kecapi juga tidak mutlak dan tidak lari daripada terkandung cacat cela. Maka janganlah terlalu obses kepada kesempurnaan yang bebas daripada sebarang kecacatan. Hanya Allah yang tidak mungkin ada sebarang kecacatan.

BE BALANCED, BE SUCCESSFUL, BE A TRUE MUSLIM.

Panduan dapatkan manfaat ilmu pengetahuan

SESEORANG penuntut ilmu harus membetulkan niat mereka untuk mendapat manfaat daripada ilmunya. Dalam memperbetulkan niat, ia bermakna mereka perlu berpegang kepada empat perkara.

Pertama, mereka perlu berniat bahawa tujuan menuntut ilmu adalah untuk membebaskan diri daripada kebodohan.

Kedua, berniat untuk memberi manfaat kepada orang lain. Rasulullah pernah bersabda, “Sebaik-baik manusia ialah orang yang bermanfaat bagi orang ramai.”

Ketiga, dia harus berniat untuk menghidupkan ilmu kerana jika tidak, ilmu akan lenyap berikutan semakin ramai orang mula meninggalkan ilmu pengetahuan.

Rasulullah pernah bersabda, “Belajarlah ilmu sebelum ilmu itu hilang dan kehilangannya ialah dengan matinya golongan ulama.”

Keempat, dia harus berniat untuk mengamalkannya bukan sebaliknya kerana ilmu adalah amal.

Jika kita mencari atau mempelajari sesuatu dengan tujuan yang bukan untuk beramal, ia adalah satu perbuatan yang sia-sia.

Dalam mencari ilmu, seseorang itu wajib mengharapkan keredaan Allah dan tidak boleh berniat untuk mencari dunia. Ini kerana dikhuatiri akan terpesong daripada jalan Allah.

Allah ada berfirman mengenainya dalam al-Quran yang bermaksud: “Siapa yang mengkehendaki keuntungan di akhirat, Kami akan tambah keuntungan itu baginya dan siapa yang mengkehendaki keuntungan di dunia, Kami berikan kepadanya sebahagian keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagian pun di akhirat.” (surah As-Syuraa, ayat 20).

Rasulullah pernah bersabda, “Siapa yang mencari ilmu bukan untuk mencari keredaan Allah, dia tidak akan keluar daripada dunia ini hingga menjadi orang yang berniat kerana Allah Taala dan negeri akhirat.”

Seseorang penuntut ilmu tidak boleh kikir dengan ilmunya supaya berkat ilmu itu tidak hilang.

Apabila seseorang meminjam sebuah kitab atau minta tolong kepadanya untuk memahami masalah, penuntut ilmu tidak boleh menolak kerana ia menepati niatnya untuk memberi manfaat bagi orang ramai di masa akan datang.

Abdullah Ibnu Mubarak berkata, “Siapa yang kikir dengan ilmunya, dia akan ditimpa cubaan dengan tiga perkara iaitu mati hingga lenyap ilmu itu, penguasa yang zalim atau lupa ilmu yang dihafal.”

Penuntut ilmu harus menghormati ilmu. Dia tidak boleh meletakkan kitab di atas tanah.

Jika dia keluar daripada tempat membuang air dan ingin menyentuh kitab, ia dianjurkan berwuduk atau mencuci kedua tangannya kemudian mengambil kitab.

Penuntut ilmu harus rela hidup sederhana tanpa mengabaikan makan, minum dan tidur. Mereka harus mengurangkan pergaulan terutamanya wanita.

Ini bermakna mereka jangan menyibuk diri dengan sesuatu yang tidak perlu baginya.

Pepatah ada menyebutkan bahawa, “Siapa yang menyibuk diri dengan sesuatu yang tidak perlu baginya, dia akan tidak berguna baginya.”

Ditanyakan kepada Luqman al-Hakim, “Dengan apa engkau mencapai kedudukan kamu?” Luqman menjawab, “Dengan perkataan yang benar dan menunaikan amanat serta meninggalkan segala apa yang tidak perlu bagiku.”

Penuntut ilmu hendaklah selalu mengkaji dan saling membalas masalah bersama temannya atau secara bersendirian.

Yazid Ar-Raqqasyi meriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa dia berkata, “Rasulullah menceritakan hadis kepada kami, kemudian masuk ke rumahnya lalu kami saling membahasnya. Maka seakan-akan ia tertanam di dalam hati kami.”

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai Yahya, ambillah Al-Kitab (Taurat) itu dengan sungguh-sungguh.” (Surah Maryam, ayat 12). Ayat itu bermaksud belajar sungguh-sungguh dan tekun.

Disebutkan dalam pepatah bahawa kita hendaklah belajar kerana belajar itu adalah tanaman.

Ditanyakan kepada Abdullah bin Abbas, “Dengan apa engkau mendapat ilmu ini?”

Abdullah menjawab, “Dengan lisan yang sering bertanya, hati yang banyak mengerti, akal yang tidak jemu dan tangan yang suka memberi.”

Apabila terjadi pertengkaran atau permusuhan antara penuntut ilmu dan anggota masyarakat, dia hendaklah bersikap lemah-lembut dan adil supaya berbeza dengan orang yang jahil.

Rasulullah bersabda: “Kelembutan tidak memasuki sesuatu melainkan ia menjadi bagus. Dan kekasaran tidak memasuki sesuatu melainkan ia menjadi buruk.”

Seseorang penuntut ilmu harus menghormati gurunya kerana ia akan menimbulkan berkat pada ilmunya. Jika dia meremehkan gurunya, berkat ilmu itu akan hilang daripadanya.

Mereka juga harus bersikap lembut kepada orang lain kerana dikatakan sebaik-baik manusia ialah yang bersikap lembut dan seburuk-buruknya adalah yang suka berdebat.

Dikatakan bahawa penuntut ilmu akan mendapat manfaat dengan perkataan orang alim apabila dalam diri mereka ada tiga perkara iaitu bersikap rendah hati, cita-cita untuk belajar dan penghormatan kepada orang alim.

Dengan tawaduknya, ilmu itu akan berpengaruh kepadanya dan dengan cita-citanya, ia akan menghasilkan ilmu, manakala penghormatan kepada guru akan menarik simpati ulama.

Perbezaan Antara Orang Yang Gagal Dan Berjaya

Seorang yang berjaya sentiasa ada kerja yang nak dibuat
Seorang yang gagal sentiasa ada alasan yang diberi

Seorang yang berjaya sentiasa berkata “biar saya buat kerja ini untuk awak”
Seorang yang gagal sentiasa berkata “ini bukan kerja aku”

Seorang yang berjaya sentiasa melihat jawapanterhadap setiap masalah
Seorang yang gagal sentiasa melihat masalah terhadap setiap jawapan

Seorang yang berjaya berkata “perkara ni susah, tapi tak mustahil dilakukan”
Seorang yang gagal berkata “perkara ni tak mustahil dilakukan tapi ia terlalu susah”

Seorang yang berjaya melakukan kesilapan akan berkata “aku dah silap”
Seorang yang gagal melakukan kesilapan akan berkata “ini bukan silap aku”

Seorang yang berjaya sentiasa memberikan komitmen
Seorang yang gagal sentiasa memberikan janji-janji

Seorang yang berjaya menyimpan azam & cita-cita
Seorang yang gagal menyimpan angan-angan tanpa usaha

Seorang yang berjaya berkata "Aku mesti lakukan sesuatu"
Seorang yang gagal berkata "Sesuatu mesti dilakukan"

Seorang yang berjaya sentiasa melihat peluang dalam masalah
Seorang yang gagal sentiasa melihat masalah dalam peluang

Seorang yang berjaya melakukan sesuatu hingga terjadi
Seorang yang gagal membiarkan sesuatu terjadi

Seorang yang berjaya belajar daripada kegagalannya
Seorang yang gagal hanya meratapi kegagalannya

Seorang yang berjaya menyaksikan keceriaan
Seorang yang gagal menyaksikan kesedihan

Atasi sikap bertangguh

Antara faktor yang menjadi penyebab tangguh ini ialah:

1. Pengurusan yang lemah, sama ada dari segi pengurusan diri, masa, sumber dan tugas.

2. Takut, sama ada takut kepada kegagalan mahu pun takutkan kejayaan. Ada orang takut berjaya kerana kejayaan bermakna tanggungjawab lebih besar, masa makin sibuk dan tiada masa untuk perkara lain, ramai orang yang akan dengki dan sebagainya. Ada pula yang takutkan kegagalan kerana bimbang dikritik, dimarahi, dipandang rendah, takut kerja tidak cukup bagus dan sebagainya. Walau apa sekalipun alasannya, 90% daripada apa yang disangkakan sebenarnya tidak akan berlaku.

3. Terlalu mahukan kesempurnaan. Ada ketikanya sesuatu perancangan itu tertangguh perlaksanaannya kerana kita mahukannya terlalu sempurna. Begitu banyak masa dan tenaga dibazirkan dengan mengkaji keburukan-keburukan yang mungkin akan terjadi.

4. Masalah fizikal. Masalah kesihatan dan tenaga yang kurang boleh mendorong perasaan malas. Ini membuatkan banyak kerja-kerja gagal disempurnakan kerana diri tidak produktif.

5. Masalah sikap. Sikap adalah penyumbang paling utama kepada masalah tangguh. Apabila kita bersikap sambil lewa, ambil mudah dan tiada komitmen serta disiplin terhadap diri kita dan tugas-tugas yang diserahkan maka segalanya pasti akan tertangguh. Bagaimana Mengatasinya? Tangguh bukanlah masalah yang tidak boleh diselesaikan. Ia bukannya perkara biasa dalam kehidupan yang tidak dapat dielak. Sebaliknya ia adalah kebiasaan atau tabiat yang tertanam dalam diri kita kerana kita tidak mendidik diri dengan amalan-amalan kecemerlangan.

Berikut dinyatakan beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah umum ini:

1. Agih-agihkan tugas. Pastikan tugasan bersesuaian dengan tenaga dan masa yang diperuntukkan. Salah satu penyebab kepada tangguh ialah rasa kerja yang mahu dibuat itu terlalu sukar atau terlalu banyak. Kalau terlalu banyak, agih-agihkan tugas kepada bahagian yang lebih kecil. Kalau terlalu sukar, dapatkan seseorang yang boleh membantu. Tanya mereka! Jangan jadi orang yang berat mulut. Dalam dunia ni tiada sesiapa pun yang akan membantu kita tanpa diminta.

2. Buat senarai tugas atau ‘TO DO LIST’.

3. Dapatkan satu diari, nak canggih lagi pakai ‘Palmtop’. Malah telefon bimbit pun dah boleh untuk masukkan aktiviti kita. Sebenarnya, jangan bazirkan duit dengan membelanjakan wang membeli diari atau organizer yang mahal-mahal. Ramai orang yang saya perhatikan, ketika semangatnya datang, mereka keluarkan duit untuk tujuan ini tetapi akhirnya sia-sia juga.

4. Cari cara untuk ingatkan kita. Contoh: Jam loceng, komputer, digital organizer dan sebagainya.

5. Sediakan segala keperluan lebih awal. Contoh: Nak ambil pemadam, hanya kerana itu kerja tertangguh 30 minit. Nak ke bilik air dan sebagainya. Kita kena ingat, kita dibayar gaji untuk bekerja 8 jam sehari jadi buatlah yang terbaik!

6. Tiada dua orang yang serupa. Lain orang lain masa yang mana dia akan paling produktif. Oleh itu kenali masa produktif kita dan gunakan masa ini untuk siapkan kerja-kerja penting kita.

7. Tukar cara fikir atau ‘mindset’ kita.

8. Just do it! Jangan peduli apa orang lain akan kata. Ia adalah soal masa depan kita. Percaya cakap saya, 90% daripada sangkaan-sangkaan dan kebimbangan kita itu sebenarnya tidak akan berlaku!

9. Belajar dari kesilapan. Mula melangkah apabila sudah ada perancangan dan jangan tunggu untuk segala-galanya sempurna sebab ketidaksempurnaan itu sememangnya sifat semulajadi setiap hasil ciptaan manusia. Contoh: TV hitam putih wujud sebelum ada TV warna. Telefon bimbit besar sebelum ada yang kecil molek. Orang yang mencipta dan menjual barang-barang ini tidak menunggu segalanya sempurna. Mereka mengaut keuntungan awal dan menggunakan keuntungan itu untuk melakukan penyelidikan dan seterusnya menghasilkan barangan yang lebih baik.

10. Senaman secara konsisten, 20 minit sehari, 3x seminggu.

11. Jaga diet atau pemakanan. Makan makanan yang kurang lemak dan yang tinggi kandungan fibernya seperti buah-buahan, kekacang dan sayur-sayuran. Makan roti yang ada tertulis perkataan ‘high fibre’.

12. Rehat yang cukup - Lakukan meditasi atau rileks. Itu gunanya kita lepas solat sambung berzikir dan berwirid.

13. Mulakan sedikit, bertatih sebelum berlari. Tidap perlu untuk menghabiskan apa yang mahu dilakukan itu serentak. Manusia mudah rasa jemu dan bosan. Oleh itu, lakukanlah sedikit tetapi konsisten. Pelbagaikan aktiviti dan jangan fokus hanya kepada satu tugas semata-mata.

14. Ganjari diri sendiri setiap kali dapat menyelesaikan sesuatu tugas atau pekerjaan.

Tanggungjawab dan kebebasan berdikari - Penyerapan Nilai-Nilai Positif

IBU bapa sentiasa mencari jalan untuk mendidik anak-anak supaya mereka mempunyai sifat bertanggungjawab. Dalam kebanyakan ru-mahtangga, tugas harian di rumah dikatakan boleh mengatasi masalah ini.

Contohnya seperti membersih tong sampah dan memotong rumput untuk anak lelaki, dan membantu mencuci pinggan dan mengemas bilik tidur bagi anak-anak perempuan.

Sebenarnya, tugas-tugas ringan seperti ini, meskipun mustahak untuk tujuan mewujudkan kesefahaman dan kerjasama dalarn pengurusan rumahtangga, mungkin belum boleh menentukan pembentukan sifat-sifat bertanggungjawab yang positif.

Sebaliknya, dikebanyakkan rumahtangga, tugas harian yang perlu diselesaikan selalu menjadi punca pergaduhan besar di antara anak dan ibu bapa. Kekerapan memaksa tugas-tugas ringan dibantu oleh anak-anak, meskipun akan menghasilkan sifat anak-anak yang patuh serta menjadikan dapur dan halaman rumah kita cuci dan berslh, mungkin meninggalkan pengaruh yang tidak sihat dari segi pembentukan peribadi.

Ini adalah kerana sifat bertanggungjawab tidak boleh dipaksa. lanya hanya boleh berkembang dari dalam sanubari seseorang, diasuh dan dibimbing baik di rumah mahupun di persekitaran masyarakat sekeliling melalui nilai-nilai yang boleh diserapkan.

Sifat bertanggungjawab yang tidak berasaskan nilai-nilai yang positif boleh menjadikan seseorang itu antisosial dan mempunyai perangai yang suka merosakkan benda.
Contohnya dapat dilihat pada kelakuan kaki-kaki samseng yang selalu menunjukkan rasa ketaatan dan sikap tanggungjawab yang tinggi di antara satu sama lain dan di kalangan kumpulan mereka, begitu juga kumpulan-kumpulan gangster.

Ketumbuhan Sifat Bertanggungjawab
Di samping kita mengharapkan anak-anak kita menjadi manusia yang bertanggungjawab, kita mahukan supaya sifat ini datang dari nilai-nilai muktamad yang tersurat kebaikannya seperti menyayangi nyawa dan mengambll berat tentang kebajikan masyarakat.Dalam lain perkataan, sifat bertanggungjawab mesti berasaskan kepada penghargaan dan sanjungan yang tinggi terhadap nyawa, kebebasan dan kebahagian.

Kita juga perlu memperhitungkan soal tanggungjawab ini dalam konteks yang luas. Kita boleh nampak sifat bertanggungjawab ini, atau ketiadaannya dalam bentuk yang nyata: bilik anak yang kusut masai, lembab ke sekolah, kerja sekolah yang kotor, malas melakukan kerja atau kegiatan yang berlebihan, kedegilan yang tidak menentu dan perangai yang buruk.

Namun demikian, anak-anak masih boleh menjaga sopan-santun, menjaga diri dan kawasan atau biliknya dengan bersih, membuat semua kerja rumahnya mengikut jadual, tetapi masih mungkin mengambil keputusan yang kurang matang dan tidak bertanggungjawab.

Perkara ini kerap berlaku di kalangan anak-anak yang selalu disuruh atau dikerah melakukan sesuatu.
Jadi secara langsung, mereka ini tidak berpeluang untuk berlatih menggunakan budibicara sendiri, membuat pilihan dan mengembangkan standard nilai yang sedia ada dalam dirinya.

Reaksi dalaman anak-anak terhadap arahan kita ialah elemen pemutus yang menentukan berapa banyakkah mereka mempelajari apa yang kita hendakkan mereka mengetahui.

Nilai-nilai tidak boleh diajar secara terus, sebaliknya nilai-nilai menyerap dan menjadi sebahagian dari diri mereka melalui proses pengenalan pasti dan tauladan yang ditunjukkan oleh individu yang memenangi kasih sayang dan penghormatan mereka.

Sebab itulah, masalah tanggungjawab yang hendak dibentukkan dalam salasiah anak-anak dirujuk kemba1i kepada ibu bapanya atau lebih tepat, kepada nilai-nilai ibu bapanya seperti yang kelihatan (dengan nyata) dari didikan anak-anak yang diamalkan.

Persoalan yang perlu difikirkan ialah, apakah amalan dan sikap-sikap yang nyata yang boleh membantu kita membentuk sifat dan kesedaran tanggungjawab di kalangan anak-anak kita. Penerangan ringkas selanjutnya, akan cuba menjawab soalan ini dari sudut psikologi.

Sifat tanggungjawab di kalangan anak-anak bermula dengan sikap dan kemahiran ibu bapa. Sikap yang dimaksudkan ialah kerelaan membenarkan anak-anak merasa dan mengalami semua perasaan atau (emosi) mereka. Kemahiran ini termasuklah mempunyai kebolehan menunjukkan kepada anak-anak cara-cara yang berkesan dan munasabah untuk menghadapi masalah perasaan ini.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa kedua-dua sifat ini bukan senang hendak kita perolehi. Guru dan ibu bapa kita sendiri pun tidak pernah menyediakan kita dengan sempurna untuk menghadapi perasaan atau emosi ini.

Mereka sendiri tidak tahu bagaimana hendak menghadapi masalah emosi yang berlebihan. Bila berhadapan dengan anak-anak yang naik emosional keterlaluan, mereka cuba menafikan, menolak, menekan atau membodoh-bodohkan kelakuan anak-anak yang sedang emosional. Ayat-ayat yang tidak bererti digunakan tanpa menyedari bahawa kesan jangka panjangnya tidak mendatangkan kebaikan.                

Kita menyedari hakikat tentang kesukaran mengatur pertuturan dengan anak-anak yang boleh membantu mereka mengatasi masalah perasaan atau emosi ini dengan lebih berkesan. Ini adalah kerana kenyataan yang selalu keluar dari mulut kita adatah terlalu spontan tanpa ditapis seeara rasional.

Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa dalam hal ini kerana sensitiviti kita terhadap perasaan dan emosi orang yang paling rapat dengan kita seperti anak-anak, emak atau suami sebagai contoh, adalah jauh lebih berkurangan kalau dibandingkan dengan sensitiviti kita terhadap orang lain.                         

Namun demikian, kalau kita mulai menyedari tentang betapa bahayanya bentuk pertuturan yang negatif lagi merosakkan yang mengandungi unsur-unsur kekejian, penafian, penekanan, pencemohan dan lain-lain, lama-kelamaan kita akan mengelakkan diri daripada mengamalkan pertuturan yang sedemikian rupa. Contohnya:

"Ini bukan kamu ni, setan dalam badan yang bertindak begitu",
"Kalau kau sebut lagi perkataan 'benci', aku pukul kau cukup-cukup. Anak orang baik-baik tak cakap macam itu".

Kenyataan seperti ini tidak mengindahkan hakikat bahawa emosi atau perasaan, seperti anak sungai, tidak boleh ditahan tetapi hanya boleh diarahkan sasaran haluannya. Perasaan yang kuat adalah seperti air pasang yang sedang naik; keadaannya tidak boleh dinafikan atau ditidak-tidakkan.

Lagi kita buat tak peduli tentang perkara ini, lagi rumit untuk kita menyelesaikannya bila masalah ini kian bertambah dan menyeksa jiwa dan fikiran individu yang terlibat. Emosi atau perasaan mesti dikenal pasti dan pengaruh atau kuasanya mesti kita perakukan. Kita mesti menjaga dan menghargai emosi orang lain dan anak-anak. Kita juga harus mampu dan pandai menyalurkan emosi dengan pintar dan bijaksana.

Apakah agaknya langkah-langkah yang patut kita ambil untuk mengurangkan jurang antara apa yang diharapkan dan amalan harian? Kita perlu memikirkan usaha-usaha yang bercorak jangka pendek dan jangka panjang. Sebagai langkah permulaan, kita perlukan kesedaran bahawa pendidikan peribadi bergantung kepada hubungan kita dengan anak-anak dan ciri-ciri peribadi tidak boleh disalurkan hanya melalui perkataan, tetapi melalui tauladan.

Langkah pertama dalam usaha jangka panjang ialah kesungguhan untuk betul-betul meminati cara anak-anak berfikir dan berperasaan dan tidak cepat bertindak hanya berasaskan kepada perangai yang dilihat secara luar.

Bagaimana agaknya harus kita menyedari apa yang sedang difikirkan atau dirasakan oleh mereka? Anak-anak sering meninggalkan tanda-tanda (clues). Perasaan mereka dapat kita baca melalui perkataan dan nada, melalui bentuk perlakuan dan cara mereka bergerak, yang kita perlu hanyalah telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan hati untuk merasa.

Jadikan kata-kata panduan ini sebagai amalan kita: Biar aku memahami. Biar aku tunjukkan bahawa aku faham. Biar aku bertutur dengan perkataan yang tidak dilafazkan secara spontan dan tidak mengandungi kritikan atau cacian.

Bila anak kita kembali dari sekolah dan kelihatan sugul, gaya perjalanannya yang perlahan-lahan dan langkahnya lemah longlai seolah-olah kasutnya berat satu pikul, sudah membolehkan kita meneka bahawa sesuatu yang tidak menyenangkan telah berlaku. Kalau mengikut kata panduan kita, kita tidak akan memulakan perbualan dengan komen-komen kritikal seperti:          .-

"Apa muka masam macam cuka ni?"                     -.
"Muka apa macam itu tu?"
"Apa yang telah jadi ni, kamu hilang kawan?"
"Apa yang dah kamu lakukan kali ini?"
"Pergaduhan dengan siapa pulak hari ini?"

Oleh sebab kita meminati reaksi dalaman anak-anak, kita harus mengelakkan diri dari memberi komen. yang hanya akan melahirkan kemarahan dan kebenciannya, komen-komen yang hanya membuatnya bengis dan berang dan mengharapkan biar dunia ini runtuh. Sebaliknya ibu bapa boleh menunjukkan rasa simpatinya dengan pertanyaan yang berikut:

"Sesuatu yang buruk telah berlaku hari ini?"
"Hari ini kurang baik untuk kamu?"
"Ada orang menyusahkan kamu hari ini?"

Kenyataan ini lebih selesa dari yang mencemoh dan yang tidak berperasaan timbang rasa. Sebaliknya soalan-soalan seperti di atas melahirkan rasa ingin tahu dan kenyataan yang dimajukan pula membayang-kan rasa simpati dan kasihan.

Kita tidak dapat lari dari kenyataan bahawa anak-anak mempelajari apa yang dialaminya. Jika ia hidup dengan kritikan, dia tidak akan mempelajari rasa tanggungjawab. Dia bisa hanya mencemuh diri sendiri dari mencari pasal dengan orang lain.

Dia akan menimbulkan kesangsian dirinya dalam membuat pertimbangan tertentu, merendah-rendahkan kebolehannya dan selalu mengesyaki niat orang lain. Paling menyedihkan ialah ia membiasakan dirinya sentiasa mengharapkan sesuatu yang buruk akan berlaku.

Berjuta kawan seribu sahabat

"PERSAHABATAN WUJUD DARI SATU PERKENALAN DENGAN SEPULUH PERTANYAAN, 100 KEYAKINAN, DAN SERIBU PENGORBANAN SERTA BERJUTA-JUTA PERJUANGAN DENGAN SATU KEIKHLASAN".


Mencari kawan dan membina perkenalan tidaklah sepayah mencari sahabat dan membina persahabatan. Daripada seribu orang kawan mungkin hanya seorang yang layak dipanggil sahabat.

Siapakah sahabat? Dia sanggup berada bersama kita dalam keadaan apa sekalipun. Ketika kita masih orang kecil, dia teman ke sana ke mari; ketika kita sudah menjadi orang besar, dia tidak terhegeh-hegeh mencari peluang. Tetapi dia di situ, sedia untuk menyokong kita supaya tidak rebah. Tanpa pengetahuan kita, dia sanggup berkorban membetulkan persepsi silap masyarakat terhadap kita. Dia berperanan sebagaimana kita masih orang kecil dahulu tanpa sebarang kepentingan.

Tatkala payung kita kuncup dia datang membawakan payungnya untuk kita. Lalu kita sama-sama berteduh di bawahnya. Jika payung kita kecil dan tidak muat untuk kita berdua, dia rela basah ditimpa hujan asalkan kita tidak basah sebagaimana dia.

Seorang sahabat itu sanggup memberikan apa sahaja yang kita perlukan, manakala apa yang kita perlukan itu ada di tangannya. Dia tidak mengharapkan balasan tetapi jujur untuk memelihara persahabatan.

Di manakah anda hendak mencari seseorang yang seperti ini? Sebab itulah mungkin seorang pun payah hendak dicari daripada seribu orang yang ada. Seorang sahabat seperti digambarkan dalam ejaan JUMAAT; jujur, unggul, matang, asli, amanah, dan teguh.

Dia jujur, maka boleh diletakkan kepercayaan untuk tolong lihat-lihatkan keluarga kita tatkala kita berpergian.

Dia unggul, maka kita boleh bersandar pada dia tatkala kita hilang motivasi diri.

Dia matang, maka kita boleh dapatkan nasihat-nasihat berguna atau merujuk masalah-masalah semasa yang kita hadapi.

Dia asli, maka peribadinya bukan ikutan atau tidak mudah luntur, tetapi selari dengan kehendaknya sebagai insan bertuhan.

Dia amanah, maka ciri-ciri ini sangat diperlukan dalam persahabatan.

Dia teguh, maka kita boleh bergantung padanya pada sangat-sangat getir.

Itulah ciri-ciri sahabat. Tentu payah untuk mendapatkannya. Ciri-ciri itu payah sebab kita sendiri tidak bersikap seperti itu. Kalau kita bersikap seperti itu, semua yang akan datang kepada kita tentulah orang yang seperti itu.

Jadi, usah harapkan orang berbuat baik kepada kita kalau kita sendiri tidak dapat melayaninya dengan yang lebih baik. Usah harapkan datang seseorang yang memiliki sifat-sifat jujur, unggul, matang, asli, amanah, dan teguh kalau kita sendiri seorang yang curang, len-iah, berfikiran singkat, mudah terpengaruh, tidak amanah, dan lembek.

Persahabatan itu bermula daripada satu bentuk perkenalan. Daripada satu perkenalan yang mudah menjadi erat apabila adanya pertanyaan, saling bertanya saling mahu kenal mengenal. Dari situ lahirnya keyakinan. Meskipun kadang-kadang terpaksa memberikan seribu pengorbanan serta berjuta-juta perjuangan.

Tukar rutin - untuk capai matlamat

SEORANG pengkaji alam semula jadi Perancis, John Fabre pernah membuat kajian mengenai sejenis ulat bulu yang tabiatnya suka mengikut ulat di hadapannya. Dalam kajian itu Fabre telah mengisi sebuah pasu dengan tanah dan menanam pokok yang menjadi makanan ulut bulu tersebut di tengah-tengahnya.

Fabre kemudian menyusun ulat bulu tersebut seekor demi seekor, mengelilingi tepi pasu dan membiarkannya. Seperti biasa, ulat-ulat bulu tersebut berjalan mengikut ulat yang di hadapannya. Mereka berjalan mengelilingi pasu jam demi jam, dan hari demi hari sehingga akhirnya semua mati kebuluran.

Jika salah seekor daripada ulat bulu itu bergerak keluar kira-kira enam inci daripada pusingan tersebut, ia pasti akan mendapat makanan yang diperlukan. Malangnya ulat-ulat bulu tersebut tetap dengan tabiatnya mengikut ulat di hadapannya tanpa berfikir dan bertindak bijak. Mereka mengikut rutin, dan akhirnya semua menemui maut.

Perkara yang sama mungkin berlaku kepada sesetengah orang, atau anda sendiri. Hidup saban hari melakukan perkara yang sama, dan mengikut rutin serupa tanpa ada perubahan. Matlamat-matlamat yang anda ingin perolehi berada tidak jauh, tetapi anda tidak boleh mencapainya. Dan selagi anda tidak bertindak di luar kebiasaan untuk mencapainya, selagi itulah matlamat-matlamat itu kekal sebagai anganan kosong.
Adalah mudah untuk memahami hal ini, jika hidup anda menjadi satu rutin, ia boleh memusnahkan. Hari demi hari anda akan melakukan perkara yang sama dari pagi hingga ke malam; pergi kerja, bekerja, bergaul dengan kawan, dan pulang untuk tidur. Anda tidak melakukan sesuatu yang lain dengan menggunakan pelbagai alasan. 'Tidak ada masa' adalah antara alasan yang sering didengar.
Ini adalah kehidupan anda, ambil sedikit masa untuk menukar corak rutin harian dan mencipta perubahan yang boleh memberi lebih manfaat kepada hidup anda. Sebelum itu anda perlu mengenal pasti bahawa hidup telah menjadi satu rutin dan perlu berubah.

Jika anda menjalani hidup seharian tanpa banyak berfikir lagi, seolah-olah memandu sebuah pesawat secara autopilot, atau melalui kehidupan tanpa perancangan untuk mengubah masa depan, maka anda sebenarnya sedang berada dalam zon rutin.

Sebenarnya bukan sukar untuk keluar daripada rutin itu. Anda hanya perlu membuat keputusan untuk berubah. Jika berterusan dengan kerja, atau tindakan yang sama setiap hari, keputusan atau hasil yang didapati juga hampir serupa.

Contohnya jika anda ingin mengurangkan berat badan tetapi terus dengan tabiat makan yang serupa setiap hari, adakah anda akan mencapai matlamat itu? Tentu tidak! Begitu juga, anda tidak akan mencapai matlamat jika terikat dengan rutin yang sama. Anda mesti melakukan kelainan, jika anda berterusan dengan perkara yang sama, anda akan terus terikat dengannya sehingga ia menguasai hidup.

Inilah perangkap yang perlu dielakkan. Anda mesti membuat perubahan itu sekarang, dan tidak membiarkan hidup dijalani secara autopilot!.

Hadapi kawan atau lawan dengan wajah tenang


Seorang ahli bijaksana berkata, jika anda ingin bergaul secara baik dan sopan, ikutilah petunjuk ini:

1. Hadapi kawan atau lawan dengan wajah yang tenang, gembira, sopan dan rela hati. Elak daripada menunjukkan sikap angkuh, sombong dan tinggi diri.

2. Jangan terlalu banyak menoleh ke mana-mana dan jangan terlampau tajam memandang orang lain.

3. Jangan biasakan diri memasukkan jari ke dalam lubang hidung, banyak meludah atau berhingus di tempat awam, banyak menguap atau menggeliatkan badan.

4. Usahakan agar dudukmu itu kelihatan tenang, kata-kata selalu teratur, menjadi pendengar yang baik. Jika ada sesuatu yang melucukan lebih baik jika kamu diam saja.

5. Jangan bersikap pura-pura.

6. Elak daripada memberitahu sesiapa mengenai harta yang dimiliki kerana jika harta itu sedikit, orang akan me mandangmu dengan kehinaan.

7. Jika berdebat, berpegang teguhlah kepada kesopanan dan jangan merendah-rendah kemampuan orang lain.

8. Jangan menjadikan harta lebih mulia daripada ke hormatan diri.

9. Jika masuk ke majlis, berilah salam dan sentiasa merendah diri.

10. Jauhi daripada duduk dan bercakap-cakap di jalanan dan jika terpaksa sentiasalah menundukkan pandanganmu.

11. Jangan suka bergurau dengan cendekiawan dan orang yang kurang cerdik.

12. Jika banyak bergurau senda dalam sesuatu majlis, kerana terlupa atau lain-lain, berzikirlah sebelum meninggalkan majlis itu.

Perkara Ajaib Tersembunyi di Dalam Minda

Apakah anda bersetuju jika saya katakan terdapat banyak perkara ajaib tersembunyi di dalam minda?

1) Tenaga ajaib tersembunyi dalam minda

Percaya atau tidak apabila anda sentiasa memikirkan tentang kenyang, anda tidak akan lapar. Buktinya apabila anda menjalani ibadah puasa, anda tidak berfikir pun tentang makan sepanjang hari, tetapi anda tetap mampu melakukan aktiviti-aktiviti kehidupan sebagaimana biasa. Padahal pada hari-hari biasa, awal pagi lagi anda sudah terasa hendak makan.

Demikianlah apabila anda tidak lansung memikirkan tentang penat, anda akan cergas dan bertenaga sepanjang hari.

Sebaliknya apabila anda mula berkata ”Aku malaslah hari ini”, “Aku boringla hari ni”, anda akan benar-benar malas dan boring. Maka jika anda ingin cemerlang dan berjaya, bijak-bijaklah berhubung dengan imaginasi. Imaginasi boleh menjadikan anda apa sahaja. Daripada sini kita boleh simpulkan, ”Kita sendirilah yang meminta setiap apa yang berlaku pada diri kita.”


2) Berkomunikasi dengan minda ke minda

Apabila anda mengingat seseorang, dan jika ingatan anda itu jujur, ikhlas dan bertanggungjawab, dan tiada sebarang gangguan, anda sebenarnya telah pun menghantar gelombang minda kepada orang itu. Anda mungkin mendapat tindak balas yang menakjubkan.

Jika ingatan anda terhadapnya adalah yang baik-baik, dalam masa yang sama insyaALLAH dia akan mengingat yang baik-baik juga tentang anda. Maka kerana itulah sesekali pada saat-saat tertentu anda terkenangkan seseorang yang telah lama anda tidak temui secara tiba-tiba. Barangkali pada saat itu orang berkenaan sedang memikirkan tentang anda dan gelombang mindanya telah mengembara dan akhirnya sampai kepada anda.

Gelombang yang lemah akan tersasar atau tidak sampai ke matlamat ataupun ghaib begitu sahaja ditelan gelombang-gelombang yang lebih kuat yang sentiasa bersimpang siur. Gelombang minda akan lebih hebat kesannya terhadap mereka yang mempunya jalinan emosi ataupun pertalian darah yang rapat misalnya suami isteri, ibu dan anak, adik beradik kembar dan rakan seiras.

3) Daya magnet dalam fikiran beremosi

Tahukah anda apabila anda membenci seseorang, anda sebenarnya telah pun menarik kebencian orang itu terhadap anda. Fikiran yang beremosi ada daya tarikan bagaikan magnet yang akan menarik sebarang pemikiran yang sealiran.

Sebagaimana gelombang minda tadi, kebencian akan terhasil dalam bentuk gelombang-gelombang negatif yang mengembara dan akhirnya sampai kepada orang yang anda benci itu. Oleh itu, seseorang yang menjadikan imaginasinya sebagai salah satu laluan untuk kejayaan tidak boleh berfikiran negatif. Dia kena berfikiran positif supaya pemikiran yang sama akan dipulangkan kepadanya.

4) Mengawal minda untuk lebih berjaya


Tiada siapapun yang boleh membuatkan anda marah jka anda sendiri tidak ingin marah. Soal emosi yang tersentuh adalah perasaan yang boleh dikawal jika anda mahu mengawalnya. Jika anda memang tidak mahu marah anda tidak akan marah.

Orang boleh menjadi terlalu sedih kerana dia memberi laluan kepada dirinya untuk berasa sedih. Kesedihan yang melampau-lampau pula bermula daripada emosi yang ditarik-tarik, diiya-iyakan, diransang-ransang dan disungguh-sungguhkan, ibarat api yang dicurahkan petrol ke atasnya. Api akan menyambar hebat padahal jika dibiarkan sahaja, lambat laun ia akan padam sendiri. Kejayaan pertama orang yang berjaya ialah dapat mengawal emosinya.

5) Dua pemikiran dalam masa yang sama

Anda mungkin pernah melihat seseorang yang beremosi pada satu masa tetapi pada masa yang sama bercakap seolah-olah tidak menghadapi sebarang masalah dan ingat, orang ini bukanlah seorang pelakon. Seorang ayah memarahi anaknya dengan kemarahan yang beriya-iya tetapi dalam masa yang sama dia menghadiahkan anda senyuman dan mula bercakap lembut dengan anda. Itu tanda permulaan bagi seorang yang dapat mengawal emosinya. Seorang yang ingin menggapai kejayaan melalui imaginasi perlu lebih pandai mengawal emosi.

6) Minda teransang melalui solat dan doa

Solat itu doa dan doa itu perlu dalam proses kehidupan seseorang manusia. Manusia perlu berdoa untuk menjalinkan hubungan yag erat antara dirinya dengan alam ghaib dan yang terpenting dengan PENCIPTA-nya. Realitinya orang yang sentiasa berdoa dan sentiasa menunaikan solat tepat pada waktunya atau lebih baik pada awal waktu akan dapat membentuk dan meningkatkan kekuatan minda melalui fikiran yang lebih terfokus.

Seorang yang berjaya adalah seorang yang tenang dan ketenangan mutlak ataupun kemuncak bagi ketenangan adalah solat. Hakikat ketenangan tidak ada dalam diri seseorang yang ingkar solat atau tidak pernah berdoa.

Bahaya Salah Sangka..

Cubalah hayati ungkapan ini:

Tiada kesempurnaan sekalipun kurang satu. Bahkan satu pelengkap kepada semua yang ada. Justeru itu, satu untuk semua dan semua untuk satu. Baru jitu.

Semasa menghadiri satu majlis perkahwinan keluarga di Felda Sendayan baru-baru ini, saya datang secara berseorangan sahaja. Maklumlah kenduri sulung Pak Anjang saya, menantu pertama katakan. Boleh dikatakan majlis itu agak meriah juga, lebih seribu orang yang hadir. Majlis kenduri dibuat secara bergotong royong. Sekalipun penat, tetapi hati merasa puas. Saya hanya tidur berbantalkan lengan dan beralaskan tikar sahaja, bersama adik-adik sepupu yang lain. Bukan apa, sekadar member! iktibar kepada keluarga yang lain bahawa 'kedudukan' seseorang bukanlah jurang pemisah untuk bergaul mesra. Saya gembira kerana mesej saya sampai dan harapan saya, semoga 'kemesraan' keluarga akan terus berpanjangan sampai bila-bila.

Cuma satu yang merimaskan saya, bila semua ahli keluarga tidak berhenti-henti bertanya tentang isteri dan anak-anak saya. Ke mana dia pergi dan kenapa tidak datang? Mana anak-anak kamu yang lain? Jenuh juga saya hendak menjawab, akhirnya barulah mereka tahu kedudukan yang sebenarnya. Isteri saya terpaksa menemani anak ketiga saya untuk upacara penerimaan hadiah kecemerlangan UPSR di sekolahnya yang diadakan pada hari Ahad (bertindih pula dengan hari majlis perkahwinan tersebut). Anak yang lain di asrama penuh. Saya sememangnya sudah menjangka akan ditanya begitu.

Para pembaca yang saya muliakan. Begitulah dalam hidup ini. Sekali kita sudah menempuh gerbang perkahwinan maka selamanya orang akan melabel kita ini sudah berkeluarga. Ke mana sahaja kita pergi, bayangan pasangan kita tetap bersama kita. Sekalipun kita berada dalam suasana berseorangan. Tidak lengkap kalau tidak berdua. Masyarakat kita masih lagi memegang kuat kepada nilai-nilai tradisi lama, yakni setiap orang itu perlu hidup berpasangan. Tidak sempurna hidup kalau masih lagi bersendirian. Kalau sudah berkahwin pula, mesti datang secara'bersama' dalam semua majlis. Kalau tidak, dianggap tidak sempurna. Begitu juga dengan kisah saya seperti di atas tadi. Apa pun kita mesti ada prinsip hidup tersendiri dan berpeganglah kepada prinsip tersebut. Kalau kita 'yakin' berada di atas landasan hidup yang benar, maka serahkan diri kepada Allah. Orang lain tidak akan mampu mengubah gaya kehidupan kita, selama kita berpegang kuat kepada prinsip hidup kita. Kita adalah apa yang kita fikirkan. Paling mustahak dalam hidup ini ialah menjamin 'kebahagiaan diri dan rumah tangga'. Jangan biarkan orang lain 'membelenggu' kehidupan kita.

Para pembaca sekalian. Sebagai manusia biasa, kita sering kali berasa prejudis terhadap sesuatu perkara. Biarpun perkara tersebut belum pasti lagi kebenarannya. Kita lekas sangat 'menghukum' dan selepas itu sering kali 'menyesal' di akhirnya. Kita tidak adil dan begitulah selalunya. Namun untuk meminta maaf, jauh sekali.

Tahukah anda bahawa kebanyakan dosa, adalah bermula dengan salah sangka. Saya teringat kepada cerita kawan saya, sewaktu mula bertunang dahulu. Kisahnya begini. Pada suatu hari bakal adik iparnya telah melihat seseorang yang mempunyai mirip wajahnya, berjalan dengan wanita lain. Tanpa berfikir panjang, adik tunangnya terus menyampaikan berita tersebut kepada kakaknya. Pada anggapannya, semoga kakaknya dapat bertindak untuk membuat sesuatu. Adik yang bertanggungjawab, kononnya. Apa pun periksalah terlebih dahulu, baru bertindak. Bukannya bertindak dahulu, kemudian baru hendak membuat kajian secara terperinci. Ini kaedah terbalik (macam orang memakai stokin dahulu, kemudian baru pakai seluar.). Nasib baik, kakaknya tidak mudah percaya. Kemudian setelah diteliti, barulah si adik tadi mengakui terdapat kekeliruan dan akhirnya, ternyata orang tersebut adalah orang lain. Mujur.

Sekalipun kemungkinan peluang untuk berburuk sangka itu ada dan terbuka luas, namun kita jangan sekali-kali menyediakan ruang tersebut. Kalau sudah kena sekali, sakitnya berpanjangan. Silap hari bulan boleh membawa kepada bercerai-berai. Kadang-kadang kita sering terlupa, makan berdua-duaan dengan teman sepejabat boleh juga membawa petaka. Menghantar kata-kata gurauan dan bernada 'romantis' melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada teman rapat pun boleh mengundang masalah. Saya pernah menyaksikan insiden perceraian, hanya kerana SMS yang dihantar secara 'nada bergurau' kepada sahabat saya. Isterinya dengan tanpa berfikir panjang, terus menyerangnya. Kawan saya lantas merajuk dan 'patah hati'. Para pembaca sekalian, fikir-fikirkanlah.

Kita hendaklah sentiasa berfikiran positif. Saya suka menyeru diri saya dan para pembaca sekalian, bahawa kehidupan ini hanyalah sementara. Buatlah yang terbaik. Kita sebenarnya tidak banyak masa lagi untuk memikir-kan soal-soal yang merugikan dan mem-bebankan 'amalan akhirat' kita. Carilah kesenangan di dunia untuk kesenangan di alam akhirat. Semoga kita akan bersama dengan pasangan kita menuju ke syurga Allah yang telah dijanjikan selama ini. Mudah-mudahan, Amin.

Selamat melayari bahtera kasih dalam rumah tangga dan semoga anda sampai di pelabuhan 'bahagia' dengan selamatnya. Wallahualam. •

10 langkah mewujudkan keyakinan diri

Berikut merupakan 10 langkah yang ringkas ke arah mewujudkan keyakinan diri:

1.Anggapkan diri anda yang diciptakan oleh Allah adalah sama seperti orang lain.

2.Orang lain boleh buat, kenapa anda tidak boleh buat?

3.Apa kekurangan/kelemahan yang ada pada diri anda dan baikinya.

4.Jangan takut-takut atau teragak-agak untuk melakukan sesuatu yang positif

5.Elakkan perasaan malu yang tidak bertempat.

6.Lakukan riadah yang ringan sebelum melakukan sesuatu pekerjaan, ianya sebagai warm up dan dapat mengaktifkan diri seseorang.

7.Kemas diri dan anggapkan diri anda adalah terbaik pada hari itu.

8.Apabila berinteraksi pandang tepat pada muka dan mata orang yang kita sedang berinteraksi dan gunakan sedikit pergerakan tangan untuk menerangkan sesuatu. Jangan terlalu kaku.

9.Apabila memulakan sesuatu tugas jangan memikirkan tentang masalah, tetapi fikirkan tentang hasilan yang akan dapat selepas tugas tersebut.

10.Sentiasa peka terhadap waktu, jangan berlengah-lengah atau bertangguh dalam melaksanakan sesuatu tugas.

INSYALLAH ANDA AKAN DAPAT MENILAI BETAPA BERHARGANYA DIRI ANDA!
SESUNGGUHNYA ANDA ADALAH INSAN YANG MULIA INSAN YANG MULIA MEMPUNYAI POTENSI DAN SETIAP POTENSI HARUS DIUSAHA UNTUK MENDAPATKAN HASILNYA!

Yang Lalu Biarkan Berlalu

Mengingat dan mengenang masa lalu, kemudian bersedih atas nestapa dan kegagalan di dalamnya merupakan tindakan bodoh dan gila. Itu sama ertinya dengan membunuh semangat, memupuskan tekad, dan mengubur masa depan yang belum terjadi.

Bagi orang yang berfikir, berkas-berkas masa lalu akan dilipat dan tak pernah dilihat kembali. Cukup ditutup rapat-rapat, lalu disimpan dalam ruang penglupaan, diikat dengan tali yang kuat dalam penjara pengacuhan selamanya, atau diletakkan di dalam ruang gelap yang tak tertembus cahaya. Yang demikian, karena masa lalu telah berlalu dan habis. Kesedihan tak akan mampu mengembalikannya lagi, keresahan tak akan sanggup memperbaikinya kembali, kegundahan tidak akan mampu merubahnya menjadi terang, dan kegalauan tidak akan dapat menghidupkannya kembali, karena ia memang sudah tidak ada.

Jangan pernah hidup dalam mimpi buruk masa lalu, atau di bawah payung gelap masa silam, selamatkan diri Anda dari bayangan masa lampau! Adakah Anda ingin mengembalikan air sungai ke hulu, air susu ke payudara ibu, dan air mata ke dalam kelopak mata? Ingat keterikatan Anda dengan masa lalu, keresahan Anda atas apa yang telah terjadi padanya, keterbakarann emosi jiwa Anda oleh api panasnya, dan kedekatan jiwa Anda pada pintunya, adalah kondisi yang sangat naïf, ironis, memeritkan, dan sekaligus menakutkan.

Membaca kembali lembaran masa lalu hanya akan memupuskan masa depan, mengendurkan semangat, dan menyia-nyiakan waktu yang demikian sangat berharga. Dalam Al-Qur’an, setiap kali selesai menerangkan keadaan suatu kaum dan apa saja yang telah mereka lakukan, Allah selalu mengatakan, “Itu adalah umat yang lalu.” Begitulah, ketika suatu perkara habis, maka selesai pula urusannya. Dan tak ada gunanya mengurai kembali bangkai zaman dan memutar kembali roda sejarah.

Orang yang berusaha kembali ke masa lalu, adalah tak ubahnya orang yang menumbuk tepung, atau orang yang menggergaji serbuk kayu. Syahdan, nenek moyang kita dahulu selalu mengingatkan orang yang meratapi masa lalunya demikan :” Janganlah engkau mengeluarkan mayat-mayat itu dari kuburnya”. Dan konon kata orang yang mengerti bahasa binatang, sekawanan binatang sering bertanya kepada seekor keledai begini :”Mengapa engkau tidak menarik gerabak?” “Aku benci khayalan,” jawab keledai.

Adalah bencana besar manakala kita rela mengabaikan masa depan dan justru hanya disibukkan oleh masa lalu. Itu sama halnya dengan kita mengabaikan istana-istana yang indah dengan sibuk meratapi pondok-pondok yang telah lapuk. Padahal betapapun seluruh manusia dan jin bersatu untuk mengembalikan semua hal yang telah berlalu, niscaya mereka tidak akan pernah mampu. Sebab yang demikian itu sudah mustahil pada asalnya.

Orang yang berfikiran jernih tidak akan pernah melihat dan sedikit pun menoleh ke belakang. Pasalnya, angin akan selalu berhembus ke depan, air akan mengalir ke depan, setiap kafilah akan berjalan ke depan, dan segala sesuatu bergerak maju ke depan. Maka dari itu, janganlah pernah melawan sunnah kehidupan.